Senario Pasca PRU 13: Bahagian Pertama, Merungkai Isu-Isu Utama

Pandangan yang boleh diterima  serta   saranan strategik  tentang senario pasca PRU 13 perlu bermula dengan analisis data PRU itu sendiri, justeru  memerlukan  pangkalan data yang sahih. Dalam hal ini data asas yang dikumpulkan akan menjadi bahan kajian dan bahan perbandingan  setelah sesuatu program  yang dipilih  akan  selesai kemudiannya. Dengan itu, sesuatu program atau tindakan yang dirancangkan perlu mengambilkira data asas yang ada  bagi memastikan   halatuju   sesuatu inisiatif itu betul dan mampu berdaya maju.

Dewasa ini kita di hidangkan  dengan bermacam-macam data  yang bercelaru dan bertentangan,  datangnya dari pelbagai sumber sama ada dari parti politik, media tradisi, media baru. Kebanyakannya datang daripada  ahli politik, penganalisis politik, dan  penulis-penulis blog

Kini kita secara tiba-tiba berhadapan dengan beberapa isu utama  seperti, adakah UMNO  masih relevan dimasa hadapan?  Adakah formula Barisan Nasional yang wujud sebagai gabungan parti-parti berasas kaum masih lagi relevan? Patutkah BN dirombak dan dibentuk semula sebagai sebuah parti sahaja dan menerima semua kaum? Mampukah Parti PAS menjadi sebuah Parti dominan? Dapatkah Parti PKR bertahan dimasa hadapan dan ,  mampukah DAP berkembang sebagai sebuah Parti dominan dan akhir sekali, dapatkah sistem dwi parti bertapak  dan berfungsi dengan baik di Malaysia?

Memandangkan betapa berbezanya analisis analisis yang ada, suasana kini amat bercelaru dan amat sukar bagi masyarakat   menilaikan diaras mana sebenarnya masyarakat berada dari segi kematangan berpolitik. Misalnya blog blog pro Pakatan Rakyat sering memberi gambaran yang sokongan pengundi Melayu kepada Barisan Nasional hanya berada di paras 54% peratus sahaja dalam PRU 13, sungguhpun anggaran  berasas perkiraan  ilmu statistik amat mudah dibuat dan memberi anggaran lebih tinggi pada 63%. Kedua-dua angka ini amat jauh bezanya dan melebarkan  jurang  intepretasi  tentang prestasi dan masa depan UMNO sebagai wadah perjuangan masyarakat Melayu. Jika Umno hanya mampu mendapat sokongan diparas 54% daripada pengundi Melayu sudah tentu  pengaruh UMNO dimasa hadapan boleh dipertikaikan. Sebaliknya dengan sokongan pengundi Melayu diparas 63% ini  menunjukkan suasana politik kini dan masa hadapan  masih cerah lagi  bagi  parti UMNO dalam bentuk yang ada sekarang.

Suasana kempen politik yang keterlaluan yang banyak memaparkan politik kebencian, pembohongan dan fitnah menduduki pentas utama sejak beberapa tahun sebelum pilihan raya,  telah memburukkan lagi keadaan. Tidak dapat dinafikan yang suasana politik kotor ini  telah diamalkan oleh kedua-dua pihak parti kerajaan dan pembangkang dan disemarakkan oleh media tradisional dan media baru. Natijahnya   isu-isu yang penting  tenggelam  dan isu-isu kotor pula yang mendominasi suasana kempen, di penuhi dengan video-video kotor, tohmah-tohmah   yang  hangat dan kebanyakannya tidak berasas terhadap pemimpin-pemimpin politik.

Memang ada isu-isu penting dibincangkan, seperti mengapa polarisasi kaum kian menjadi. Mengapa Melayu menjadi lebih Melayu, Cina menjadi lebih Cina dan India menjadi lebih India. Melayu menuduh masyarakat Cina yang enggan belajar di sekolah kebangsaan dan memilih sekolah aliran Cina untuk anak-anak mereka. Kaum Cina pula menuduh Melayu yang sering bertindak melewati batasan Hak Istimewa yand diperuntukkan dalam Perlembagaan. Dalam hal ini tiada siapa yang betul atau salah secara mutlak. Pada hakikatnya inilah jalan pilihan  dibawah ‘kontrak sosial’ yang telah dipersetujui menjelang kemerdekaan dahulu. Tetapi kini selepas lima puluh tahun ia masih lagi menjadi isu dalam polimik masyarakat.

