Masyarakat Melayu dan Budaya Niaga

Tidak dapat dinafikan kemajuan setiap kaum dalam bidang ekonomi bergantung banyak dengan wujudnya masyarakat usahawan(entrepreneurs) yang mantap dan dinamik. Ini kita nampak didalam masyarakat kaum yang maju didunia ini seperti masyarakat kulit putih di Amerika Syarikat dan di Eropah Barat, Masyarakat Jepun dan Cina di Asia Timur dan juga di kalangan sesetengah masyarakat India dan Arab.

Di Malaysia kita boleh mengenali beberapa usahawan terkemuka seperti Tan Sri Robert Kuok, Tan Sri Lim Goh Tong, Tan SriTeh Hong Piow dari keturunan Cina, dan Tan Sri Ananda Krishnan dan Tony Fernandez dari keturunan India. Dalam masyarakat Bumiputera juga terdapat beberapa usahawan terkemuka seperti Tan Sri Syed Mokhtar, Allahyarham Tan Sri Nazamuddin, Tan Sri Azman Hashim dan beberapa orang lagi yang kurang dikenali ramai. Ramai juga usahawan Bumiputera yang terkenal pada suatu waktu dahulu seperti Tan Sri Halim Saad, Tan Sri Tanjuddin Ramli dan beberapa orang lagi yang gagal dan terus dilupai masyarakat.

Fenomena tumbuhnya golongan usahawan atau peniaga dalam masyarakat Bumiputera tidak dinafikan berlaku hanya sejak dua atau tiga dekad yang lalu. Ia boleh dikaitkan dengan Dasar Ekonomi Baru yang di laksanakan Kerajaan dalam tempoh tersebut. Tidak dapat dinafikan dasar kerajaan telah dapat mewujudkan golongan usahawan Bumiputera di Malaysia, berbanding tiadanya golongan sedemikian yang wujud dikalangan Masyarakat Melayu di Singapura, Brunei, Thailand dan Filipina. Malah di Indonesia yang penduduknya hampir kesemuanya dari rumpun Melayu juga gagal memajukan masyarakat peribumi mereka.

Sungguhpun demikian, masyarakat Bumiputera Malaysia masih gagal mencapai matlamat menguasai 30% ekuiti dalam negara. Jangkaan kini ialah kira kira 20% ekuiti dimiliki Bumiputera, termasuk yang dimiliki Institusi Bumiputera seperti Permodalan Nasional Berhad dan Tabung Haji. Maka yang benar benar dimiliki oleh usahawan Bumiputera adalah kecil dan belum cukup membanggakan.

Syarikat Usahawan Bumiputera(SUB) Tidak sama dengan Government Link Companies(GLC)

Dalam membincang halatuju dan pertumbuhan perniagaan Bumiputera, adalah perlu membezakan Syarikat SUB daripada Syarikat GLC. Ini kerana terdapat banyak perbezaannya dari segi ciri ciri dan motivasi peneraju syarikat syarikat berkenaan, yang lazim menghasilkan prestasi yang berbeza.

Syarikat SUB biasanya di ditubuh dan dimajukan oleh seseorang Pengusaha Bumiputera(Bumiputera Entrepreneur) yang juga menguasai saham syarikat. Syarikat GLC pula biasanya di miliki oleh kerajaan atau institusi yang ada kaitan dengan kerajaan seperti EPF, Permodalan Nasional Berhad, Petronas, dsb.

Peneraju SUB, seperti Tan Sri Syed Mokhtar dsb. adalah pemilik dan penanggung risiko Syarikatnya, manakala peneraju syarikat GLC hanyalah bertaraf pengurus korporat yang digaji oleh syarikat. Dari segi tanggungjawab dan motivasi, terdapat banyak perbezaan diantara dua kategori peneraju ini, sebab itu biasanya peneraju SUB memberi komitmen yang lebih tinggi dan menghasilkan pertumbuhan yang lebih tinggi berbanding pengurus korporat syarikat GLC.

Dalam sistem pasaran bebas, ada empat faktor pengeluaran, iaitu tanah, pekerja, modal dan usahawan(entrepreneur). Keempat empatnya adalah penting  dan mesti wujud dalam kebanyakan aktiviti ekonomi. Misalnya tanpa adanya seorang usahawan terlibat sebagai peneraju syarikat, sesuatu perniagaan itu kurang sempurna untuk memikul beban  tugasnya dengan cemerlang.

Jika diteliti secara mendalam, kita dapati golongan Usahawan Bumiputera belum cukup ramai dan peranan mereka dalam ekonomi Bumiputera masih kecil berbanding sumbangan rakan mereka didalam ekonomi masyarakat Cina. Dimanakah kesilapannya kita? Adakah negara gagal dalam usaha mewujudkan kelas usahawan Bumiputera yang mantap, atau sebaliknya sasaran yang di tetapkan Kerajaan terlalu tinggi, tidak realistik dan tidak mungkin dicapai dalam tempoh yang singkat?

