Perdana Menteri Najib Tun Razak sepatutnya mempertimbang dengan serius memansuhkan GST. GST di Malaysia bukanlah sesuatu yang amat buruk dengan kadar diantara yang paling rendah di dunia. Betul ini akan menyebabkan kehilangan pendapatan kerajaan kira-kira RM 40 bil. setahun, tetapi ini bukan soal pendapatan, ia soal politik.
Pakatan Harapan menggunakan isu GST bagi menghasut rakyat menentang kerajaan. Pakatan menjanjikan GST sifar jika mereka membentuk kerajaan. Ini tidak mungkin terjadi, tetapi Pakatana Harapan hanya mampu berjanji untuk pengundi, jadi inilah yang mereka janji, iaitu janji jika mereka memerintah GST akan diturunkan kekadar sifar.
Justeru, amat penting sekali kerajaan memansuhkan GST untuk mengembirakan pengundi. Dengan ini Pakatan tidak akan dapat menambahkan undi dengan menjanjikan GST sifar kerana Malaysia sudah mengamalkannya.
Satu sebab kemarahan terhadap GST ialah peniaga tidak lagi dapat berterusan mengelak cukai. Di Malaysia tiada seorangpun mengistiharkan kesemua pendapatan mereka. Misalnya mengikut kata Tun Mahathir, Malaysia merupakan negara yang ketiga paling korup dalam dunia. Jika benar, ini bererti jumlah wang haram amatlah besar sekali. Sudah pasti tiada sesiapa akan mengistihar wang haram mereka dan membayar cukai keatasnya.
Gambarkanlah, jika betul wujud sejumlah RM 500 bil wang haram dalam edaran ( ekoran dakwaan Mahathir yang Malaysia merupakan negara yang ketiga paling korup di dunia). Dan kesemuanya RM 500 bil wang haram ini tanpa cukai kerana tidak pernah diistihar pemiliknya, ini bererti negara kehilangan berbilion ringgit hasil cukai. Kirakanlah berapa jumlah kerugian negara sekiranya berterusan selama 30 tahun.
Tetapi kini, dengan adanya GST, setiap kali wang haram itu dibelanjakan, negara menerima hasil cukai daripadanya. Jika tidak negara tidak menerima hasil apa-apa samaada sewaktu wang haram dihasilkan dan sewaktu ianya dibelanjakan.
Jualan secara langsung (direct selling) amat popular di Malaysia dan orang tidak membayar cukai keatasnya. Lihat di jabatan-jabatan kerajaan, anda dapati ramai daripada kakitangan kerajaan menjadi wakil penjualan pelbagai barangan, tetapi tiada siapapun membayar cukai dalam perniagaan seperti ini, sedangkan ianya menghampiri ratusan jika tidak ribuan juta ringgit.Kosmetik, barangan keperluan rumah, vitamin dan barangan kesihatan, ada sahaja mereka yang menjualnya secara direct selling dan bebas daripada cukai.
Ini sudah menyerupai negara Russia di mana ekonomi haram lebih besar daripada ekonomi yang diisytiharkan. Sebab itulah Russia mengenakan GST setinggi 18%, iaitu jika cukai tidak dapat dikenakan sewaktu pendapatan haram dihasilkan, sekurang-kurangnya ia dikenakan sewakatu wang tersebut dibelanjakan. Di UK, mereka dikenakan cukai 20% minima, sewaktu pendapatan dihasilkan dan 20% lagi sewaktu dibelanjakan.
Dengan adanya GST pelari cukai dapati lebih sukar mengelakkan cukai
Mereka berkata haram mengenakan cukai kepada orang miskin. Di UK, mereka di bawah bantuan kebajikanpun membayar GST 20%. Jadi mereka menerima bantuan kebajikan kerajaan tetapi membayar GST 20%, kecuali barangan keperluan hidup seperti makanan, pakaian kanak-kanak dll.Tetapi ramai penerima bantuan kebajikan, merokok, minum ( di pub) dan memiliki kereta. Justeru mereka perlu membayar GST dan cukai-cukai lain, dan untuk mengelak membayar cukai mereka perlu menahan diri daripada kegiatan-kegiatan ini dengan wang bantuan kebajikan kerajaan.
Jadi, pada hakikatnya orang miskin tidak perlu membayar GST jika mereka menahan diri daripada merokok, minum keras, memiliki kereta, sarapan diluar dengan kerap, shopping berlebihan, dll.
Mereka kata haram mengenakan GST keatas kaum miskin. Saya pernah menyertai membahagi zakat di Kuala Trengganu dalam tahun lapan puluhan dan sembilan puluhan. Orang miskin makan makanan asas sahaja dan hidup amat sederhana sekali. Walaupun ada GST, mereka tidak terkena, lainlah jika mereka mulai berbelanja lebih dari biasa.
Ada dikalang isi rumah yang tidak berkerja dan berasa selesa dengan bantuan kebajikan kerajaan. Mereka ini miskin semata-mata kerana malas berkerja.
Patutkah kerana segelintir rakyat yang malas berkerja, negara terpaksa kehilangan sumber kewangan sebanyak RM 40 bil. setahun.
Ya, Najib patut memansuhkan GST supaya Pakatan tidak lagi menggunakannya sebagai isu pilihanraya. Pasti negara akan hilang RM 40 bil dari sumber ini, tetapi ia dapat ditangani dengan mengurangkan bajet. Misalnya kerajaan boleh mengurangkan bantuan untuk sekolah Cina, masjid, hospital, pendidikan, dsb.
Kerajaan boleh juga membekukan pengambilan kakitangan baru dan selepas mereka bersara, kerajaan tidak perlu menggantikan mereka. Lama kelamaan perkhidmatan kerajaan akan menguncup dan kurang wang diperlukan untuk menguruskan negara. Akhirnya negara akan menyerupai Indonesia. Jika kita mampu mengurangkan bajet negara bagi menghapuskan GST, agaknya inilah tindakan yang tepat.
(Artikel ini adalah terjemahan daripada artikel dalam bahasa Inggeris oleh Raja Petra Kamaruddin bertarikh 4 Mei 2017 disiarkan dalam Malaysia Today)