Pemilihan Majlis Tertinggi UMNO baru sahaja selesai dengan keputusan yang seperti dijangka. Pertarungan sengit diantara Hishamuddin Tun Hussein dan Dato’ Seri Mukhriz Mahathir juga seperti dalam jangkaan, tetapi keputusan telah memihak kepada Hishamuddin. Slot yang dua lagi untuk Naib Presiden telah di menangi oleh Ahmad Zahid Hamidi dan dan Shafie Afdal dengan selesa.
Tun Mahathir tidak dapat menyembunyikan kehampaan atas kekalahan anak beliau. Bagi beliau, kemenangan para penyandang kerusi disebabkan sokongan dari atas, iaitu Dari Perdana Menteri Najib, justeru pada beliau UMNO telah menolak muka baru dari generasi baru dan transformasi yang diharapkan. Tetapi, apakah tanggapan itu betul? Atau itu hanyalah suara seorang yang hampa.
Bagi saya, kecenderungan pengundi kepada penyandang adalah perkara biasa, bukan sahaja dalam pemilihan dalam parti, lebih lebih lagi dalam pilhanraya umum. Oleh itu, semua pemenang daripada Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Ketua Wanita dan Ketua Pemuda merupakan muka lama. Jika tidak kerana Mukhriz itu anak Tun Mahathir, sudah pasti dia tidak mampu memberi persaingan sengit kepada Hishamuddin.
Sebenarnya, ahli-ahli UMNO nampaknya bersedia menerima pemimpin-pemimpin muda seperti Khairi dan Mukhriz, hanya nasib tidak menyebelahi Mukhriz kali ini, sungguhpun beliau telah berjaya mendapat undi majoriti. Ini samalah seperti keadaan Najib dan Anwar dalam PRU 13 yang lepas.
Sungguhpun demikian ini bukanlah jalan tertutup kepada Mukhriz, kerana beliau terbukti berjaya memiliki sokongan majoriti. Samaada beliau berjaya dimasa hadapan bergantung kepada prestasi sebagai Menteri Besar Kedah berbanding prestasi Hishamuddin sebagai menteri Persekutuan dimasa hadapan. Bezanya, peluang Mukhriz untuk menang nampaknya mungkin jauh lebih cerah daipada peluang untuk Anwar mengalahkan Najib.
Analisis daripada blogger dan kolumnis lain menarik perhatian kita. Blogger The Scribe, Abdul Kadir Jasin, melihat keputusan ini dari sudut ketandusan muka-muka baru sambil membuat andaian yang UMNO mungkin berakhir seperti Burung Dodo yang telah pupus. Mengapa beliau berkata demikian, kita kurang pasti kerana kita dapati, UMNO telah memilih semula beberapa muka lama, tetapi merupakan satu barisan yang agak muda juga. Pemilihan Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pemuda, misalnya, amat tepat sekali sebagai orang muda yang progressif, pintar dan mampu menghadapi sesiapapun jika berdebat.
Disamping itu kini ramai ahli majlis tertinggi dibarisi oleh muka-muka baru. Jika dilihat dari segi kepimpinan yang ada hampir kesemuanya baru sahaja menyandang jawatan masing sejak sepenggal yang lalu, komen seperti ini tidak tepat pada tempatnya. Jika dibandingkan, pemimpin-pemimpin dalam Pakatan Rakyat amat ramai yang telah memegang jawatan melangkaui beberapa generasi.
Juga, A Kadir Jasin selanjutnya megenengahkan teori yang Khairy dan Ahmad Zahid akan menjadi gandingan yang menarik dan saling melengkapi. Dengan pengaruh yang ada kini, beliau berkata, tidak mustahil Ahmad Zahid kemudian hari nanti boleh menggugat kepimpinan yang ada dalam UMNO sekarang.
Mungkin A Kadir Jasin ada sebab menjangka demikian kerana rekod Zahid Hamidi sebagai seorang pemimpin yang kurang setia dengan bossnya dan lebih berani mengambil risiko politik berbanding pemimpin biasa.
Tetapi kita juga nampak ada yang berpendapat A Kadir Jasin hanyalah seperti pembela Mukhriz dan Tun Mahathir sahaja dan tidak menyenangi kemaraan Khairy.
