Biasanya saya tidak ambil perhatian sangat tentang Sukan SEA di masa lampau. Apa tidaknya, tiada apa sangat yang diharapkan, prestasi pasti hambar. Sukan demi sukan sudah berlalu, yang pastinya tiada sebarang peningkatan yang boleh dibanggakan. Sejak beberapa dekad ianya berlangsung, Malaysia pernah hanya sekali menjuarai Sukan ini dalam tahun 2001. Pada tahun-tahun lainnya kita hanya mampu bertahan ditempat yang ke empat atau yang kelima.
Apabila ianya sudah bermula di Kuala Lumpur pada 19 Ogos lalu, saya masih tidak tahu ianya telah bermula dan di negara mana. Hanya selepas Malaysia mulai menunjukkan prestasi yang cemerlang dan berjaya merangkul 68 pingat emas jauh dihadapan negara-negara lawan, barulah saya, mungkin juga ramai seperti saya, mulai ambil perhatian.
Awal-awal pagi tadi saya buka Youtube dan menonton rakaman upacara perasmian yang telahpun berlangsung seminggu yang lepas. Alhamdullilah, dengan Smart TV 60 inchi saya dapat menontong seolah-olah berada di dalam stadium perasmian. Rekabentuk astaka dan arena persembahan sungguh mengkagumkan dengan hiasan ala digital belum pernah disaksikan sebelum ini. Suasana perasmian memangnya hebat dengan stadium dibanjiri puluhan ribu penonton termasuk dari negara-negara ASEAN. Malah ia mengatasi suasana perasmian Sukan Olimpik di Rio baru baru ini.
Persiapan yang rapi dan perjalanan yang lancar mencerminkan semangat baru yang tinggi dalam negara, terutama dikalangan generasi muda, meskipun ternampak sedikit kecacatan ekoran peristiwa bandera Indonesia yang terbalik.
Ucapan Khairy Jamaluddin yang bersemangat disambut dengan tepukan gemuruh sekalipun pada sa’at beliau mengucap kata-kata hormat kepada Perdana Menteri Najib dan isteri beliau Rosmah Mansor. Pasti suasana ini melegakan Najib disa’at beliau sedang berhadapan dengan kempen kebencian yang melampau dari pihak musuh. Saya agak sambutan para penonton pada malam itu adalah suatu petanda yang baik untuk Najib, apatah lagi daripada penonton yang hampir kesemuanya dari kalangan muda-muda belaka.
Berbalik kepada Khairy, sebenarnya saya seperti ramai rakyat Malaysia yang lain, menghormati dan memandang tinggi kemampuan beliau, lebih- lebih lagi saya sendiri agak rapat dengan Allahyarham ayahenda beliau pada ketika Khairy masih kanak-kanak dahulu.
Kemunculan Dayang Nurfaezah sebagai artis jemputan, amat membanggakan saya dan rakan-rakan senegeri dari Sarawak. Beliau diberi penghormatan mendendangkan lagu dengan gayanya tersendiri dan ini sudah cukup untuk menghangatkan lagi suasana pada malam itu. Ya, beliau anak Sarawak bersuara lunak yang paling lama bertahan di pesada seni negara.
Ketika barisan para atelit negara sedang berlalu, semangat baru mereka mulai terserlah. Pada amatan saya inilah semangat dan keyakinan baru para atelit kita setelah menjalani persiapan untuk acara besar dan paling bermakna kepada bangsa Malaysia. Lazimnya kemenangan dalam temasya sukan utama antarabangsa mencerminkan semangat, keyakinan dan kekentalan negara, terutama generasi muda, apatah lagi pada sebuah negara kecil seperi Malaysia. Hubungkait antara sukan dan kemajuan sesebuah negara sudah lama terbukti, sepertimana pencapaian Amerika Syarikat, negara China dan Korea Selatan dalam sukan Olimpik dan sukan-sukan antarabangsa yang lain.
Pemenang Pingat Emas, Khairul Hafiz (Malaysia) Raja Pecut Asia Tenggara di Tengah
Keyakinan ini terbukti wajar setelah seminggu Sukan SEA bermula. Sehingga kini Malaysia telah mendahulai negara lain dengan merangkul 100 piala emas dan sejumlah 233 pelbagai piala. Kedudukan ini sudah cukup selesa dihadapan Thailand pesaing terdekat Malaysia, menambah keyakinan yang Malaysia pasti akan muncul sebagai juara kali ini, kali kedua dalam sejarah Sukan SEA ( pada kedudukan akhir Malaysia merangkul 145 pingat emas berbanding Thailand dengan 72 pingat emas dikedudukan kedua). Keputusan penuh seperti dibawah:
Keputusan Sukan SEA KL 2017
Negara Emas Perak Gangsa Jumlah
Malaysia 145 92 86 323
Thailand 72 86 88 246
Vietnam 58 50 60 168
Singapore 57 58 73 188
Indonesia 38 63 90 191
Philippine 24 33 64 121
Myanmar 7 10 20 37
Kampuchea 3 2 12 17
Laos 2 3 21 26
Brunei 0 5 9 14
Timor Leste 0 0 3 3
Disebalik pandangan negatif yang sering dilemparkan terhadap generasi muda, sebenarnya mereka adalah generasi yang baik, punyai bakat dalam kesukanan, daya saing yang tinggi dan semangat yang kental untuk mencapai kejayaan bertaraf global. Pasti ini menggambarkan mereka juga memiliki kualiti yang sama kearah kejayaan dalam bidang lain seperti pendidikan, profession, perniagaan dan keusahawanan.
Generasi ini juga menampakkan kesedaran politik yang matang dan menghargai segala pencapaian negara setakat ini, jika tidak sudah tentu negara kita sudah lama menjadi huru-hara seperti dibanyak negara Islam yang lain. Malah kajian keatas data PRU 2013 menunjukkan kira-kira 61% pengundi Melayu di Semenanjung dalam kumpulan umur 21-29 tahun telah mengundi parti Barisan Nasional, sungguhpun kajian yang sama mendapati kesetian politik mereka boleh berubah mengikut keadaan. Jadi terpulanglah kepada kebijaksanaan pihak yang berkenaan untuk menambat hati mereka.
Sekian, wallahu a’lam
DAH IKHWAN