Dalam sesebuah negara yang maju, lazimnya tiada subsidi diberi kepada pengguna yang bertujuan mengurangkan kos sara hidup penduduk di dalamnya. Ini kerana pendapatan isi rumah sudah cukup tinggi dan tidak memerlukan sebarang subsidi untuk meneruskan kehidpan dengan cukup selesa. Polisi ekonomi sedemikian, perlu bagi menentukan yang khazanah negara diagihkan dengan cara efficien kepada sektor yang memberi pulangan yang optimum. Resipi ini akan memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan pendapatan penduduk.
Memang ada bentuk subsidi yang pernah diamalkan oleh negara maju seperti Kesatuan Eropah tidak lama dahulu yang berbentuk subsidi kepada petani perladangan gandum. Tetapi inipun membawa kepada masalah apabila negara-negara tersebut mengeluarkan gandum berlebihan yang tidak diperlukan secara berpanjangan. Baru-baru ini kita melihat isu subsidi beras di Thailand yang merebak menjadi isu politik pula. Di Malaysia subsidi telah lama diamalkan secara meluas dalam begitu banyak sektor seperti sektor bahan api dan gas asli, minyak makan, beras, gandum, sektor kesihatan, pendidikan, perumahan, subsidi jalan toll dan bermacam-macam bantuan secara-langsung termasuk BRIM. Program subsidi yang meluas ini banyak memerlukan wang pembiayaan yang sebahagian besarnya bersumber daripada industri petroleum dan gas asli, seperti ternyata dalam Bajet Negara..
Sumber petroleum dan gas dari tiga buah negeri, iaitu Sarawak, Terengganu dan Sabah adalah satu rahmat untuk negara. Pada masa lepas ia telah dapat mengurangkan beban rakyat di seluruh negara dan membantu menyediakan landasan untuk ekonomi berkembang. Justeru itu kerajaan bukan sahaja mampu memberi subsidi kepada rakyat, malah mampu juga memberi insentif-insentif perniagaan dan pelaburan dengan cara mengenakan skim percukaian yang tidak membebankan industri.
Di sini kejayaan kerajaan BN di bawah Tun Mahathir Mohammad dalam mengembangkan industri Petroleum dan memajukan PETRONAS sebagai sebuah institusi negara yang amat berjaya hingga keperingkat global sesungguhnya dikagumi. Adalah wajib bagi PM Najib atau mana mana kerajaan yang akan datang mempertahankan kecemerlangan PETRONAS supaya tidak diganggu gugat oleh kepentingan politik atau peribadi.
Walapun subsidi itu penting untuk mengurangkan beban rakyat, polisi subsidi secara besar-besaran yang ada sekarang adalah tidak bijak dan tidak dapat diamalkan secara kekal. Ini kerana sumber Petroleum dan Gas negara adalah terhad dan suatu hari nanti ia juga akan habis. Ketika ini berlaku nanti, kerajaan akan menghadapi masalah besar dalam mencari sumber kewangan alternatif bagi membiayai subsidi tersebut.
Disamping itu susidi amat banyak melibatkan pembaziran, diagih kepada mereka yang tidak memerlukannya. Ia juga memesongkan khazanah daripada sektor yang yang lebih berdaya maju, yang mampu menyediakan perkerjaan yang baik dan berpendapatan tinggi. Kesannya, ialah bebanan yang berterusan kepada negara dan mengekang kemampuan negara untuk terus maju dan meningkatkan pendapatan isi-rumah.
Oleh itu polisi rasionalisasi subsidi adalah satu pendekatan ekonomi yang amat baik dan perlu bagi mengurangkan defisit belanjawn negara. Ia dapat membantu mengagihkan sumber negara dengan cara yang lebih eficien untuk memantapkan pertumbuhan dimasa hadapan.
SUBSIDI PETROLEUM
Subsidi petroleum yang ada sekarang dalam bentuk subsidi secara langsung untuk pengguna diesel dan petrol RON 95 adalah satu bentuk subsidi yang lebih praktikal. Sungguhpun ada masalah dalam mengawal penyeludupan diesel atau kepada sektor industri yang tidak layak, ini tidak dapat dielak, selagi wujudnya subsidi yang boleh menguntungkan penyeludup atau orang tengah. Selagi kerajaan mampu mengawal penyeludupan dengan cukup berkesan dan mengawal ketirisan dengan berpatutan, polisi ini boleh diterima jika ia dapat mengurangkan bebanan kerajaan dengan banyak.
