Budaya Niaga melayu: Iktibar dari Nilai Pendidikan Bangsa Cina

Saya terpanggil menulis siri ini, sebagai perbandingan diantara ciri ciri budaya bangsa Cina dan bangsa Melayu yang menentukan persekitaran perniagaan masing masing.

Ini penting sebagai renungan masyarakat Melayu di Malaysia dalam usaha membentuk masyarakat perniagaan yang mantap. Seberapa boleh saya akan memuatkan pandangan dan ulasan sendiri tentang perkara perkara yang dibincangkan. Tetapi, perlu diingati ini adalah perkara yang amat rumit dan pasti memerlukan perbincangan dan kajian lanjut, terutama dari kalangan para pendidik, akademik, penggubal dasar kerajaan dan juga para usahawan.

Siri ini akan ditulis dengan memberi fokus kepada satu faktor dalam setiap artikel. Semua faktor yang disentuh bersumberkan buku ‘The Secret of Oriental Wealth’ ditulis oleh Dr. Wu Tao Wei.

Dalam artikel pertama ini marilah kita memberi fokus kepada isu Pendidikan seperti yang disentuh dalam buku tersebut.

Dalam Masyarakat Cina mereka memberi perhatian yang tinggi terhadap soal pendidikan. Ini meliputi banyak perkara, termasuklah
cara belajar, masa belajar, permakanan yang menyuburkan minda,
kesan televisyen dan hiburan kepada pelajar, pengaruh ikon bangsa kepada pendidikan, dsb.

Ahli falsafah terkemuka Cina Confucius pernah berkata, ” Belajar dan mengulangi apa yang dipelajari beberapa kali, bukankah itu suatu keseronokan?”

Seorang lagi ahli falsafah Mencius menyatakan ” Yang berkerja dengan mindanyalah yang berkuasa, dan yang hanya menggunakan kekuatan fisikal menjadi golongan yang dikuasai”.

Bangsa Melayu tidak memiliki ahli falsafah besar sebagai ikon seperti bangsa Cina , Yunani dan bangsa besar lain di dunia. Ini pasti kerana sejarah temadun Melayu yang masih singkat. Jika adapun masyarakat kita tidak begitu menyanjung cerdik pandai dan tidak mengenali sumbangan penting para ilmuan yang ada. Sedangkan dalam masyarakat Cina mereka bukan hanya mengingati Confucius dan Mencius, malah cara hidup bangsa Cina banyak berpandu kepada ajaran mereka.

Yang masyarakat kita lebih mengenali ialah kata kata bijak ahli politik yang sering berubah dan kemudian hilang selepas seseorang ahli politik itu hilang dari pentas politik negara.

Sebaliknya, dalam bidang agama pula bangsa Melayu mengenali dan mengagungkan para ilmuan di zaman silam. Jika tradisi ini wujud dalam bidang agama, kenapa tidak pula dalam bidang lain, seperti ekonomi dan perniagaan.

Mungkinkah minda Melayu sesungguhnya terhad dan hanya bergantung kepada para ilmuan asing untuk bergerak. Jika dilihat dari sudut perkembangan seni, sebaliknya , minda Melayu sungguh subur dan menyanjungi sumbangan ikon seni tempatan Allahyarahm P Ramlee – Siapa yang tidak ingat kata kata hikmat P. Ramlee.

Atau, apakah bangsa Melayu hanya suatu bangsa hiburan dan bukan bangsa ilmuan dan tidak gemar mengagungkan para ilmuan bangsa sendiri.

Yang hidup subur dalam minda Melayu banyak berupa cerita dan kata kata yang kurang berfa’edah dan ketinggalan zaman seperti petikan daripada Hikayat Hang Tuah, Si Lunchai, Mat Jenin, dsb. yang kita sendiri tidak pasti asal usulnya.

Peribahasa kita juga tidak banyak yang memberi motivasi kearah kecemerlangan pendidikan, kerjaya dan perniagaan. Yang dikenali umum kebanyakannya kurang berkualiti dan gagal memberi motivasi kepada minda Melayu. Sebagai contoh renungilah peribahasa terkenal yang berikut:

Jika kail hanya sejengkal jangan diduga laut yang dalam;

Angan angan Mat Jenin;

Biar lambat asal selamat;

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri . . .

