Muzakarah UMNO dan PAS : Suatu komen dan Analisis

[An English version of this article is available under ‘Dialogue between UMNO and PAS: A commentry and Analysis’ dated 4 August, 2008]

Pendahuluan

  Muzakarah sulit diantara UMNO dan PAS telah menjadi isu hangat di akhbar akhbar baru baru ini. Yang pertemuan ini diadakan dalam suasana tertutup tanpa pengetahuan rakan politik masing masing telah menimbul rasa syak mereka, terutama pihak DAP yang mengancam mencadang kajian semula kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat. Namun kita tidak boleh menyalahkan ancaman sedemikian kerana pihak DAP, sebagai rakan kongsi dalam Pakatan Rakyat berhak mencurigai sesuatu yang dilaksanakan diluar pengetahuan mereka.

Pas Dalam Dilema

Bagaimanapun, masyarakat Melayu pasti memahami tindak tanduk awal PAS dalam perkara ini kerana PAS tidak boleh memandang sepi seruan UMNO dan sebahagian besar NGO Melayu yang kian resah ketika berhadapan dengan situasi bahaya melanda politik Melayu sekarang. PAS tidak boleh memandang ringan masalah ini, jika tidak, ia sukar berhadapan dengan Masyarakat Melayu dalam pilihanraya di masa hadapan. Sebaliknya PAS sudah pasti sukar memberi komitmen lebih daripada itu kerana tidak mungkin ia, laksana seorang pasangan pengantin, meninggalkan pasangannya dengan tiba tiba, sejurus selepas majlis perkahwinan selesai. Ini tidak mungkin sekalipun dalam suasana perkahwinan yang tidak serasi. PAS sebenarnya menghadapi dilema berikutan dengan tindakannya menyertai Pakatan Rakyat, suatu pakatan beberapa parti yang tidak sehaluan dalam prinsip perjuangan mereka. Yang menyatukan mereka hanyalah kekuatan personaliti Dato’ Seri Anwar Ibrahim, seorang pemimpin yang tindak tanduknya banyak di dorong oleh personal ambition beliau.

Dilema ini mulai menampakkan wujudnya dua kelompok yang bertentangan dalam Pas dalam hal ini baru baru ini. Disatu pihak nampaknya diketuai Husam Musa yang berselindung dibawah payung Tuan Guru Nik Aziz yang lebih komited dengan Pakatan Rakyat, dan disatu pihak pula yang mahu meneruskan muzakarah dengan UMNO dibawah Tuan Guru Hj Hadi Awang. Demi perpaduan parti, Pas membuat keputusan dengan membuka pintu muqabalah dengan pihak mana sekalipun, termasuk UMNO. Bagi saya, itulah keputusan terbaik bagi PAS dalam suasana yang ada sekarang.

Cadangan Tuan Guru Nik Aziz untuk menyatukan parti UMNO dan Pas bukanlah cadangan yang praktikal , kerana ikut logik, mustahil bagi UMNO menyetujui penyatuan berlandaskan asas yang ditentukan oleh PAS, sebuah parti yang lebih kecil.

Risiko yang dihadapi kini mungkin kurang di fikirkan oleh pihak PAS, sebab mereka belum menempuhi situasi begini. Memang pernah PAS dikecewakan oleh UMNO dahulu, tetapi dalam situasi itu, PAS mampu menanganinya dengan wajar dan bebas dari pengaruh luaran. Ini kerana UMNO bukanlah parti yang mampu mempengaruhi jentera dalaman PAS. Lantaran itu PAS masih kukuh kehari ini, malah didanggap sebuah parti yang paling berdisiplin di Malaysia.

Tapi kini PAS tidur sebantal dengan PKR. Tanpa disedari, jentera dalaman PAS nampaknya sudah diresapi oleh anasir luaran ini. Ini menempatkan PAS didalam keadaan yang berbahaya dimasa hadapan. Feomena ini sudah menampakkan bibit bibitnya. Sungguhpun PAS kini nampaknya masih tetap memperjuangkan prinsip parti, tetapi kita juga nampak ramai dikalangan ahli PAS yang mulai taksub kepada Anwar, sehingga suara Majlis Ulama sendiri sanggup diketepikan.

Ahli ahli PAS seharusnya mengambil iktibar dari pengalaman UMNO yang telah melalui situasi yang sama. Hanya kekuatan pemimpin seperti Dr. Mahathir sahaja telah menyelamatkan parti di ketika itu. Itupun kesannya buruk kepada UMNO masih dirasai hingga sekarang, kerana pengaruh Anwar yang luar biasa. Nasib PAS di masa hadapan sukar diramal. PAS bukanlah parti yang berkuasa dan tidak menguasai jentera kerajaan yang diperlukan sewaktu krisis.