Dalam akhbar The Star, Kolumnis Karim Raslan pula mengarah perhatian kepada program transformasi Najib yang telah mulai bertapak sejak sebelum PRU 13. Beliau mencabar Najib meruskan program transformasi asal serta mengetepikan pencabar-pencabar beliau. Bagi kita ini bukan semudah itu kerana walaupun Najib perlu meneruskan program transformasinya, beliau perlu juga prihatin dengan suara akar umbi daripada UMNO dan masyarakat Bumiputera amnya. Program transformasi perlu diubah suai dibahagian-bahagian yang perlu tetapi dengan tidak mengenepikan landasan asal yang telah ditetapkan.
Kita tidak berasa hairan dengan cabaran Karim Raslan walaupun beliau seorang Melayu. Ini kerana beliau memang terkenal dengan pendapat Melayu yang liberal, tambahan pula mencari rezeki di akhbar The Star yang kita ketahui dimiliki oleh MCA, sebuah parti dengan sentimen kecinaannya yang kuat.
Kita sebenarnya juga mahu Najib meneruskan Program Transformasinya demi untuk masa depan negara dan untuk mencapai matlamat Wawasan 2020. Tetapi, matlamat itu perlu mengambil kira suara akar umbi Melayu dan Bumiputera yang menjadi tulang belakang Barisan Nasional. Jika tidak, UMNO dan BN akan senasib dengan burung Dodo (merujuk artikel Kadir Jasin).
Kehendak rakyat memang sudah jelas digambarkan dalam keputusan PRU 13. Mengikut analisis empirical kita menggunakan kaedah multiple regression, amat jelas pola penggundian telah dilakukan mengikut acuan kaum.
Pengundi Cina, terutamanya, tidak mengambil kira faktor selain faktor kaum ketika menggundi kerana 90% dari mereka telah menggundi Pakatan Rakyat. Ini kerana jika mereka mengambil kira faktor-faktor lain sudah pasti corak pengundian mereka berbeza dari negri ke negri atau dari kawasan ke kawasan pilihanraya mengikut kesan sesuatu faktor itu kepada kawasan tersebut.
Penggundi di bandar juga dikatakan lebih cenderong mengundi Pakatan Rakyat berbanding dengan di luar bandar. Kajian kita menunjukkan ini sebenarnya tidak berlaku sedemikian. Penggundi Cina di mana-manapun telah mengundi Pakatan Rakyat pada kadar yang amat tinggi 90%. Penggundi Melayu pula kita dapati tidak banyak berbeza diantara bandar dan luar bandar, tetapi hanya berbeza mengikut negeri masing-masing. Ini sungguh nyata apabila di Kelantan dan Trengganu BN hanya memperolehi 46.7% dan 53.2% masing-masingnya, tetapi di Melaka, Negeri Sembilan dan Johore sejumlah lebih 82% Melayu telah mengundi BN.
Kontras antara undi Melayu di bandar dan luar bandar agak ketara ketika menganalisis pola pengundian di Negeri Selangor dan KL. Di sini pada keseluruhannya kira-kira 62% undi Melayu telah memilih BN, tetapi di kawasan bandar di Lembah Kelang angkanya kurang sedikit pada kadar 60%.
Kajian pola pengundian antara pengundi mengikut peringkat umur malangnya tidak dapat kita lakukan kerana pihak SPR tidak menyiarkan data pengundi mengikut umur. Kita cadangkan pihak Universiti atau kerajaan membuat kajian ini bagi menilai keadaan sebenar tentang pola pengundian pengundi muda.
Kesimpulan yang kita dapat dari penemuan-penemuan di atas ialah parti-parti politik tidak dapat memandang sepi kehendak kaum atau pengundi di heartland masing-masing.
Tinjauan pendapat yang dibuat oleh 1 Malaysia .com bulan Oktober ini pula menggambarkan isu-isu penting dihati rakyat. Isu yang terpenting ialah isu kos sara hidup, diikuti dengan isu perumahan dan kehidupan di bandar dan juga isu keselamatan awam
Dalam menangani isu kos sara hidup dan perumahan yang amat mendesak, ini menjurus kepada perlunya meningkatkan program subsidi untuk bahan makanan dan membina lebih banyak rumah murah serta affordable housing (Program rumah rakyat 1 Malaysia).
