Senario Kekuatan DAP Selepas Pilihanraya Umum ke 13

Prestasi Parti DAP sejak kebelakangan ini menunjukkan  satu peningkatan yang ketara dengan sokongan yang amat  tinggi dari masyarakat Cina, terutama di Sarawak. Jika sebelumnya DAP memiliki  hanya  6 kerusi DUN Sarawak, kini ia telah berjaya memenangi 12 kerusi, iaitu peningkatan 100%. Dengan keadaan ini, mengikut kiraan kita DAP akan memenangi 6 kerusi Parlimen di Sarawak pada PRU 13  berbanding hanya 1 kerusi yang ada sekarang.

Mengikut analisis regression kita, sejumlah 75% pengundi Cina telah mengundi DAP pada pilihanraya Negeri Sarawak baru baru ini, berbanding dengan hanya 60% pada PRU 2008, satu peningkatan  sebanyak 15%.

Jika keadaan serupa berlaku di Semenanjung Malaysia, berpandu kepada model regression kita, maka DAP akan mampu memenangi 34 kerusi Parlimen di Semenanjung  dan 9 kerusi di Sabah dan Sarawak, menjadi 43 kerusi kesemuanya di Seluruh Malaysia. Malah ia  boleh meningkat  kepada  50 kerusi jika usaha DAP  di kawasan  Bumiputera Bukan Islam berjaya. Dengan ini, DAP akan menjadi parti teras atau tunjang kepada Pakatan Rakyat, mengatasi PKR dan PAS.

Perlu diingatkan DAP kini berusaha meresapi di kawasan Bumiputera bukan Islam dengan memainkan isu isu agama  Kristian, isu tanah NCR  dan dengan rancangan penyatuan dengan Parti SNAP di Sarawak. Nampaknya program mereka sungguh strategik dan mantap.

Dengan keadaan demikian, seluruh masyarakat Cina akan berdiri dibelakang Parti DAP dan pasti muncul sebagai parti dominan dan kedua terbesar selepas UMNO.

Agaknya  senario ini mendorong  Parti PAS berusaha luarbiasa hendak menggantikan UMNO sebagai Parti dominan Melayu, jika tidak Parti PAS dan PKR akan hanya wujud sebagai dua buah parti penyokong kepada kuasa DAP dalam Pakatan Rakyat. Pendekatan ini kini  lantang disuarakan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

PAS telah mengambil langkah pertama kearah itu, mengubah  landas perjuangannya,  dengan menggugurkan perjuangan Negara Islam mereka. Ini membolehkan PAS dan DAP berkerjasama dengan lebih erat lagi, walau sekalipun tanpa melalui PKR sebagai pengantara.

Pendekatan ini sesungguhnya mengundang risiko besar kepada PAS, tidak kurang juga kepada UMNO sebagai Parti dominan Melayu, kepada perpaduan politik Melayu dalam PRU ke 13 dan  kepada dominasi politik Melayu di negara ini dimasa hadapan.

Soalnya apakah kesan langkah PAS ini kepada Parti itu sendiri. Umum tahu PAS mendapat tempat yang berkekalan  di hati masyarakat Melayu setakat ini kerana perjuangan Islamnya. Pada prinsipnya, ia bukanlah sebuah parti Melayu  yang memperjuangkan hak Melayu. Kini pula ia menjadi sebuah parti kebajikan rakyat, seperti UMNO bukan lagi sebuah Parti Islam.

Dengan mengubahkan landasan perjuangannya, dijangka PAS akan mengundang risiko baru pada PRU 13 ini. Dijangka sebahagian pengikut tegar mereka( kerana perjuangan Islam Parti) sekurang kurangnya marah dan mungkin tidak akan turun menggundi, seperti berlaku kepada UMNO dalam PRU 1999 dan PRU 2008. Sebaliknya, sebahagian  sektor undi Melayu liberal yang dulunya tidak menyetujui dasar Islam PAS dijangka kini mulai bersimpati  kepada PAS.

