Betulkah Tun Mahathir Sudah Terdesak?

“Dr Mahathir Pelawa semua sertai Bersatu”. Begitulah Tajuk Utama dalam akhbar Berita Harian baru-baru ini.

Sebelum ini tajuk utama akhbar-akhbar nasional ialah ‘Zahid balik dari Cuti sebagai Presiden UMNO’, Video Azmin dan Haziq, dan desakan dari penyokong Anwar supaya Tun Mahathir menetapkan tarikh melepas jawatan sebagai Perdana Menteri. Adakah ini semua punyai kaitan dengan seruan Tun Mahathir supaya Melayu bersatu. Betulkah Tun Mahathir rasa terancam oleh pengaruh Anwar sehingga terdesak berpaling kearah musuh beliau UMNO dan lain-lain parti Melayu supaya bersatu bersama beliau?

Hakikatnya, senario diatas tidak mustahil berlaku, dan malah mungkin benar-benar beliau hadapi sekarang. Inilah risiko yang beliau perlu hadapi ketika melompat ke pakatan politik pihak lawan; kawan jadi musuh dan musuh pula menjadi kawan. Keadaan kini terlalu tidak menentu dan sukar diramal kesudahannya..

Kasihan juga Tun. Beliau sudah terlalu tua untuk memikul tanggungjawab yang amat berat sekarang. Tetapi, hampir semua rakan yang saya kenali lebih gemar melihat Tun terus memegang jawatannya sehingga menjelang PRU 15 nanti. Sebagai seorang Melayu, saya rasa ini ada baiknya. Sekurang-kurangnya kita yakin yang beliau akan terus berjuang cuba mempertahankan agenda Melayu. Tiada pemimpin lain dalam kerajaan Pakatan Harapan nampak cukup komited dan semampu beliau dalam perkara ini. Harapkan Anwar, kita tidak nampak komitmen beliau kearah ini.

Akan tetapi suasana tidak hormat Pakatan Harapan( terutama dari parti DAP) kepada Agenda Melayu/Bumiputera nampak amat jelas sekali. Dengan demikian, Agenda ini tidak akan bertahan lama di bawah PH, malah sudahpun mulai luntur selepas hanya setahun Pakatan Harapan berkuasa.

Sebenarnya, sayapun tidak juga begitu selesa dengan Agenda Melayu yang terlalu ekstrim, malah ia perlu dilonggarkankan untuk menggalak suasana dengan peluang perniagaan, pendidikan dan pekerjaan yang lebih seimbang dalam masyarakat majmuk di negara ini. Meskipun amat sukar dicapai, kerajaan perlu berusaha mewujudkannya demi untuk kemajuan negara ketika Malaysia perlu bersaing dengan negara-negara ASEAN yang lain yang sudahpun mengatasi kita dalam banyak perkara.

Adapun dilema yang Tun Mahathir alami sekarang ialah satu lagi dilema Melayu, tetapi lebih dasyat. Jika sewaktu Dilema Melayu asal beliau, Melayu merupakan kuasa dominan politik Negara, tetapi dalam kerajaan Pakatan Harapan sekarang, kuasa dominan dipegang oleh kaum Cina melalaui DAP dan PKR, dua buah parti mewakili dan ditunjangi mereka. Kedudukan Tun Mahathir sendiri adalah atas ehsan parti DAP.

Kita tidak boleh menyerahkan kepada kaum pesaing menentukan nasib Melayu di tanah airnya. Allah tidak akan mengubahkan nasib sesuatu kaum jika tiada dengan usaha kaum itu sendiri.

Bagaimanapun, seruan Tun Mahathir supaya Melayu bersatu di bawah parti beliau, dijangka tidak membuahkan hasil. Tidak mungkin orang Melayu sanggup meninggalkan parti yang sudah sinonim dengan masyarakat Melayu sendiri; sebuah parti yang mempunyai kira-kira empat juta ahli dan puluhan ribu cawangan dan bahagian dimerata pelusuk negara, serta mempunyai amat ramai pemimpin pelapis.

Selepas PRU 14 yang lalu, saya telah menulis beberapa artikel dan kajian tentang kesetiaan masyarakt Melayu kepada parti UMNO. Sungguhpun UMNO dan BN gagal mengekalkan kuasa, tetapi kajian ini juga telah membuktikan kesetian masyarakat Melayu kepada parti ini. Dalam keadaan yang amat runcing, UMNO masih lagi bertahan dengan mengekal 47% kadar sokongan. Yang selebihnya 28% mengundi PAS dan hanya 25% untuk Pakatan Harapan. Ini membuktikan majority(75%) pengundi Melayu enggan menggundi Pakatan Harapan, dan ramai memilih parti PAS sebagai satu pilihan selain UMNO, itupun dalam keadaan yang luar biasa sahaja.