Isunya sekarang ialah subsidi RON 95 masih boleh dianggap subsidi pukal yang membazir dan menguntungkan juga pengguna yang mampu dan berpendapatan tinggi. Ura-ura kerajaan untuk mengetatkan penjualan RON 95 hanya untuk rakyat Malaysia sepintas lalu nampak baik, tetapi saya rasa amat sukar di kuat-kuasakan dan tidak praktikal.
Sebagai alternatif adalah lebih praktikal jika kerajaan memperkenalkan RON 90 dalam pasaran serta mengalihkan subsidi untuk RON 95 yang ada sekarang kepada RON 90. Dengan ini petrol RON 95 hanya diberi subsidi minima dan RON 97 tanpa subsidi sama sekali. Adalah perlu pula mengubah spesifikasi engin untuk kereta, misalnya kereta kecil dibawah 1200 cc menggunakan RON 90 dan yang cc keatas menggunakan RON 95 atau RON 97. Enjin untuk kereta 1200 cc keatas pula perlu ditetapkan secara teknikal dan diwajibkan mererima RON 95 dan RON 97 sahaja.
Sebagai alternatif, dalam zaman ICT kini, kaedah mengagihkan subsidi seharusnya lebih mudah. Jika sistem internet membolehkan kita membeli secara online, menguruskan akaun bank juga secara online, maka tiada sebab yang boleh mengekang kerja mengagihkan subsidi secara online. Ini boleh dilakukan melalui kad subsidi khas, kad kredit atau My Kad yang boleh memuat turun amaun subsidi bagi setiap individu. Kad kad ini boleh digunakan di mana mana petrol stesyen yang boleh menentukan secara otomatik harga petrol yang perlu dibayar setiap individu tersebut. Untuk melaksanakannya, setiap petrol stesyen perlu diubahsuai untuk menerima sistem ini.
Ada para pengkritik khuatir yang sistem sebegini tidak mampu mencegah penyalahgunaan kad subsidi tersebut. Saya rasa ini tidak sepatutnya dirisaukan, kerana jika pun ada penyalahgunaan, ia berlaku hanya diantara pengguna sahaja. Ia itu jika si Mamat menjual subsidinya kepada orang lain, quota beliau sendiri akan menrun tanpa menjejaskan pengagihan kuota pada keseluruhannya. Tambahan pula setiap kuota yang diagihkan hanya mengikut jangkaan keperluan setiap pengguna.
Juga perlu diingatkan, selagi adanya subsidi selagi itulah ada penyalah-gunaan. Tiada sistem yang perfect, ianya boleh dikira cukup baik dan berkesan jika mampu membendung ketirisan jumlah keseluruhan subsidi kerajaan dalam negara serta jika mampu mengekalan suasana pasaran yang lancar.
BRIM
Bantuan Rakyat 1 Malaysia telah di perkenalkan dibawah pemerintahan PM Najib, dalam suasana Pilihan Raya. Justeru itu ia banyak merupakan suatu polisi populis, di atas subsidi-subsidi yang sedia ada. Teapi dari sudut yang positif , ia boleh mengurangkan kesan buruk dasar rasionalisasi subsidi terhadap rakyat yang berpendapatan rendah, dengan pengagihan terus kepada mereka.
Bagaimanapun, pemberian BRIM nampaknya bertambah terlalu mendadak.Kini pemberian subsidi ini bertambah tahun demi tahun hingga mencecah RM4.5 bilion untuk tahun 2014 meliputi lebih tujuh juta penduduk berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan.
Kita tidak anti BRIM. Tetapi, jikapun BRIM diteruskan, ia tidak perlu diperluaskan lagi, kerana dalam jangka panjang ia membahayakan kewangan negara, menjejas produktiviti pekerja dan kemampuan negara mencapai WAWASAN 2020. BRIM yang sedia ada perlu diperketatkan dengan menggalakkan mereka yang tidak lagi layak supaya memaklumi kerajaan. Disamping itu BRIM sepatutnya diagihkan kepada mereka yang memohon dan benar-benar layak menerimanya sahaja. Kini amat banyak kes penerima yang tidak memohon atau tidak layak menerimanya.
Sekian, wallahu ‘alam.
DAH IKHWAN
This web site certainly has all the information and facts I wanted concerning this subject and didn’t know
who to ask.
Thanks En Rodrigo. It is in deed my approach to make best efforts to provide best information and sincere constructive analysis.