Rezeki secupak takkan jadi segantang.

Peribahasa di atas tidak menggalak inisiatif membangunkan ummah disamping mendewa dewakan status quo. Dalam zaman globalisasi dimana umat manusia berlumba lumba untuk maju, jalan selamat adalah baik, tetapi tidak semestinya lambat semoga tidak ketinggalan. Seterusnya, untuk maju memerlukan visi dan angan angan yang tinggi diikuti dengan usaha yang gigih. Sifat begini seharusnya disanjung dan bukan dikutuk. Jadi perumpamaan seperti Mat Jenin elok dibasmi dari minda Melayu dan digantikan dengan yang lebih sesuai.

Berbalik kepada soal pendidikan, mengikut buku ini, anak anak bangsa Cina di Amerika kurang menonton TV berbanding bangsa kulit putih. Begitu juga agaknya di Malaysia di mana anak anak Melayu banyak dilalaikan dengan bermacam macam program hiburan. Ini mencuri perhatian mereka dari pelajaran sekolah dan menyebabkan prestasi pelajaran yang menurun.

Juga perlu diingatkan Televisyen tidak menggalak seseorang berfikir, tetapi menjadikan seseorang dari zaman kanak kanak lagi sebagai pemalas yang hanya gemar menonton, suatu aktiviti yang tidak banyak menggunakan minda dan pergerakan fisikal.

Permakanan juga mengekang prestasi pelajar di sekolah. Makanan yang banyak bergula dan makanan segera merupakan punca utama anak anak menjadi gemuk dan lesu dalam menghadapi pelajaran. Sesungguhnya inilah trend yang kita saksikan di Malaysia. Habit ini juga digalakkan oleh semua stesyen televisyen dengan segala jenis iklan makanan junk food yang kita semua sedia maklum.

Buku ini merumuskan ini semua angkara strategi Yahudi di Amerika Syarikat untuk meraih keuntungan daripada media massa yang mereka miliki di sana. Malangnya budaya ini berkembang ke banyak negara di dunia ini, termasuk di Malaysia.

Dalam situasi di Malaysia, kita semua maklum perbezaan sikap diantara kaum Melayu dan Cina terhadap pelajaran. Masyarakat Cina menganggap pendidikan sebagai pelaburan untuk masa hadapan anak anak dan keluarga. Mereka sanggup berjimat untuk membiayai pelajaran anak anak. Sebaliknya, masyarakat Melayu juga sedar tentang pentingnya pendidikan tetapi, ramai manakah daipada kita yang sanggup berjimat untuk pelajaran anak anak? Sebaliknya masyarakat Melayu bergantung hampir keseluruhannya kepada kerajaan untuk membiayai pendidikan mereka.

Disamping itu, anak kaum Cina biasanya memberi lebih masa di kelas kelas tuisyen atas biayaan sendiri.

Hasilnya kita dapat saksikan sendiri. Ramai anak kaum Cina belajar di luar negeri dan memenuhi universiti swasta sementara anak Melayu terhad di universiti awam sahaja. Memandangkan kualiti pelajaran di institusi institusi ini berbeza, hasilnya anak Melayu kurang menguasai bidang teknikal, sains, matematik, perniagaan dan Bahasa Inggeris.

Perbezaan ini memberi kelebihan kepada masyarakat Cina dalam mempersiapkan anak mereka di alam pekerjaan dan perniagaan.

Sekian, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

DAH Ikhwan

3 Comments

  1. Mohd

    Tahniah atas tulisan ini, memandangkan masyarakat Melayu yang masih kurang minat dan keinginan membaca ada baiknya kita laksanakan pelbagai program walau sedikit secara kanestik diikut audio dan visual. Pastikan caranya bersesuaian dengan tahap keterimaan dan keterbukaan minda masyarakat Melayu. Biar kita mendahului usaha yang sedikit tetapi berterusan dan menuju kematlamat yang jauh lebih besarn dan luas.

  2. emi

    sgt setuju dgn saudara.kaum cina buat bisnes company besar,pastu employ pon chinese for higher post and salary mereka pon mmg tinggi…so,kaum cina mmg sentiasa akan kaya

Comments are closed