Presiden Baru UMNO: Halatuju Kepimpinan Zahid akan Bercelaru?

Tahniah kepada Datuk Seri Zahid Hamidi diatas kemenangan sebagai Presiden baru UMNO  dengan sebilangan undi seperti di bawah:

CalonUndi Bahagian
Undi Perwakilan
Zahid Hamidi9939,197
Khairy Jamaluddin6132,598
Tengku Razaleigh3020,462

Seramai 146,000 perwakilan dari 191 Bahagian UMNO  layak  mengundi dalam pemilihan ini, justeru menjadikan UMNO sebagai sebuah parti yang paling demokratik dalam proses pemilihan barisan kepimpinan parti.

Yang menarik perhatian kita berikutan keputusan ini ialah reaksi online di portal berita yang rata-rata tidak menjangka akan kemenangan Zahid dan majoriti mereka mengharapkan kemenangan menyebelahi Khairy. Khairy di anggap  sebagai dari angkatan muda yang mewakili puak reformasi dalam UMNO dan Zahid pula dianggap terlalu rapat dengan bekas PM Najib, justeru terpalit sama dalam isu-isu yang melanda parti.

Yang paling ekrem adalah komen-komen di laman Malaysiakini yang didominasi bukan Melayu, nampak keterlaluan  dengan sikap benci dan   dendam yang meluap-luap  terhadap UMNO. Rata rata mereka mendoakan semoga UMNO terus berkubur dan lenyap dari bumi Malaysia. Sikap sebigini tidaklah diluar jangkaan kerana sedikit sebanyak penindasan kaum bukan Bumiputera dan bukan Islam sememangnya wujud sejak Dasar Ekonomi Baru di laksanakan dalam tahun tujuh puluhan.

Survei terkini pihak Merdeka Center  yang mendapati ahli parti  menganggap ciri pemimpin jujur dan amanah sebagai tidak penting kepada UMNO memburukkan lagi keadaan. Ini menggambarkan betapa jauh terselisihnya UMNO daripada ideal perjuangan asal.

AGENDA REFORMASI

Nampaknya Khairy kini berada dalam gelanggang yang  kurang  sesuai dengan peribadi beliau sebagai seorang  reformis. Ini tidak bererti beliau perlu meninggalkan UMNO kerana kinipun sudah ada 34.6% daripada undi perwakilan yang menyebelahi beliau berbanding 42.6% untuk Zahid.

Disinilah terletaknya cabaran kepada seorang pemimpin untuk meneruskan perjuangan. Khairy  punyai kepintaran dan mampu memberi inspirasi kepada umum. Jika memiliki   sifat jujur  dan  berani memperjuangkan ideal parti, insya Allah beliau akan berjaya

Akan tetapi,  beliau perlu memperhalusi perjuangannya dengan berpijak dibumi yang nyata. Ini saya katakan kerana UMNO ialah sebuah parti Melayu dan Bumiputera sahaja  dan sokongan rakyat kini adalah tertumpu di kawasan pedalaman  dan majoriti Melayu.

Maka dengan  agenda reformasi mendadak dan terlalu liberal, beliau pasti akan terpisah daripada perjuangan asal,  ahli-ahli parti  dan para pengundi Melayu. Jika beliau menerajui UMNO yang bercorak sebegini, maka parti lawan seperti PPBM  dan PAS akan dapati lebih mudah menembusi kawasan kubu kuat UMNO.

Juga, masalahnya  undang-undang pertubuhan Malaysia yang menjadi penghalang reformasi. Kini seseorang pemimpin parti yang tidak sehaluan  mudah disingkirkan oleh pucuk pimpinan parti. Dengan suasana ini demokrasi tidak akan bertumbuh subur dalam parti dan tidak mungkin seorang pemimpin reformasi akan berjaya. Tun Mahathir sendiri yang bertanggung-jawab mengenalkan undang-undang ini, jadi saya sarankan beliau seharusnya memperbetulkan keadaan ini sementara masa masih ada.

KEMANA HALA KEPIMPINAN ZAHID?

Zahid menawarkan perjuangan asal UMNO yang mudah diterima oleh majoriti masyarakat Melayu, tetapi juga berkemungkinan mengubah sikap bergantung dengan suasana politik yang dijangka dinamik dalam masa 5 tahun dari sekarang.

Pertama, beliau mungkin mengambil jalan pintas berkerjasama dengan PAS untuk PRU 15. Kekuatan parti masing-masing sudah diketahui perpandukan keputusasn PRU 14 dan ini memudahkan pengagihan kerusi seterusnya. Analisis kita mendapati jika kerjasama terjalin dalam PRU lepas, UMNO  dan  PAS mampu memenangi sebanyak 98 kerusi diantara mereka di Semenanjung Malaysia.

Maka, dengan kerjasama BN Sarawak  dan Sabah diwaktu itu, jumlah kerusi Parlimen yang sepatutnya dimenangi oleh BN dan PAS ialah  128  kerusi. Ini sudah cukup untuk membentuk kerajaan Malaysia. Bagaimanapun dengan terkuburnya parti BN, keadaan ini agak sukar dicapai jika Zahid meneruskan politik ekstrem agama parti-parti Semenanjung.

Kedua, kemungkinan kerjasama diantara UMNO dan PKR bukanlah satu perkara yang mustahil atas dasar  Zahid dan Anwar tidak pernah bermusuhan. Jika terjadi,  jumlah yang mereka boleh kuasai bersama selepas PRU 14 ialah 105 kerusi Parlimen. Dengan suasana ini, mungkin tidak begitu sukar mereka mendapat kerjasama dari parti-parti politik pembangkang dari Sabah dan Sarawak untuk menjadi kuasa majoriti. Ini mungkin berlaku jika janji  PH untuk melantik  Anwar menjadi Perdana Menteri tidak ditepati.

Ketiga, cantiknya dalam keadaan di atas pemerintahan dual party system akan hidup segar di Malaysia. Selain itu, suara rakyat antara Semenanjung disatu pihak dan Sabah dan Sarawak di pihak yang lain akan juga menjadi lebih seimbang untuk menjaminkan kesinambungan Negara Malaysia.

Sekian, wallahu a’lam.

DAH IKHWAN

About DAH IKHWAN

Born in Kuching in 1948. Obtained Bachelor of Economics (Hons), U Malaya, and MBA, U Leuven, Belgium. Worked in senior management positions in Government Service until retirement in 2003. Business entrepreneur in the last 20 years and active in social organisations, besides being on the Board of government agencies, GLCs and member of top level advisory councils of the Government. Social and political research, analysis and writing are my hobbies.
This entry was posted in Artikel Politik, pru 14, Uncategorized and tagged , . Bookmark the permalink.