Bagaimanapun, sebarang usaha PAS hendak menjadi parti dominan dalam Pakatan Rakyat akan pula terhalang oleh  cara pengagihan kursi parti parti komponan Pakatan Rakyat itu sendiri. Dijangka PAS hanya bertanding dalam  kira kira  80 kerusi parlimen sahaja dan berhadapan pula dengan Parti UMNO. Dengan keadaan demikian maka adalah mustahil PAS akan mengatasi kekuatan DAP dalam  Parlimen selepas PRU 13.

Jika kita teliti kembali corak pengundian   yang lepas, undi Melayu untuk UMNO  di atas pagar  adalah  dalam lingkungan 10%,  dan tidak mungkin PAS mendapat kesemuanya, walau dalam senario prestasi UMNO  yang terburuk sekalipun. Inikan pula dalam suasana politik Melayu  dan India yang kini sedang memihak kepada UMNO dan BN.

Jika corak pengundian  setiap kaum  di Sarawak dan di beberapa pilihanraya kecil di Semenanjung sebelum ini dijadikan ukuran, kita nampak pengundi Melayu  telah mulai beralih kembali kepada Barisan Nasional, akibat polarisasi kaum Cina di belakang DAP. Keadaan ini  membayangkan kesedaran betapa pentingnya perpaduan untuk mengekal kuasa politik  Melayu/Buiputera yang sedia ada.

Apalagi ketika timbulnya isu murtad yang kini mulai  diyakini sebagai ada kebenarannya dan berpotensi menjadi  ancaman kepada aqidah masyarakat Islam di Malaysia.

Kita telah membuat kajian mendalam tentang kesetian penggundi Melayu terhadap UMNO berasaskan rekod penggundian dalam Pilihanraya Umum sejak tahun 1995. Apa yang kita dapati menunjukkan bahawa masyarakat Melayu  memberi  kesetiaan yang  cukup  teguh kepada  UMNO sungguhpun undi Melayu kini berpecah tiga di Semenanjung Malaysia. Jadi sebarang harapan Parti PAS untuk mengganti UMNO sebagai parti dominan masyarakat Melayu  tidak mungkin terjadi dalam masa PRU ke 13 atau 10 tahun selepas itu (sila rujuk kepada artikel artikel ramalan pilihanraya kecil dan pilihanraya negeri Sarawak dalam blog ini).

Dalam senario yang paling ekstrim hari ini, Parti PAS atau Pakatan Rakyat akan hanya berjaya memburukkan  lagi perpecahan di kalangan masyarakat Melayu sahaja sambil mengukuhkan lagi dominasi  Parti DAP  dalam Pakatan Rakyat.

Mungkin ada yang berkata, apa salahnya Pakatan Rakyat berkuasa walaupun dengan DAP sebagai parti  komponan yang dominan. Dalam perkara ini kita perlu fikir sedalam dalamnya risiko yang  dihadapi akibat suasana sedemikian. Pertama kemampuan kita  mempertahan hak Melayu dan kedudukan Agama Islam yang ada sekarang akan luntur.

Kedua,  dengan status yang lebih dominan, mungkin  timbul desakan desakan dari Parti DAP untuk mengubah sempadan pilihanraya  untuk mengukuhkan lagi  kedudukannya  serta menambah kerusi  untuk kaum mereka secara berkekalan. Adakah kita  sanggup berhadapan dengan risiko risiko ini?

Ketiga, Lim Kit Siang akan menjadi Timbalan Perdana Menteri, dan mungkin juga sebagai PM jika sesuatu yang buruk menimpa Perdana Menteri. Malah, sebagai  parti dominan dalam Pakatan Rakyat, DAP berhak dan berkemampuan menentukan beliau atau anak beliau,  Lim Guan Eng sebagai Perdana Menteri Malaysia, jika mereka berkuasa.[ Utusan Malaysia bertarikh 15 Septermber 2011 dalam ruang Isu Isu akhbar Cina memetik akhbar Nanyang Siang Pau sebagai melaporkan  pengerusi DAP Negeri Sembilan, Lock Siew Fook sebagai berharap  DAP dapat menubuhkan Kerajaan selepas PRU 13 dengan Lim Guan Eng sebagai Perdana Menteri.]