Bagi saya, sedikit sebanyak kerajaan boleh dianggap berjaya dalam usaha ini. Tetapi kejayaannya adalah terhad, kerana ia tidak mencapai matlamat keseluruhannya. Adakah kesilapan terletak diatas dasar negara yang memberi hak istimewa Bumiputera. Ada dikalangan Melayu kini berpendapat Melayu kurang maju kerana kurang daya saing disebabkan terlalu dilindungi oleh dasar kerajaan. Jika dasar ini dipersoalkan, mengapa Melayu di Malaysia lebih maju daripada Melayu lain di Nusantara? Di negara lain mereka tidak dilindungi, dan perlu bersaing dalam pasaran bebas. Lihatlah apa yang mampu mereka capai, malah jika berjauhan dari Nusantara, hidup dikalangan masyarakat asing, identiti Melayu terbukti pupus, seperti di Afrika Selatan dan di Sri Lanka.

Hakikatnya Bangsa Melayu adalah bangsa yang baru, malah kita sendiri tidak mempunyai rekod asal usul dan sejarah perkembangan bangsa yang lama. Rekod yang ada, batu bersurat hanya berusia kurang daripada 800 tahun. Rekod yang lain, kebanyakannya ditulis oleh orang asing dan bukan oleh Melayu sendiri. Maka jatidiri Melayu belum begitu kukuh, berbanding dengan bangsa Cina dan India yang sememangnya memiliki sejarah tamadun yang amat lama.

Jika berbanding dengan kaum Melayu, kaum mereka dan Identiti mereka tetap terpelihara kerana jatidiri yang kukuh, sungguhpun mereka minoriti disini. Ciri ciri ini adalah penting dalam menentukan kejayaan sesuatu kaum. Kita lihat sahaja bagaimana gagahnya bangsa Yahudi yang memiliki jadidiri yang amat kukuh sehingga mampu mempengaruhi arah politik dan ekonomi dunia, sungguhpun bilangan mereka begitu kecil sekali.

Sebaliknya budaya niaga Melayu belum mantap dengan ciri ciri yang kerap berubah banyak dipengaruhi unsur dari luar. Budaya kita mudah berubah, misalnya cara kita berpakaian dan adat istiadat perkahwinan berubah mengikuti arus pengaruh luaran. Malah sebahagian budaya yang diwarisi zaman berzaman sanggup diketepikan sebahagian masyarakat atas tekanan golongan ulama atau politik.Pengaruh hiburan dan muzik luaran juga biasanya menghayalkan anak muda. Dan kini penggunaan Bahasa Inggeris dalam Pendidikan Sains dan Matematik pula menjadi fokus polemik masyarakat dan menjadi bahan politik. Pernah suatu waktu dahulu seorang cendikiawan Melayu menyata Melayu sudah tidak ingin lagi jadi Melayu.

Tidak salah bagi sesuatu kaum itu berubah dan menerap unsur budaya asing, tetapi biarlah ianya dibuat utuk kepentingan kaum itu sendiri. Unsur luaran yang diterap biarlah yang memberi faedah serta tidak meluntur jatidiri kaum tersebut.

Nilai nilai murni perlu ada dalam masyarakat perniagaan

Apakah Melayu sudah bersedia menerap budaya perniagaan yang sudah lama sebati dalam masyarakat yang lebih maju. Dalam perkara ini elok kita ketengah soal nilai nilai baik yang perlu untuk masyarakat niaga. Sistem nilai adalah penting kerana ia menjadi daya penggerak dalam setiap individu dan menjadi tunggak kepada budaya niaga dalam sesebuah masyarakat. Sesetengah dari nilai nilai ini sememangnya sudah ada dalam masyarakat Melayu seperti sikap amanah, disiplin dan rajin bekerja, adil dan cemerlang yang juga nilai utama dalam Ugama Islam. Tetapi penerapan sesetengah nilai nilai ini kurang dikalangan masyarakat Melayu berbanding Masyarakat Cina, sungguhpun Melayu beragama Islam dan Cina tidak.

Perlu diingatkan, ciri ciri diatas amat penting dalam perniagaan, kerana dalam perniagaan kita memerlukan satu sama lain untuk maju. Ketiadaan ciri ciri ini bererti rangkaian perniagaan kita tidak kukuh, misalnya pembekal, bank dan pelanggan tidak akan gemar berurus dengan kita. Juga keupayaan membina para pekerja yang setia sukar dilaksanakan.

Disamping itu ciri ciri ini penting digalak dalam seluruh masyarakat, dan tidak hanya terhad kepada golongan usahawan itu sahaja. Ini kerana golongan usahawan yang mantap perlu berlandaskan suatu budaya masyarakatnya yang condusif untuk memajukan sesuatu perniagaan.

