Isu Persijilan Halal JAKIM Dan Kes Cokolat Cadbury

 

Isu DNA babi dalam Cokolat Cadbury menonjolkan sekali lagi soal fatwa yang perlu diperjelaskan kepada masyarakat umum. Sejak beberapa minggu yang lepas, banyak percambahan pendapat kita saksikan melalui semua media, terutama dalam media baru secara online. Pendapat ini pula berbeza dan banyak mengelirukan masyarakat. Pendapat yang konseratif berlandaskan fatwa zaman silam daripada mazhab seperti yang dihujahkan oleh beberapa ustaz  seperti Ustaz Kazim, dan yang lebih liberal pula  seperti Professor Dr. Maza dan Dr. Yusuf  Al-Qaradawi.

Pendapat Professor Dr. Maza memberi fokus kepada keadaan semasa, iatu cabaran baru hasil daripada penemuan ka’edah modern DNA. Dengan kaedah ini para pengkaji dengan mudah menemui DNA berunsur benda benda haram didalam makanan atau produk kosmetik. Inilah yang telah berlaku beberapa kali seperti dalam isu Ramly Burger, Kek Lapis Sarawak dan kini pula dalm cokolat Cadbury. Malah DNA babi  boleh dengan mudah mencemari makanan lain seperti sayur-sayuran dan air paip yang kita minum setiap hari. Fenomena baru ini hanya timbul kira-kira  dua dekad yang lalu, dan tanpa penyesuaian fatwa,   maka dalam keadaan  penceramah yang gemar menyempitkan pandangan, masyarakat Islam akan menghadapi suasana yang amat sukar dimasa hadapan.

Fatwa-fatwa Mazhab yang dipegang lebih seribu tahun dahulu, yang mulai wujud dalam suasana ilmu yang amat terbatas dimasa itu,  perlu diperhalusi dalam menghadapi dunia modern hari ini. Saya rasa  ini menjadi suatu kewajipan kepada para ulama dan para ilmuan Islam utuk menangani masalah ini.

Jika pendapat Ulama konservatif seperti ustaz Kazim dan  Ustaz Harussani (Mufti Perak )diguna-pakai, hujahnya begitu mudah sekali, tetapi amat sukar dipraktiskan dalam kehidupan harian.

Pendapat Ustaz Kazim

Menurut Ustaz   Kazim, “umat Islam harus berpegang teguh kepada ketetapan Islam yang digariskan oleh mazhab yang selama ini menjadi ikutan kepada Muslim di negara ini.”

Beliau menambah, “Keempat-empat mazhab Islam berpegang teguh bahawa apa sahaja yang berkaitan dengan babi tidak boleh dimakan, setiap benda makanan haram yang masuk dalam badan akan jadi daging.

“Kalau makanan itu makanan haram, nerakalah tempatnya bagi kita, kalau makanan itu halal maka syurgalah tempatnya untuk kita,”

Pendapat Professor Dr Maza

Pendapat Professor Dr Maza pula berasaskan pendapat Dr Yusuf Qaradawi, menekankan soal istihalah yang menukarkan  sesuatu bahan najis kepada bahan yang lain seperti bangkai kepada abu, mayat yang sudah menjadi tanah, arak kepada cuka, baja najis kepada pokok yang subur dan seumpamanya diiktiraf dalam Fekah Islam sejak dahulu. Cumanya, ada mazhab yang menyempitkan asas istihalah ini seperti Syafi’yyah dan Hanabilah (Hanbali). Ada pula yang meluaskannya seperti Hanafiyyah dan Zahiriyyah juga Malikiyyah. Tokoh-tokoh muhaqqiqin (penganalisis) yang berkaitan menyokong dan meneguhkan hujah bahawa peroses istihalah boleh menukar najis kepada bahan yang bersih.

Beliau seterusnya berkata, disebabkan umat Islam tidak menjadi pengeluar, kita asyik menjadi pengguna, maka bahan berasal khinzir tersebar begitu luas dalam pelbagai aspek kehidupan manusia; makanan, perubatan, bahan kecantikan dan lain-lain. Kehidupan manusia, termasuk umat Islam terpaksa berkait dengan bahan-bahan yang berasal dari sumber bahan yang haram. Fatwa dalam hal ini sudah pasti diperlukan.

Maka, beliau menambah, fatwa dikeluarkan  termasuk membabit isu istihalah oleh Majlis Fatwa Eropah (European Council for Fatwas and Research) yang mengizinkan bahan yang berasal haram tapi telah berubah melalui proses, begitu juga alcohol yang sedikit yang terdapat dalam makanan tertentu yang tiada kesan.

Sementara itu  sebahagian ilmuwan pula menganggap proses istihalah bagi sesuatu bahan seperti gelatin berunsur babi itu tidak sempurna. Maka, jadilah isu gelatin di sudut itu perkara yang syubhah.

Sesiapa yang mengelakkan sesuatu yang syubhat -sekalipun tidak sampai ke peringkat haram- merupakan perkara yang baik untuk diri dan agamanya. Namun, dia tidak boleh berkeras mengharamkan untuk umat Islam yang lain yang mempunyai pandangan yang berbeza.  Tidak boleh hina-menghina dan bermusuhan dalam persoalan amalan peribadi yang seperti ini selagi semua pihak beramal atas dalil yang diyakininya.

Selagi, umat Islam mempunyai sumber yang pasti halal, mereka sepatutnya mengelakkan sumber yang syubhah. Di Malaysia umpamanya, gelatin halal wujud dan boleh didapati, maka memulaukan yang syubhat dapat menggalakkan industry halal.