Bangsa Melayu yang beragama Islam adalah bangsa yang punyai toleransi yang tinggi dan memiliki nilai nilai agama yang menitik berat soal kebajikan dan keadilan. Sikap ini juga yang telah membiarkan ekonomi negara dikuasai orang lain. Apakah yang kita dapat harapkan daripada bangsa yang  tidak mengamal nilai nilai ini jika mereka berkuasa? Saya yakin anda tahu jawapannya.

Kita rasa kaum India juga kini sedar bahaya ini. Hasil daripada tinjauan tinjauan pendapat menampakkan  mereka kini yakin yang hanya  Kerajaan BN sahaja yang perihatin dengan kehendak kehendak kaum  mereka.

DAH IKHWAN

Artikel berkaitan:
1. Pengundi Cina senyap senyap mendaftar tetapi pengundi Melayu masih lalai
2. Perhimpunan Bersih 

Posted in Artikel Politik | Tagged , , , , | 27 Comments

Sarawak State Election (2011) Results: Analysis and Comments

First  of all, I would like to thank all of you for having shown overwhelming interest in articles I have written on the Sarawak State Election. I am certainly encouraged by your response and will certainly continue to write good … Continue reading

More Galleries | 17 Comments

Keputusan Pilihanraya DUN Negeri Sarawak 2011: Analisis dan Ulasan

This gallery contains 3 photos.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengunjung sekalian kerana memberi respond yang luar biasa  kepada tulisan tulisan saya di sekitar Pilihanraya Negeri Sarawak. UNTUK MENGIKUTI KEPUTUSAN PRN SARAWAK TAHUN 2016 SILA KLIK DI SINI Keputusan Pilihanraya  yang … Continue reading

More Galleries | 8 Comments

Sarawak State Election 2011: An Analysis of Racial Sentiment and Forecast

Since the last Malaysian  General Election held  in 2008, I have made ??a total of twelve bye-election forecasts from early 2009 until now,  eleven of which proven to be correct. All previous forecasts can be viewed in the archive of this blog. … Continue reading

More Galleries | 1 Comment

Pilihanraya Negeri Sarawak :Analisis Sentimen Kaum dan Ramalan

Sejak Pilihanraya Umum tahun 2008,  kita telah membuat sebanyak dua belas ramalan pilihanraya kecil dari awal 2009 hingga kini dan sebelas daripadanya terbukti tepat. Semua ramalan terdahulu boleh disemak melalui archive pada blog ini. ________________________________________________ Sila klik di sini untuk … Continue reading

More Galleries | 10 Comments

PILIHANRAYA NEGERI SARAWAK : Pemilihan Calon Barisan Nasional

Dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini, maka tarikh Pilihanraya Negeri Sarawak kini semakin jelas dan dijangka  pada awal  bulan hadapan.

(Untuk artikel Ramalan Pilihanraya Negeri Sarawak sila klik di sini)

Kedudukan kerusi  DUN Sarawak kini ialah  Barisan Nasional 63 kerusi, DAP 6, PKR 1 dan Parti Cinta Malaysia 1 kerusi. Dengan keadaan demikian Sarawak dianggap sebagai ‘simpanan tetap’ Barisan Nasional dan dengan Sabah telah dapat mempertahankan kedudukan kukuh kerajaan BN di peringkat pusat.

Tidak hairanlah jika Pakatan Rakyat rakyat kini berusaha bersungguh sungguh hendak mempengaruhi rakyat di Sarawak sekurang kurangnya dengan tujuan memperbaiki kedudukan kerusi mereka di negeri tesebut. Malah ada juga pemimpin pembangkang seperti Tuan Hj Hadi Awang,  Dato’ Seri Anwar Ibrahim dll.  nampaknya  begitu berharap  membuat kejutan dalam pilihan raya ini. Setakat ini tidak banyak tanda yang boleh menyokong jangkaan mereka.