Muzakarah Tidak Banyak Menguntungkan UMNO

  Bagi UMNO, mereka berbelah bagi tentang muzakarah. Ramai yang menganggapnya sebagai perkara prioriti, tetapi ada pula tidak menyenanginya dan memilih suatu pendekatan memberi keutamaan kepada usaha mengukuhkan parti. Soal penyatuan dengan PAS pula dianggap suatu perkara yang mustahil memandangkan ideologi yang jauh berbeza. Pendirian Tan Sri Muhyddin Yasin memihak kepada keutamaan mengukuhkan parti nampakya lebih praktikal dalam suasana sekarang yang diselubungi persepsi negatif terhadap UMNO. Pasti suasana yang ada meletakkan UMNO sebagai pihak yang lemah dalam perundingan dengan PAS. Jadi sebarang muzakarah tidak mungkin menguntungkan UMNO.

Lainlah jika UMNO terpaksa melutut kepada PAS untuk memastikan Kerajaan bertunggak kuasa Melayu/Bumiputera kekal dalam menghadapi krisis semasa. Dalam keadaan demikian saya yakin ada dikalangan ahli parlimen PAS yang tampil menyelamatkan keadaan demi untuk kepentingan kaum Melayu dan Islam. Pepatah Melayu ada mengatakan ‘marahkan nyamuk takkan kelambu pula dibakar’.

UMNO Tetap Menjadi Pilihan Masyarakat Melayu

  Sebenarnya UMNO dan BN kini dalam keadaan yang lemah, tetapi tidaklah selemah seperti digembar gemburkan. Persepsi yang ada kini diburuk burukkan oleh pihak dalaman dan luaran parti, iaitu tidak lain dan tidak bukan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr. Mahathir, dua orang musuh ketat semasa didalam dan kini, di luar UMNO. Anwar kerana ingin menjadi Perdana Menteri dan Tun Mahathir, kerana mahu jawatan Perdana Menteri diganti oleh seorang pemimpin lain.

UMNO tetap menjadi parti pilihan masyarakat Melayu kerana ia satu satunya parti politik yang memperjuangkan survival orang Melayu, semoga Melayu tidak menjadi hamba di negeri sendiri. Dalam masa yang sama UMNO memiliki rekod yang amat baik dalam menjaga keharmonian dan kepentingan antara kaum.

Dalam pilihanraya tahun ini UMNO memenangi 79 kerusi Parlimen berbanding 43 kerusi Melayu yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat(PKR 20 dan PAS 23). PAS tidak memiliki rekod sedemikian, kerana kedukukannya sebagai rakan kurang penting dalam Pakatan Rakyat. Malah ia dilihat kini sanggup mengenepikankan prinsip perjuangannya setelah bekerjasama dengan parti DAP yang anti hak keistimewaan Melayu dan anti penubuhan negara Islam. Selagi PAS bekerjasama dengan Pakatan Rakyat yang didominasi parti DAP dan PKR, usahlah bermimpi menegakkan sebuah negara Islam, malah apa yang ada mungkin terhakis dimasa hadapan. Pengaruh PAS sungguh teruji dalam Kerajaan Perak dan Selangor yang diperintah oleh Pakatan Rakyat sekarang.

PKR Bukan Parti Melayu

PKR pula bukanlah sebuah parti Melayu. Tidak mungkin ia memperjuangkan hak hak Melayu kerana komposisi ahlinya yang terdiri dari pelbagai kaum, terutama kaum India. Hakikatnya, kejayaan Anwar dan PKR banyak bergantung kepada sokongan padu kaum India secara berterusan. Analisis kita menunjukkan PKR mendapat sokongan 98% undi kaum India, 73% undi kaum Cina dan hanya 42% undi kaum Melayu di kawasan yang mereka tandingi dalam Pilihanraya tahun ini(sila rujuk artikel terdahulu bertajuk Analisis Undi PKR di Semenanjung Malaysia bertarikh 16 June 2008).

Analisis kedudukan kerusi Parlimen pula menunjukkan PKR mendapat sejumlah 31 kerusi, 20 daripadanya kerusi Melayu dan 11 Bukan Melayu. Ini juga menampakkan ramai daripada calon Melayu yang menang atas sokongan padu dari kaum bukan Bumiputera. Sokongan PAS kepada PKR pula nampaknya diperjuangkan oleh rakan rakan Anwar dalam PAS dan atas hubungan individu antara Anwar dan Tok Guru Nik Aziz.