Umat Islam hendaklah berusaha menjadi pengeluar, bukan sekadar pengguna. Kelemahan industri umat Islam adalah punca lambakan bahan yang syubhat dan juga mungkin haram.

Kaedah Analisis Yang Ada dan Prosedur Pengawalan

Dalam amalan perundangan syariah, DNA bukanlah sebagai bukti syahadah, tetapi ia adalah qarinah. Kebanyakan tokoh-tokoh fekah bersetuju DNA hanyalah faktor pembantu kepada penerangan bukti, bukannya faktor penentu bukti. Secara khususnya Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Malaysia kali ke 96 telah membahaskan dan membuat keputusan pada Oktober 2011 tentang pencemaran khinzir ini.

Muzakarah tersebut telah mengharuskan bagi umat Islam mengambil makanan atau minuman yang tercemar DNA babi yang tidak disengajakan dengan syarat telah dibuat kajian cara terperinci sebelum itu bahawa semua ramuan, kandungan dan cara pemprosesannya telah disahkan sebagai suci dan halal.

Keputusan    itu tidak bermakna sesuatu produk yang didakwa dicemari DNA bahan haram boleh dibiarkan begitu sahaja.Tindakan pihak JAKIM  menggantung sementara produk berkenaan adalah tepat sementara siasatan terperinci dilaksanakan bagi mengenal pasti kesahihan dakwaan dan untuk mengetahui bagaimana pencemaran tersebut boleh berlaku, sama ada disengajakan atau sebaliknya.

 

Persijilan Halal JAKIM dan Perkembangan Industeri Halal

Persijilan Halal Malaysia ditadbir dibawah Akta Perihal Dagangan(APD) 1972 dan Perintah Perihal Dagangan 1975 (sehingga 31 Disember 2011) yang menjelaskan takrif halal dan penyediaan makanan halal dari segi hukum syarak serta kesalahan pemalsuan bahan mentah dan dokumen
halal yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK);

APD 2011, Perintah Perihal Dagangan( Takrifan Halal) 2011 dan Perintah Perihal Dagangan( Perakuan dan Penandaan Halal) 2011  memberi kuasa kepada JAKIM dan Majlis Islam Negeri(MAIN) sebagai kuasa  yang berwibawa memperakukan makanan, barang-barang dan perkhidmatan sebagai Halal. Dalam Perintah ini tiada makanan, barang-barang dan perkhidmatan boleh diperihalkan sebagai Halal melainkan diperakukan demikian oleh kuasa yang berwibawa dan di cop dengan logo Halal yang dikeluarkan oleh pihak JAKIM DAN MAIN.

Malaysia merupakan satu-satunya negara yang mengeluar, mengawal, mentadbir dan mengurus sijil halal yang diiktiraf di seluruh dunia dengan pasaran eksport produk bernilai RM32.8 bilion tahun lalu. Jumlah tersebut menyumbang 4% daripada keseluruhan eksport negara yang bernilai RM800 bilion.

Asas yang kukuh ini telah dicapai dengan pentadbiran sistem Halal yang di hormati dunia. Sama ada ia akan terus berkembang dimasa hadapan bergantung banyak dengan kebijaksanaan para Ulama dan ilmuan negara, terutama Majlis Fatwa Kebangsaan, dalam menangani isu-isu halal yang kerap tercetus didalam pasaran negara.

Suasana polimik dalam masyarat kini  adalah baik dan harus  mampu menimbulkan percambahan pendapat dan suasana yang segar dalam menangani cabaran  dengan kaedah yang praktis. Ini terpulang kepada para ulama dan masyarakat  yang bijak dalam menganalisis dan mengkaji isu-isu yang timbul. Ini mampu melahirkan fatwa-fatwa yang baik dan praktis untuk diamalkan  oleh masyarakat disamping menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industeri Halal dalam negara dan juga di peringkat global.

Penutup

Memandangkan wujudnya perbezaan pendapat dari kalangan Ulama tentang isu DNA babi, sudah jelas ini merupakan isu khilafiah atau perbezaan yang dibenarkan dalam agama.

Dalam menghadapi masalah ini yang dijangka akan berulang dari semasa kesemasa, jika para ulama dan ilmun kita mengambil pendekatan yang sempit, ini akan menyukarkan masyarakat dalam  amalan harian disamping menjejas kewibawaan sistem persijilan halal negara. Pendekatan yang terlalu ketat menyukarkan pasaran halal dan agensi penguatkuasa. Ini akan mengekang kemajuan, justeru itu  keadaan ekonomi negara dan dunia yang kini dikuasai orang kafir akan berterusan selama-lamanya.

Sebaliknya jika mereka mengambil pendekatan yang terlalu rengan secara sambil lewa sahaja,  ini akan meningkatkan kemarahan masyarakat Islam. Disamping itu peniaga peniaga tergalak untuk melanggar undang-undang dan peraturan yang pasti  akan menjejaskan kewibawaan sistem pensijilan Halal Malaysia dimata rakyat.  Suasana begini  juga akan menjejaskan kedudukan Malaysia dalam industeri Halal global.

 

Sekian, wallahu ‘alam

DAH IKHWAN

 

 

 

 

 

 

 

 

 

About DAH IKHWAN

Born in Kuching in 1948. Obtained Bachelor of Economics (Hons), U Malaya, and MBA, U Leuven, Belgium. Worked in senior management positions in Government Service until retirement in 2003. Business entrepreneur in the last 20 years and active in social organisations, besides being on the Board of government agencies, GLCs and member of top level advisory councils of the Government. Social and political research, analysis and writing are my hobbies.
This entry was posted in Uncategorized and tagged , . Bookmark the permalink.