Anda mungkin masih ingat Sarawak hanya mengadakan dua pilihanraya kecil baru baru ini, iaitu di Batang Ai dan Sibu. Di Batang Ai,  BN telah mampu mempertahankan kerusinya dengan majoriti yang bertambah, mencermin sokongan berterusan masyarakat Dayak kepada BN. Di Sibu pula, ia adalah kerusi kawasan majoriti Cina (64%). Kemenangan di Sibu telah kita ramalkan dengan betul disebabkan oleh sokongan berterusan dari pengundi Cina kepada DAP disamping ketiadaan penyandang yang popular seperti dalam PRU 2008.  Sebaliknya ia juga mempamerkan sokongan berterusan pengundi Melayu/Melanau dan Dayak kepada Barisan Nasional.

Seperti mana di negeri negeri lain,  saya telah membuat kajian terperinci tentang sokongan setiap kaum kepada BN di Sarawak. Kaedah regression analysis telah digunakan meliputi angka keputusan pilihanraya dihampir semua kawasan DUN pada Pilihanraya Negeri tahun 2006. Hasilnya menunjukkan seramai 77% dari jumlah pengundi Melayu dan Melanau telah mengundi BN, 67%  pengundi Dayak dan 40% pengundi Cina.

Dilihat daripada angka diatas, pada pandangan awal, kita tidak menjangka sebarang masalah untuk BN mengekalkan majoriti 2/3 di DUN Sarawak, sekalipun jika wujud sedikit kemorosatan undi.

Tetapi  BN perlu mengambil perhatian kepada beberapa kerusi yang rapuh dengan majoriti kurang daripada 500 undi dibeberapa tempat. Dalam kawasan kawasan ini, terutama  yang disandang  terlalu lama, penamaan  muka baru mungkin tidak dapat dielakkan. Tetapi, perlu diingatkan keadaan ini berisko agak tinggi, jadi seorang calon baharu mestilah seorang yang mudah diterima pengundi (anak tempatan, berkelayakan, mempunyai rekod baik dan disenangi rakyat setempat).

Saya ingin menarik perhatian bahawa mengikut analisis regression kita, pada keseluruhannya setiap penyandang kerusi di DUN Sarawak mempunyai pengaruh persendirian, ia itu kira kira 160 undi bagi setiap penggal yang di sandang. Jadi pengantian seseorang penyandang yang mempunyai majoriti kira kira 1000 undi pada pilihanraya tahun 2006, membawa risikonya tersendiri, kerana seorang calon baru boleh  kehilangan majoriti yang dicapai dahulu, seperti terjadi di Pilihanraya Kecil Parlimen Sibu baru baru ini. Oleh itu BN perlu berhati hati sebelum membuat sebarang keputusan.

Sekian, wallahu alam, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

DAH Ikhwan.

Posted in Artikel Politik, Pilihanraya Negeri Sarawak 2011 | Tagged , | 2 Comments

Model Baru Ekonomi: Wujudkan Suasana Kompetitif di Kalangan Bumiputera

Saya baru selesai mendengar ceramah Economic Transformation Program(ETP) atau dalam  Bahasa Melayu Program Transformasi Ekonomi, satu daripada tonggak Model Baru Ekonomi yang diperlukan untuk mencapai  matlamat  Wawasan 2020 sebagai sebuah negara maju .

YB Datuk Idris Jala, Menteri yang bertanggungjawab telah menghuraikan dengan jelas ETP ini yang di sediakan setelah menerima input dari lebih seribu peserta dalam beberapa siri lab(bengkel) yang diwujudkan diseluruh negara.

ETP mensasarkan Pendapatan Per Kapita Negara meningkat kepada US 15,000 menjelang tahun 2020 dengan kadar pertumbuhan ekonomi tidak kurang daripada 8% setahun. Pada masa ini  Pendapatan Per Kapita Negara ialah di sekitar US 8,000, ia itu tergulung di antara negara berpendapatan sederhana di peringkat global.