Tetapi, sebaliknya pernahkah kita terfikir adakah kepelbagaian dan  polarisasi kaum yang kita alami sekarang merupakan sesuatu  yang begitu buruk  dan  tiada sama sekali kebaikannya?   Di Eropah ada beberapa buah negara yang diduduki pelbagai kaum yang hidup dengan rukun damai dengan makmur seperti di Belgium dengan penduduk dari kaum  berbahasa dan budaya Belanda dan Perancis. Begitu juga di Switzerland dengan penduduknya yang berbilang kaum dan agama.  Sebaliknya terdapat beberapa negara yang bangsanya lebih serupa tetapi sentiasa bergolak dengan sengketa atau  perang saudara yang berlarutan seperti di Algeria, Libya dan Syria ,  Pakistan, Afghanistan dan baru baru ini mungkin Mesir pula.

Ramai mungkin menunjuk kearah Indonesia, Thailand dan Filipina di mana asimilasi kaum tersebut lebih menyerlah dan harus dicontohi.  Dalam negara negara tersebut peratusan penduduk dari kaum Cina hanya sebagai kaum minoriti yang kecil sahaja berbanding di Malaysia  yang setinggi  25%. Dalam hal ini nenek moyang kita telah banyak bertolak ansur dengan memberi  kelonggaran-kelonggaran  untuk kaum Cina. Soalnya adakah mereka membuat kesilapan dalam percaturan ini? Atau mungkinkah ini sesuatu yang positif kerana telah menwujudkan kepelbagaian  kaum  dan  suasana persaingan yang positif dinegara ini. Bukankah Melayu di Malaysia lebih maju dari Melayu di negara-negara lain. Bukankah ini hasil daripada persaingan yang wujud  di sini selama ini?

Satu lagi  isu yang sering dibangkitkan ialah soal rural urban divide atau jurang perbezaan diantara penduduk bandar dan luar bandar dalam corak pengundian dalam PRU 13 dahulu. Benarkah ini berlaku? Pihak pembangkang banyak menyebut isu ini dan  ada dikalangan BN juga terikut -ikut semacam soal ini telah terbukti sahih. Saya belum lagi melihat kajian yang meyakinkan dalam isu ini dalan saya juga belum berbuat demikian. Sebenarnya  persoalan ini tidak begitu sukar dikaji kerana pangkalan data  yang diterbitkan oleh pihak SPR sememang sudah ada dan boleh dikaji bagi membuktikan adakah fenomena ini sebenarnya wujud atau sebaliknya.

Sebenarnya saya sekarang sedang membuat kajian terperinci tentang corak pengundian di DUN Selangor dan di Lembah Klang. Ini membantu merungkai arah politik  Melayu kelas menengah  yang ramai mengundi di kawasan bandar. Insya Allah saya akan membuat satu artikel tentang perkara ini setelah siap nanti.

Isu umur pengundi juga  juga sering dibangkitkan sebagai satu faktor yang mempengaruhi pola pengundian. Adakah perkara ini sahih atau sebaliknya seharusnya dikaji secara ilmiah. Sungguhpun data umur pengundi tidak diterbitkan oleh SPR untuk umum, tetapi kajian boleh dibuat jika data mengikut umur pengundi diperolehi dari pihak SPR.

Jadi, bagi parti-parti politik yang ada, termasuk  Barisan Nasional adalah baik mengkaji data-data yang ada bagi menilai sama ada sesuatu fenomena yang disangka berlaku sebenarnya wujud sebelum merancang srtategi yang perlu diambil dalam menambat hati rakyat. Ini berkait rapat  dengan isu sama ada bentuk Barisan Nasional seperti yang ada sekarang masih relevan dimasa hadapan.  Wallahu ‘alam.

DAH IKHWAN

 

Artikel Yang Berkaitan:

1. PRU 13;: Analisis Pilihan Pengundi Muda;

2. Corak Pengundian di Bandar (Lembah Kelang)

3 Comments

  1. Ir Dino Bravo

    Pada pandangan saya, semuanya bermula dari internet. Sekiranya BN masih ingin berkuasa pada masa hadapan, internet perlu dikawal. Itu sahaja jawapannya. Tidak perlu dibuat apa-apa kajian. Maklumat perlu dikawal walau apa cara sekalipun.

  2. halim mohd

    Perkara yg lepas jgn dikenang.

  3. Veteran

    Jika orang melayu meninggalkan umno, parti mana yang orang melayu boleh naungi?
    PKR parti yang tidak jelas perjuangannya.
    DAP parti yang tidak sesuai untuk orang melayu.
    PAS adalah parti yang mungkin sesuai kerana memperjuangkan islam dan keseluruhan orang melayu adalah islam tetapi masih gagal menarik majoriti orang melayu kerana dianggap bukan parti dominan. Pas diibarat lantang atau garang bersuara bila berhadapan dengan UMNO tapi bisu bila dalam pakatan.

Comments are closed