Kajian blog ini juga mendapati yang masyarakat Melayu seperti di kawasan Felda masih lagi setia. Pada PRU 14 UMNO memenangi 25 kerusi di kawasan FELDA sementara parti PPBM hanya mampu memenangi 5 kerusi sahaja.

Suasana politik Melayu terkini telah terbukti apabila Barisan Nasional memenangi pilihanraya kecil Kawasan Camerom Highland, Semenyih dan Rantau dengan mudah.

Dengan keadaan di atas saya yakin masyarakat Melayu tidak mungkin meninggalkan UMNO atau bersatu dibawah parti Tun Mahathir. Malah, mengikut sejarah negara, parti serpihan biasanya gagal bertahan lama dan telah tenggelam ditelan zaman. Ini telah berlaku dengan parti-parti serpihan seperti Parti Negara, parti Semangat 46, Parti HAMIM, Parti Berjasa dsb. Sebaliknya, adalah lebih realistik jika Parti PPBM dibubar dan ahli-ahlinya memasuki UMNO semula.

Sungguhpun demikian, masyarakat Melayu sebenarnya terhutang budi dengan Tun Mahathir kerana telah dapat menyingkirkan Najib seorang pemimpin yang telah tenggelam dalam skandal kewangan yang begitu besar dan memalukan negara. Skandal ini dan budaya korupsi yang berleluasa telah banyak menjejas kewibawaan kepimpinan dan budaya dalam masyarakat. Jika tidak terbendung, maysarakat Melayu dan negara agaknya akan terus terjerumus kedalam suasana perpecahan dan kehinaan.

Masyarakat Melayu kini dalam dilema. Mereka sedar perlunya bersatu dalam keadaan politik yang ada sekarang, tetapi bagaimana?

Apa yang kita nampak, momentum kerjasama antara parti UMNO dan PAS kini bertambah kukuh. Dengan kekuatan akar umbi masing-masingnya, maka tidak mungkin parti-parti Melayu akan menerima seruan Tun Mahathir untuk bersatu dibawah parti beliau. Dengan memenangi hanya 12 kerusi Parlimen PPBM, belum pernah menerima mandat daripada rakyat. Malah faktor usia Tun Mahathir pula tetap dilihat sebagai satu bebanan politik tanpa barisan pengganti yang berwibawa.

Benar beliau boleh bertindak drastik membubarkan parti UMNO tetapi ini akan juga mengundang kemarahan rakyat, sedangkan beliau kini amat memerlukan sokongan mereka. Dengan senario ini, besar kemungkinan pengundi Melayu akan menghukum beliau dalam Pilihanraya Umum akan datang.

Disebalik senario di atas, UMNO pula ada masalah dalamannya. Zahid telah balik daripada bercuti sebagai Presiden parti, sedangkan kemampuan beliau sebagai pemimpin kekal dipertikaikan rakyat. Berbanding Datuk Mohamad Hassan sebagai pemangku Presiden baru-baru ini, Zahid dilihat lemah, belum menampakkan arah perjuangan yang jelas; dan beliau tidak mampu memberi inspirasi selain terpalit dengan isu korupsi zaman Najib. Sedangkan di sa’at yang kritikal ini UMNO amat memerlukan seorang pemimpin berkemampuan disamping komited dengan teras perjuangan parti.

Soalnya, mampukah Zahid memimpin UMNO sebagai sebuah parti besar yang bakal kembali menerajui kerajaan pada PRU 15 akan datang? Atau sebaliknya, apakah beliau hanya sanggup menjadi penyokong kepada Anwar seperti dua puluh tahun dahulu. Sama-samalah kita lihat nanti. Jika beliau gagal, mampukah UMNO mengatasi masalah kepimpinan ini?

Sekian, wallahu a’lam.

.

.DAH IKHWAN

About DAH IKHWAN

Born in Kuching in 1948. Obtained Bachelor of Economics (Hons), U Malaya, and MBA, U Leuven, Belgium. Worked in senior management positions in Government Service until retirement in 2003. Business entrepreneur in the last 20 years and active in social organisations, besides being on the Board of government agencies, GLCs and member of top level advisory councils of the Government. Social and political research, analysis and writing are my hobbies.
This entry was posted in Artikel Politik and tagged , . Bookmark the permalink.