Strategi ETP menyimpang daripada strategi pembangunan negara sebelumnya kerana ia tidak menekankan FDI  tetapi akan bergantung lebih kepada modal dari dalam negara untuk membiayai pembangunan yang dianggar menelan belanja sejumlah RM 1.4 trillion, dengan pembiayaan sektor swasta 92% dan selebihnya 8% daripada kerajaan.

Strategi ini nampaknya munasabah dan boleh dicapai  dengan adanya kerjasama daripada rakyat terutama pelabur pelabur tempatan.  Tetapi untuk menarik pelabur tempatan, suasana yang kondusif perlu wujud dalam negara, di antaranya  dari segi keselamatan penduduk, toleransi antara kaum dan  liberalisasi dalam hampir semua sektor ekonomi.

Tetapi apa yang kurang ditekankan ialah agenda Bumiputera, iaitu  bagaimana memantapkan ekonomi Bumiputera supaya tidak ketinggalan dalam keghairahan untuk menjadi negara maju. Ini kerana  modal yang diperlukan dari dalam negara sudah tentu sebahagian besarnya diharapkan daripada yang sedia ada dari kalangan bukan Bumiputera. Memandangkan syarikat Bukan Bumiputera lazimnya berkembang lebih cepat daripada syarikat Bumiputera, akibatnya  jurang pemilikan ekuiti diantara Bumiputera dengan bukan Bumiputera pasti  akan menjadi  lebih buruk.

Selama ini kita banyak bergantung dengan Dasar Ekonomi Baru untuk menambah ekuiti Bumiputera. Pendekatan ini ada  hasilnya melalui kuota Bumiputera dengan pengagihan saham berdiskaun, lesen perniagaan, lesen import kereta, quota tender kerajaan, penswastaan syarikat kerajaan, dsb. Tetapi hasilnya terhad kerana kerap disalahguna dan dialibabakan. Ia mampu menambah kekayaan dikalangan ramai juga Bumiputera tetapi pada keseluruhannya ia  gagal mengwujudkan masyarakat perniagaan Bumiputera yang mantap dan berdayasaing secara berkekalan.

Malah capital creation atau pertambahan ekuiti hasil daripada titik peluh Bumiputera sendiri sangat rendah  jika tidak mengambilkira ekuiti syarikat syarikat besar kerajaan yang diswastakan.

Oleh itu  bagi saya Model Baru Ekonomi perlu satu pendekatan baru disamping mengurangkan kuota dalam Dasar Ekonomi Baru secara berperingkat peringkat. Setakat ini saya belum nampak  idea yang bernas dari pakar akademik Melayu selain daripada pendapat ahli ahli akademik yang berkait rapat dan menjadi lidah penyambung dasar parti politik, sama ada parti kerajaan atau pembangkang.  Saya  percaya ramai mungkin tertunggu tunggu satu idea yang benas daripada Professor Di Raja Ungku Aziz demi masa depan ekonomi Bumiputera.

Pendekatan PERKASA dan Organisasi organisasi Ultra Melayu yang lain untuk mengekal serta menambah kuota bukanlah pendekatan yang bijak. Pendekatan ini telah dilaksanakan dalam DEB, tetapi hasilnya sungguh terhad.

Apakah yang lagi diperlukan untuk mengurangkan jurang ekuiti Bumiputera daripada ekuiti bukan Bumiputera? Diakui soalan ini sangat rumit dijawab, kerana ia agaknya banyak bergantung kepada kemampuan masyarakat Bumiputera itu sendiri, disamping political will kerajaan untuk mengwujudkan persekitaran yang kondusif untuk meningkatkan kemampuan  ummah dan entrepreneur(usahawan)  Bumiputera.

Dalam perkara ini kita bersaing dengan kaum Cina dan India yang asalnya berhijrah ke tanah air kita dalam abad ke 19 dan ke 20. Ramai daripada mereka terdiri dari peniaga peniaga dengan tujuan mencari peluang perniagaan dan mereka  memiliki  budaya niaga yang sememangnya mantap, diwarisi dari zaman berzaman.