Ini sedikit sebanyak membayangkan kemampuan Anwar mempengaruhi bukan sahaja rakyat biasa, malah pemimpin politik yang lain sekalipun.

Bukan Bumiputera Yang Banyak Berpaling Tadah

Kemelut politik yang kini berlaku bukan hanya kerana kurangnya sokongan Melayu kepada UMNO, tetapi lebih lagi kerana kejayaan Anwar Ibrahim memesongkan undi kaum India dan China sehingga bersatu di bawah DAP dan PKR. Mengikut analisis kami, hanya terdapat kira kira 38% sokongan dari kaum Cina dan kira kira 8% dari kaum India untuk BN di Semenanjung Malaysia dalam Pilihanraya baru baru ini. Saya yakin keadaan akan kembali seperti sediakala setelah kaum kaum bukan Bumiputera menyedari tindakan mereka tidak menguntungkan, malah hampir menlenyapkan perwakilan dan pengaruh mereka dalam kerajaan persekutuan.

Namun demikian, sungguh terdapat beberapa kepincangan dalam UMNO yang perlu di tangani, terutama masalah politik wang yang melanda kini. Ini sedikit sebanyak menyebabkan menurunnya undi Melayu sebanyak 10% dalam pilihanraya baru baru ini. Memandangkan undi Melayu untuk BN kini hanya sedikit melebihi 54%, ini menempatkan BN dan UMNO dalam keadaan bahaya dimasa hadapan. Sekiranya UMNO gagal menangani masalah dihadapi kini, ia berkemungkinan akan merobah lanskap politik Malaysia dan menghapus kuasa Melalyu selama lamanya.

Jika Anwar Ibrahim di dakwa dengan tuduhan liwat dan sabit kesalahan di mahkamah, ini pasti melegakan UMNO. Jika sebaliknya Anwar dibebaskan, pergolakan dalam BN dan politik negara akan berpanjangan. Oleh itu, UMNO dan Kerajaan BN memerlukan reformasi, satu satu nya langkah penting bagi menambat hati rakyat. Langkah langkah mengekang gejala politik wang dalam UMNO perlu menunjukkan hasil. Reformasi yang dilaksanakan kerajaan BN sekarang, walaupun kini menampakkan suasana agak kucar kacir, akan membantu BN dalam jangka masa panjang. Ini termasuk reformasi dan usaha usaha memulihkan bahagian kehakiman, mengukuhkan Badan Pencegah Rasuah, proses pengagihan wang kerajaan secara lebih efficien dsb.

Penutup

Memandangkan senario di atas UMNO sepatutnya utamakan langkah memperkukuhkan parti dan Barisan Nasional dengan sendirinya. Ia juga perlu mengatur stategi yang mantap untuk menarik balik sokongan kaum Melayu/Bumiputera(termasuk di Sarawak dan Sabah) disamping berhati hati supaya mampu mengekalkan sekurang kurangnya sokongan yang sedia ada daripada kaum bukan Bumiputera. Dalam pilihanraya lepas BN kehilangan undi Melayu sebanyak 10 peratus. Saya yakin dengan bertindak tegas mempertahankan hak hak istimewa Melayu/Bumiputera yang sedia ada, serta meneruskan reformasi yang sedang dilaksanakan, BN mampu menarik balik sekurang kurangnya separuh daripada undi Melayu yang lari dalam pilihanraya yang lepas.

Sekiranya diadakan semula pilihanraya, strategi ini mampu menambah sebanyak 22 kerusi# BN , mencukupi untuk mencapai majority 2/3 di Parlimen. Juga pasti, sekurang kurangnya, negeri Perak dapat ditawan semula. Sekian, wassalamualaikum warahmatullah wabarakatuh, Semoga Malaysia sentiasa di berkati Allah.


DAH Ikhwan  

Nota: #bilangan kerusi di kira mengikut model regression dalam artikel terdahulu ‘Malaysia’s general election 2008
: A comprehensive analysis.

Sila baca artikel yang berkaitan:

1. Kelemahan Kuasa Politik  Mendorong Kerjasam Pas dan UMNO

2.Analisis Undi UMNO dalam Pilihanraya 2008: Kajian Kesetiaan Ahli Parlimen dan Pengundi

3.Malaysia’s General Election 2008: a comprehensive analysis

4.Statistik Keputusan Pilihanraya Umum Tahun 2008 (PRU 12)

5 Comments

Comments are closed