PRU 15: Analisis Keputusan Kerusi Parlimen Dan Sentimen Kaum

Saya baharu sahaja dapat menyiapkan analisis keputusan PRU 15, iaitu selama lebih sebulan selepas Pilihan Raya. Ini kerana dalam tempoh tersebut saya perlu memberi perhatian penuh kepada perkara-perkara lain yang amat mendesak. Bagaimanapun, artikel ini kini sudah siap, setelah membuat analisis data seperti biasa saya lakukan selepas setiap Pilihan Raya Umum sejak 14 tahun yang lepas.

Ramalan yang saya muatkan dalam Blog ini pada 15 November 2022, ia itu empat hari sebelum tarikh membuang undi, terbukti amat tepat sekali untuk Pakatan Harapan dan Parti GPS. Untuk Parti-Parti Melayu, ia juga amat tepat dengan jumlah 104 kerusi untuk dimenangi di antara BN dan PN, cuma kerusi di antara kedua-dua parti tersebut nyata berbeza berbanding ramalan.

Berbanding dengan ramalan-ramalan lain diseluruh negara, ramalan blog ini ternyata paling tepat sekali. Sila rujuk kepada artikel ini sebagai perbandingan (klik di sini).

Bagaimanapun saya memang menjangka yang pengundi Melayu sudah bersedia untuk berpindah parti daripada UMNO kepada Perikatan Nasional.

Sila lihat butiran dalam jadual di bawah.

 

PARTI POLITIK RAMALAN (SENARIO 2) KEPUTUSAN SEBENAR
PAKATAN HARAPAN 78 81
PERIKATAN NASIONAL 51 74
BARISAN NASIONAL 53 30
GABUNGAN PARTI SARAWAK 24 23
WARISAN 9 3
LAIN-LAIN 7 11
JUMLAH 222 222
PRU 15: KEPUTUSAN KERUSI PARLIMEN MALAYSIA

Membuat analisis sokongan setiap kaum untuk parti-parti besar yang bertanding biasanya lebih rumit dan memerlukan lebih banyak masa serta data input yang lengkap. Kerja ini baru sahaja saya siapkan dengan hasilnya seperti di bawah:

PARTI POLITIK PERATUS UNDI MELAYU PERATUS UNDI CINA PERATUS UNDI INDIA
PAKATAN HARAPAN 7% 93% 85%
PERIKATAN NASIONAL 56% 5% 8%
BARISAN NASIONAL 37% 3% 6%
PRU 15: PECAHAN UNDI MENGIKUT KAUM DI SEMENANJUNG MALAYSIA

Sikap overconfident UMNO sudah ternyata memakan tuan, tepat seperti saya ramalkan. Hakikatnya UMNO di bawah Zahid Hamidi bukan sahaja terpalit dengan isu korupsi besar, tetapi juga telah diheret oleh seorang Presiden yang tidak bijak membaca sentimen rakyat, atau terpaksa bertindak melulu atas kebimbangan beliau dengan tindakan mahkamah.

Jadi, orang Melayu telah memutus meninggalkan UMNO, malah lebih teruk daripada dijangkakan. Hanya 37% pengundi Melayu telah mengundi BN, berbanding 46%  dalam PRU 14 dahulu. Trend Melayu  meninggalkan UMNO amat nyata sekali dan sukar bagi mereka berpatah balik dimasa hadapan, memandangan genarasi baru yang mewakili majoriti pengundi  ini  tiada punyai perasaan nostalgia kepada parti tersebut.

Ini pula dengan keadaan UMNO sebagai junior partner dalam kerajaan Pakatan Harapan, satu keadaan yang dilihat  menjatuhkan maruah kaum Melayu di Malaysia.

Saya agak  senario kemusnahan UMNO sudahpun bermula sejak PRU 14 lagi.  Jikapun ada harapan untuk membina semula, ia hanya mungkin berlaku jika Perikatan Nasional sendiri melalui satu zaman gelap suatu hari nanti. Tapi ini tidak mungkin berlaku selagi Perikatan Nasional berkedudukan sebagai parti pembangkang  seperti sekarang. Budaya kotor dan korupsi lazimnya berlaku atau merebak  dalam parti kerajaan, bukannya dalam parti pembangkang.

Polarisasi kaum yang ekstrim seperti digambarkan dalam sokongan kaum CINA kepada Pakatan Harapan kekal diaras 93%  berbanding dengan PRU 14. Tetapi kali ini undi kaum Melayu juga telah menunjukkan aras polarisasi yang tinggi setanding dengan kaum Cina dengan kadar 93% mengundi Perikatan Nasional serta Barisan Nasional, dua buah parti Melayu terbesar di Malaysia.

Akibatnya, Parti Pakatan Harapan  hanya mendapat  sebilangan kecil undi Melayu, iaitu sejumlah 7% sahaja. Maka nampaknya,  pembentukan kerajaan Malaysia baru baru ini telah gagal mengambil kira sentimen seramai 93% pengundi Melayu di Semenanjung Malaysia.

Sekian, wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

.

.

DAH IKHWAN

3 Comments

  1. Muzaffar Salim

    Tuan , lama menyepi sejak PRU ke 15 . Aniticipating summed up from your goodself.

  2. Muzaffar Salim

    Terima kasih Tuan analisisnya . Keputusan yg TEPAT mengalahkan pollster yang mempunyai team yg besar seperti Ilham , Merdeka dll.

    Tahniah dan syabas atas unjuran yang tepat.

    Menanti PRN yang mendatang terutamnay Selangor dan Negeri 9

    • DAH IKHWAN

      Terima kasih Sdr Muzaffar. Insya Allah saya akan buat ramalan untuk Pilihanraya Negeri untuk negeri-negeri tersebut, di masa yang terbaik.

Comments are closed