Untuk bersaing dengan mereka,    kita perlu membina  masyarakat perniagaan dengan  menerapi budaya niaga yang baik termasuk nilai  murni  yang mampu meningkatkan daya saing kita. Tetapi bagaimana mungkin kita  mewujudkan semuanya ini dalam masa yang singkat, menjelang tahun 2020? Adakah ini suatu pendekatan yang praktikal memandangkan kegagalan sebelum ini? Dan apakah sepatutnya peranan kerajaan dalam perkara ini?

Usaha membangunkan  masyarakat niaga yang mantap bukanlah perkara mudah. Tidak cukup dengan hanya memberi latihan dan menyediakan pinjaman modal atau mengagihkan lesen atau pemit,  kerana pendekatan ini telahpun  diusahakan di zaman Dasar Ekonomi Baru dahulu. Malah kemudahan yang disediakan kerajaan kerap disalahgunakan, akibatnya tanpa suasana kompetitif ia gagal memberi hasil seperti yang diharapkan. Sebaliknya ia mengwujudkan suasana yang terlalu selesa di kalangan  Bumiputera, sehingga kebanyakan peniaga tidak memiliki keinginan untuk maju ketahap yang lebih tinggi, atau langsung gagal mempertahankan perniagaannya.

Sejarah sesuatu bangsa tidak mungkin di ubah. Sejarah kaum Cina yang mengalami kesempitan hidup ketika berhijrah ke Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah,  dengan berlatarbelakang budaya niaga yang mantap membolehkan mereka merebutkan peluang terbuka luas.

Masyarakat Melayu sebaliknya, dengan berlatar belakang hidup yang selesa sukar menghidu peluang yang ada walaupun dihadapan mata sendiri. Walaubagaimanapun ini tidak bererti nasib sesuatu bangsa tidak dapat diubah. ‘Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan mereka sendiri mengubahkannya’ – Surah  Al-Raad ayat 11.

Satu  pendekatan yang  amat sesuai untuk masyarakat Melayu agaknya dengan cara menamat atau  mengurangkan  suasana yang selesa, atau dalam bahasa Inggeris ‘move away from the comfort zone’. Dengan cara ini ia akan mengwujudkan suasana baru yang lebih kompetitif dalam jangka panjang walaupun dalam janga pendeknya ia memerlukan banyak pengorbanan dan semangat tolak ansur dalam berhadapan dengan  kaum bukan Bumiputera.

Dengan pendekatan ini, kuota Bumiputera yang di sediakan kerajaan dalam perniagaan seperti tender, pelbagai lesen  dan permit istimewa perlu dihapuskan berperingkat peringkat dalam masa sepuluh tahun akan datang, tetapi tertakluk kepada  peningkatan dalam kemampuan ummah. Setiap kemudahan yang masih ada hendaklah di agihkan secara tender  dikalangan peniaga Bumiputera yang layak dan  dipilih berasaskan  sistem merit. Dengan ini dijangka ia dapat mengwujudkan suasana atau budaya saing yang sihat dikalangan Bumiputera dalam sektor berkenaan.

Satu lagi tonggak dalam Model Baru Ekonomi ialah  Program Transformasi Kerajaan, terutama didalam Perkhidamat Awam.  Dalam perkara ini tahap effisiensi semua jabatan dan agensi kerajaan amat penting dalam menentukan perkhidmatan yang effisien dan bersih dalam semua sektor yang menggerakkan ekonomi dan sektor yang menjaga kemajuan sosial dan keselamatan negara. Gejala rasuah yang boleh melumpuhkan perkhidmatan kerajaan perlu dihapuskan.

Walau bagaimanapun usaha transformasi perkhidmatan kerajaan pernah dilaksanakan sejak dahulu lagi, dengan kesan yang terhad. Ramai masih ingat usaha usaha di zaman Tan Sri Ahmad Sarjji dahulu, semasa beliau  menjadi Ketua Setiausaha Negara. Bayak  inisiatif dan program telah beliau laksanakan dengan jayanya untuk mengwujudkan perkhidmatan kerajaan yang effisien. Usaha beliau amat dihargai oleh seluruh warga perkhidmatan awam.