Malangnya tidak semua budaya perniagaan selari dengan budaya Melayu. Misalnya masyarakat Melayu memiliki dayasaing yang rendah dan tidak gemar menghadapi risiko. Jiwa Melayu lebih mementingkan keadaan selesa atau security dalam suasana yang kurang mencabar, walaupun sikap begini hanya menghasilkan pendapatan yang rendah.Dengan keadaan demikian, maka bilangan Melayu yang sesuai untuk bidang perniagaan menjadi terhad. Walaupun ramai yang pada mulanya menceburi bidang ini, tetapi tidak ramai yang tahan lasak dan akhirnya ramai yang gagal. Sifat  ini tidak mudah dikikis. Ia suatu produk pekembangan sejarah masyarakat di masa silam dan suasana sekeliling yang terlalu selesa sekarang.

Malah nilai nilai murni Islam yang baik untuk perniagaan juga mengambil masa berkurun kurun untuk bertapak didalam masyarakat, itupun belum lagi ditahap yang cukup tinggi. Lihatlah betapa banyak kes pecah amanah, penipuan, rompakan dan rasuah dikalangan masyarakat Melayu.

Jadi, apakah yang dapat dibuat untuk maju? Bagi saya masyarakat Melayu/Bumiputera memerlukan suatu perubahan. Perubahan ini dalam bentuk suatu evolusi yang sememangnya sedang berlaku dalam masyarakat, bukan sahaja dari segi meneguhkan nilai murni yang ada,tetapi juga dengan menerapkan unsur budaya luaran yang baik  sebagai pemangkin kepada pertumbuhan masyarakat perniagan yang mantap dan dinamik. Dalam  melalui proses ini,  dasar kerajaan yang kondusif adalah begitu penting sekali.

Dalam artikel yang akan datang, ‘Evolusi Budaya Niaga dan Peranan Kerajaan’ akan dibicarakan nilai nilai murni dan suasana yang kondusif ini . Para pembaca juga digalak memberi komen sambil menyumbang buah fikiran dalam perkara ini.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

Sila baca artikel yang bekaitan:

1.Evolusi Budaya Niaga dan Peranan Kerajaan

2.Memajukan Budaya Niaga Melayu: Iktibar dari Budaya Pendidikan Cina

3.Perbandingan Prestasi Syarikat Syarikat di Malaysia

About DAH IKHWAN

Born in Kuching in 1948. Obtained Bachelor of Economics (Hons), U Malaya, and MBA, U Leuven, Belgium. Worked in senior management positions in Government Service until retirement in 2003. Business entrepreneur in the last 20 years and active in social organisations, besides being on the Board of government agencies, GLCs and member of top level advisory councils of the Government. Social and political research, analysis and writing are my hobbies.
This entry was posted in Alam Perniagaan Melayu/Bumiputera, Artikel Business and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

2 Responses to Masyarakat Melayu dan Budaya Niaga

  1. mumtaz says:

    cara berpakaian masyarakat mlayu ne nk crik eh?
    da crik byk kali,xdpt pn..

  2. abg Yus says:

    Budaya niaga bangsa Melayu amat lemah, sebab itu mashrakat Melayu Spura tercorot dlm ekonomi, mundur yg termiskin di Spura.
    Org Melayu bukan satu mashyarakat yg suka membantu sesama bangsa, malah mendengki membunuh sesama bangsa, sikap inferiority complex terhadap peniaga Melayu amat tebal, pembeli duit org Melayu telah banyak mengkayakan peniaga bukan Melayu, tetapi peniaga Melayu mati ditangan org Melayu sendiri, org Melayu kerap mempunyai tuduhan-tuduhan angapan negatif terhadap peniaga Melayu, mahallah sombong lanbatlah tak sedap macam-macam tohmahan dilemparkan kpd peniaga Melayu.
    Kalo Melayu buka kedai seafood nampak2 duduk tangkap lalat lah, tapi kalo peniaga Cina buka seafood penuh org Melayu pegi makan, bersihke taik palat ke halal ke tidak peduli…Arnolds kaya dgn duit org Melayu, Hawa restoran udah beli landed properti kerana langanan Melayu…
    Kita dapat makan sedap, dapat penyakit, darah tinggi gemuk… org lain dapat duit kita kaya raya…siapa bodoh… Melayu yg bodooooh
    Org Melayu harus ikuti jejak orang India, mereka tidak akan makan dari bangsa lain, mereka tidak langani kedai lain sekiranya org peniaga India ada menjualnya, kedai mereka penuh dgn org Melayu talak roti prata kari mereka…pernah nampak mereka makan mee siam mee rebus nasi lemak kita… homia lah, pegi tekka jauh jauh utk beli sayur 5 10 rgt mereka tak nak ke seng siong ke kedai cina…
    Kerana mereka tahu untuk menghidupkan bangsa mereka sendiri, semangat bantu membantu kuat di antara mereka…
    Masharakat Melayu Spura udah mundur dari ilmu, ekonomi juga mundur dari pemikiran… lepas tu bila ke Johor ke Malaysia action macam org kaya…bodoh sombong tak sedar diri… itu lah Melayu Spura

Comments are closed.