Soalan1: Apakah Geran Khas PRIHATIN?
Jawapan1: Geran Khas PRIHATIN (GKP) adalah bantuan kewangan secara one-off berjumlah RM3,000 kepada Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS) mikro yang berkelayakan bagi meringankan beban kewangan perniagaan mereka yang terjejas akibat wabak COVID-19.
Soalan 2: Siapakah yang layak memohon Geran Khas PRIHATIN?
Jawapan 2:
1. Pemohon mestilah berstatus warganegara Malaysia; dan
2. Pemohon yang menjalankan Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS) mikro seperti berikut: – Jumlah jualan atau perolehan tahunan kurang daripada RM300,000; dan – Jumlah pekerja kurang daripada 5 orang, tidak termasuk pemilik; dan
3. Berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebelum atau pada 31 Disember 2019; dan
4, Masih aktif menjalankan perniagaan semasa permohonan dibuat; dan
5. Semakan silang data dengan agensi yang dilantik oleh Kementerian Kewangan Malaysia.
Soalan 3: Berapakah nilai Geran Khas PRIHATIN?
Jawapan 3: Jumlah nilai Geran Khas PRIHATIN adalah RM3,000 yang akan dibayar secara one-off.
Soalan 4: Bagaimanakah memohon Geran Khas PRIHATIN?
Jawapan 4: Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui Portal GKP (https://gkp.hasil.gov.my) yang disediakan oleh LHDNM. Permohonan secara manual tidak akan diterima.
S5: Bilakah tarikh permohonan Geran Khas PRIHATIN bermula?
Jawapan 5: Permohonan Geran Khas PRIHATIN dibuka mulai 1 Mei 2020 hingga 15 Mei 2020.
Soalan 6: Bilakah keputusan permohonan boleh diketahui?
Jawapan 6: Pemohon boleh menyemak keputusan permohonan bermula pada minggu pertama Jun 2020.
Soalan 7: Saya berdaftar dengan agensi kerajaan (contohnya SSM dan Pihak Berkuasa Tempatan) tetapi tidak berdaftar dengan LHDNM, adakah saya layak memohon Geran Khas PRIHATIN?
Jawapan 7: Layak. Pemohon hendaklah mengisikan butiran pendaftaran perniagaan di borang permohonan dalam talian semasa memohon.
Soalan 8: Bilakah tarikh pembayaran Geran Khas PRIHATIN akan dibuat?
Jawapan 8: Pembayaran dijangka akan dibuat pada bulan Jun 2020.
Soalan 9: Bagaimanakah kaedah bayaran Geran Khas PRIHATIN dilaksanakan?
Jawapan 9: Pembayaran akan dikreditkan ke akaun bank pemohon yang layak. Akaun bank mestilah aktif.
Disediakan pada 30 April 2020