Sungguhpun demikian,  terdapat masih banyak kelemahan yang ketara dalam perkhidmatan awam Malaysia, terutama gejala rasuah yang masih meluas dan kurangnya budaya saing dikalangan kakitangan kerajaan. Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, cara penilaian untuk kenaikan pangkat berasaskan senioriti dan konco konco perlu dihapuskan.

Lebih dari itu saya rasa soal komposisi kaum dalam perkhidmatan awam perlu diubah selari dengan komposisi penduduk negara. Pada ketika ini terdapat 1.29 juta orang penjawat awam di Malaysia, terdiri Melayu/Bumiputera 85.7%, Cina 6% dan India 4% dan lain kaum 4.3%. Keadaan ini sesungguhnya tidak selari dengan komposisi kaum dalam negara.

Suasana yang lebih kompetitif atau berdayasaing lebih mudah wujud dalam perkhidmatan kerajaan dengan adanya nisbah yang lebih seimbang dalam perkhidmatan kerajaan. Ini kerana budaya  kerja setiap kaum tidak sama, dan berasaskan pengalaman  yang cukup lama  dalam perkhidmatan kerajaan dan swasta saya boleh rumuskan secara amnya prestasi setiap kaum nampak bezanya dalam melaksanakan tugas mereka. Maka dengan cara memberi ruang yang lebih kepada  kaum bukan Bumiputera,  ini pasti mampu memupuk  suasana yang lebih kompetif dan efficien dalam perkhidmatan kerajaan.

Bagaimanapun nisbah kaum yang  lebih saksama nampaknya sudah  diamalkan dalam Institut Pengajian Tinggi Awam,  dari segi enrolmen pelajar. Misalnya dalam tahun 2010, jumlah kemasukan pelajar di IPTA  dan Politeknik di seluruh negara ialah 105,577 orang. Ini termasuk  40,366 orang diteirma masuk ke program ijazah di universiti, terdiri daripada pelajar Bumiputera 71%, Cina 23.7% dan India 5.7%. Nisbah diatas sudah hampir memuaskan dan diyakini mampu mendedahkan pelajar dari pelbagai kaum berinteraksi sambil memupuk suasana persaingan yang sihat.

Walaubagaimanapun ada baiknya jika pengambilan tenaga pengajar di IPTA  dibuat mengikut nisbah penduduk negara dengan sistem penilaian berasaskan sistem merit tidak mengira kaum, fahaman politik  atau kaitan lain dengan  pegawai atasan. Pendekatan begini perlu bagi meningkatkan mutu IPTA Malaysia berbanding IPT di luar negara.

Satu lagi sektor yang boleh distruktur semula ialah sektor GLC(Syarikat berkaitan kerajaan), terutama dalam taburan gunatenaganya mengikut nisbah kaum. Saya kurang arif tentang keadaan yang wujud dalam sektor GLC, tetapi jika belum terlaksana, eloklah pengambilan tenaga kerjanya berpandukan  nisbah kaum bagi penduduk Malaysia.

Sekiranya cadangan diatas dilaksanakan, ini bukan sahaja meningkatkan effisiensi dalam sektor sektor berkenaan, tetapi dengan peluang baru  dalam sektor kerajaan yang tidak seluas seperti yang ada,  ini akan mampu menambah penyertaan kaum Melayu/Bumiputera dalam sektor swasta  sebagai kakaitangan dalam syarikat yang sedia ada.

Sebilangan daripada Bumiputera yang tidak mendapat tempat dalam perkhidmatan kerajaan nanti,  boleh digalakkan  menjadi entrepreneur dengan memulakan perniagaan sendiri. Kerajaan pula perlu menyediakan pakej yang sesuai merangkumi latihan keusahawanan,  bantuan teknikal, pinjaman modal,  bantuan dalam pemasaran, dsb.

