Ramalan Pilihanraya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar

Kawasan-kawasan Parlimen ini telah menjadi kosong akibat tragedi helikopter sewaktu PRN Sarawak  yang mengorbankan kedua-dua wakil rakyat berkenaan, iaitu YB Datuk Noriah Kasnon  bagi kawasn   Sungai Besar, Selangor dan YB Datuk Wan Khairil Anuar bagi Kuala Kangsar, Perak.

Sungguhpun keputusan Pilihanraya  Negeri Sarawak telah diketahui umum sebagai kemenangan besar bagi BN, namun ukuran sebenar sentimen penggundi di Semenanjung terletak di kedua kawasan Parlimen di atas. Oleh itu pilihanraya kecil ini menjadi tumpuan  sebagai tanda aras sentimen politik semasa dan akan memberi kesan yang besar kepada PRU 14 yang akan diadakan pada tahun 2018.

Untuk artikel  Keputusan dan Analisis PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar sila klik di sini

Dalam membuat ramalan ini, saya perlu kembali menyelidik data tiga  pilihanraya yang lepas sebagai perbandingan dan untuk mendapat insight daripadanya. Ini boleh merungkai sentimen kaum di masa-masa tersebut dan  bagaimana suasana semasa yang unik pada sesuatu PRU   mempengaruhi keputusan diwaktu itu. Berpandu kepada data tersebut saya akan menilai kesan dari beberapa faktor sama yang berulang dalam PRK pada kali ini.

Beberapa faktor yang relevan kini termasuklah faktor sentimen kaum dan agama (hudud)  di Selangor dan Perak, faktor perpecahan dikalangan parti pembangkang, faktor Mahathir yang berkempen dipihak pembangkang dan faktor issue 1MDB.

Berpandu kepada analisis  PRU 13 yang lepas, saya dapati majoriti kaum Melayu mengundi BN, iaitu 63%  di Perak dan 61% di Selangor pada tahun 2013. Setimen bagi kaum Cina pula  ialah 11% yang menyokong BN di Selangor dan 13% di Perak dalam masa yang sama. Setelah mengkaji data di kedua-dua kawasan PRK  ini, saya anggar  peratusan sokongannya amat menepati sentimen (sokongan) negeri bagi kawasan Kuala Kangsar sementara di Sungai Besar keputusan yang diperolehi oleh Allahyarhamah YB Datuk Noriah Kasnon  didapati  lebih tinggi kerana terdapat tambahan sokongan dari pengundi Cina di sana  berbanding data bagi seluruh Selangor.

Sekiranya tiada faktor-faktor baru kali  ini, keputusan PRK  ini seharusnya menyerupai keputusan dahulu. Tetapi dengan adanya beberapa faktor baharu yang merwarnai PRK ini, di jangka keputusan diperolehi akan jauh berbeza.

Pertama, kesan pertandingan tiga penjuru akan memecahkan undi pembangkang yang dahulunya disalurkan kepada calon PAS, tetapi kini berpecah kepada pembangkang Cina yang akan menggundi PAN dan pembangkang Melayu yang akan menggundi PAS. Dengan wujudnya isu hudud kali ini, perpecahan undi pembangkang menjadi lebih ketara.

Pada kali ini pertandingan tiga penjuru antara UMNO, PAS dan PAN pasti menguntungkan UMNO kerana besar kemungkinan memenangi kedua-dua kerusi berkenaan. PAS  tidak akan kerugian apa-apa tetapi berpeluang mengekang kemaraan  PAN di kawasan ini. Jika diikuti dengan kata sepakat yang saksama antara UMNO dan PAS, ia boleh menjadi benteng kuat ketika berhadapan parti PAN  dan PKR yang membawa  risiko  pengaruh Cina DAP   di banyak  kawasan campuran  di Semenanjung.

Kedua, faktor pegaruh Mahathir dan isu 1MDB tidak dijangka meninggal kesan yang ketara  kerana ia tidak menyentuh masyarakat Melayu  secara langsung dengan signifikan. Mungkin masyarakat Melayu menganggap isu derma politik adalah sesuatu yang perlu untuk mengekalkan kuasa. Bezanya dizaman Mahathir amaunnya lebih besar  dan dipegang ditangan knoni-kroni beliau, sementara dizaman Najib amaunnya lebih kecil dan dipegang oleh Najib sendiri. Mungkin ini lebih baik untuk UMNO dan BN bagi mengelak ketirisan  wang tersebut, Allahu a’lam.

Pengaruh personaliti Mahathir tidak dijangka banyak mempengaruhi corak pengundian. Ini kerana faktor umur beliau sudah begitu tua disamping sudah melepaskan jawatan PM  terlalu lama. Sebenarnya, di negeri beliau sendiri sekalipun, pengaruh Mahathir tidak begitu signifikan, walaupun beliau menentang BN  pada  PRU tahun 2008 hanya selepas lima tahun melepas jawatan PM dalam tahun 2003.  Kajian kita menunjukkan sokongan Melayu kepada BN Kedah tidak berubah pada kadar kira-kira  53% pada PRU 2004 dan 2008. Yang banyak merobah politik negeri  diwaktu itu ialah  kehakisan sokongan kaum Cina dan India diseluruh negara termasuk  di Kedah.

Maka selepas mengambil kira faktor faktor di atas,  analisis kita menganggarkan yang kedua-dua pilihnraya kecil ini akan dimenangi dengan mudah oleh Barisan Nasisonal, di kawasan Kuala Kangsar mungkin dengan majoriti melebihi 5,000 undi dan di Sungai Besar majoriti melebihi 6,000 undi. Di kedua-dua kawasan ini undi PAN dijangka  akan mengatasi undi PAS atas sokongan daripada pengundi Cina dan India.  Bagaimanapun, parti PAN dijangka mampu menarik tidak lebih daripada 20% undi pembangkang Melayu yang  selebihnya dijangka mengundi  PAS.

 

Sekian, wallahu a’lam.

DAH IKHWAN.

 

Artikel-artikel berkaitan:

1. Senario Pasca PRU 13: Merungkai Isu-Isu Utama.