Setakat mana kerajaan dapat menunaikan kehendak ini amat rumit sekali kerana ia pasti memerlukan subsidi yang besar dan sudah tentu akan menjejas program transformasi ekonomi yang berlandaskan belanjawan yang efficien dan pasaran terbuka. Sebarang program yang memindah agihan kepada mana-mana bentuk subsidi secara besar-besaran adalah tidak efficien dan akan menjejaskan program transformasi ekonomi dan matlamat Visi 2020 negara.
Isu keselamatan awam dan isu rasuah juga berada ditempat utama dalam poll 1 Malaysia.com di atas. Malah tinjauan pendapat pembaca Utusan Malaysia online dalam bulan Oktober ini menunjukkan lebih daripada 85% pembaca menyokong tindakan polis menembek penjenayah yang menggunakan senjata berbahaya.
Penemuan daripada tinjauan pendapat diatas menggambarkan rakyat tidak bersetuju dengan tindakan melonggarkan undang-undang jenayah yang di perjuangkan oleh aktivis-aktivis liberal yang kerkiblatkan nilai-nilai Barat. Oleh itu tindakan kerajaan meminda undang-undang pencegahan jenayah adalah perlu walaupun tidak selaras dengan program transformasi kerajaan.
Kesimpulannya, Parti UMNO sebagai parti tunjang kerajaan BN perlu menimbangkan dengan teliti isu-isu yang penting kepada rakyat dan mengambilkira isu-isu ini dalam polisi kerajaan dengan cara yang tidak menjejaskan dengan serius perlaksanaan program transformasi negara. Untuk menilai signifikannya sesuatu isu, kajian yang teliti perlu dibuat berlandaskan analisis data yang ada bagi menghasilkan polisi yang tepat dan berkesan.
Sekian, wallahu ‘alam. wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
DAH IKHWAN
Saya berpendapat, banyak transformasi kerajaan dilihat berjaya. Kerajaan sekarang sangat peka kepada masalah rakyat. Boleh dikatakan apa sahaja masalah rakyat terutamanya yang disiarkan di media, akan ditangani dengan segera.
Saudara Dino,
Saya setuju dengan pandangan saudara. Cuma kerajaan perlu hati-hati dalam menunaikan kehendak short term rakyat dengan cara tidak menjejaskan Matlamat Transformasi Ekonomi dan matlamat Wawasan 2020.
Yang juga amat penting janganlah membazirkan wang rakyat, hentikan ketirisan dan hadkan bantuan BRIM hanya kepada yang betul-betul memerlukannya
Assalamualaikum tuan Dah Ikhwan..
Dari bacaan artikel yg lepas2…
Dan keputusan yg diambil negara jiran Brunei.. yg Sultannya menguat kuasakan Undang2 Jenayah Islam. .. InsyaAllah ia akan menjafi benchmark rakyat Malaysia.
Jadi.. bolehtak tuan nyatakan… tanpa perlunye sokongan undi cina india pd PRU14 akan datang… Org Melayu Islam dpt mendapat solid 2/3 kerusi majoriti…
Maksud saya bilangan kawasan yg mempunyai % org melayu atau Islam yg kita rasakan boleh memberi kemenangan pada calon Islam.
Saya melihat pada espek penyatuan Umat Islam dlm memilih calon.. mungkin andaian apabila wujudnya sefahaman antara Org Islam dlm pas..umno.. dan pkr.. satu keputusan utk tiada pertandingan sesama sendiri di kerusi yg lebih 50% pengundinya Islam.
Adakah target lbh 148 kerusi atau 2/3 itu boleh berlaku mengikut taburan % pengundi.
Saya tidak mempunyai data dan tiada kepandaian analisi spt tuan
Diharap dgn analisi tuan ini dapat mengembirakan hati saya… pengundi ayas pagar.. dan org ug tidak berparti.. tetapi merindui kemenangan Islam sebenar… bukannya kemenangan parti politik shj… mengikut politik demokrasiciptaan barat ini.
KalKalau boleh ada artikel khusus untuk ini…
Terima kasih dan wassalam.
Saudara Zulkifli,
Terima kasih diatas soalan saudara. Saya telah membuat analisis berkenaan perkara ini dalam artikel-artikel analisis keputusan PRU 13 yang lalu. Secara kasar saya agak ini tidak mustahil tetapi amat sukar dilakukan. Parti Pas dan UMNO mungkin lebih mudah berkerjasama, tetapi Muslim dalam PKR dan PBB tidak mungkin mengenepikan rakan-rakan bukan muslim mereka.