Dengan suasana baru yang wujud, ada yang menjangka Bumiputera akan hilang  banyak peluang pekerjaan. Saya yakin perkara ini tidak harus dibimbangkan kerana kinipun peluang pekerjaan dalam negara adalah cukup tinggi dengan kadar pengangguran diantara yang terendah dirantau ini, apalagi dengan kadar pertumbuhan ekonomi  yang dijangka lebih baik dalam masa sedekad yang akan datang menjelang wawasan 2020.

Sekian,  wallahu ‘alam, wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh

DAH IKHWAN

Posted in Alam Perniagaan Melayu/Bumiputera, Artikel Business, Uncategorized | Tagged | Comments Off on Model Baru Ekonomi: Wujudkan Suasana Kompetitif di Kalangan Bumiputera

Petikan Wawancara Dengan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary

Saya perturunkan  di bawah satu petikan daripada  blog Cari Duit Jutawan yang sungguh menarik untuk  renungan kita semua terutama peniaga peniaga Melayu atau yang beraspirasi sedemikian.

Sabtu, 2010 September 18

Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary

JARUM jam sudah menjangkau tengah malam ketika dua wartawan Mingguan Malaysia rancak menemu bual Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, tokoh korporat Melayu yang latar hidupnya tidak begitu banyak diketahui.Isu yang dibincangkan hanya satu – tentang sikap sesetengah korporat Melayu berjaya yang keberatan turun ke bawah membantu anak bangsa. Isu itu dibangkitkan pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.“Saya pun naik semangat bercakap tentang hal orang Melayu ini walaupun tadi ada rasa mengantuk sedikit,” katanya kepada wartawan NOOR AZAM SHAIRI dan SITI MARIAM MD. ZAIN di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, tengah malam Rabu lalu.Syed Mokhtar adalah salah seorang daripada orang Melayu berjaya yang diketahui umum banyak menyumbang kepada pengembangan anak bangsa. Beliau menubuhkan Yayasan Al-Bukhary yang antara projek utamanya ialah memberi peluang pendidikan kepada anak-anak pintar yang kurang berkemampuan.“Saya dulu tidak ada peluang. Setelah ada rezeki ini kenapa saya tidak boleh tolong orang miskin yang boleh pergi jauh,” katanya yang bersekolah setakat tingkatan lima.Dalam wawancara ini, Syed Mokhtar juga ditanya tentang tanggapan umum terhadapnya yang dilihat sebagai seorang ahli perniagaan yang kerjanya mengambil alih kepentingan demi kepentingan pelbagai syarikat.“Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tidak ada esok,” katanya.Agenda sosial dan kerja-kerja kemasyarakatan itulah antara sebabnya. Syed Mokhtar mengakui bahawa semua itu bukan untuk dirinya sendiri sebaliknya beliau mahu meninggalkan warisan untuk anak bangsa yang kekal berpanjangan.Wawancara ini adalah antara sedikit yang pernah diberikan oleh tokoh korporat yang selalu cuba mengelak daripada tumpuan media. Ditanya kenapa beliau bersedia ditemu bual pada kali ini, Syed Mokhtar menjawab: “Saya mahu membela diri.”“Saya perlu tampil untuk membetulkan pandangan-pandangan serong tentang diri saya.”
MINGGUAN: Bagaimanakah Tan Sri melihat hubung kait diri Tan Sri dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB)?SYED MOKHTAR: Saya menikmati jasa dasar itu semasa memulakan perniagaan dulu, daripada pinjaman Mara sehinggalah kepada bangunan kedai UDA. Saya produk DEB tetapi semua ini melalui proses selama 34 tahun.Pada tahun 1970, arwah bapa saudara bayar seringgit suruh saya masuk UMNO. Saya menjadi ahli biasa saja, tidak aktif kerana fokus saya ialah kepada perniagaan. Bagaimanapun saya percaya kepada UMNO kerana ia parti yang mendukung dasar itu.

Dalam tempoh lebih 34 tahun ini, apakah rahsia kejayaan Tan Sri?

SYED MOKHTAR: Tidak ada apa-apa rahsia. Saya ini hamba Allah biasa, budak dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia ini sama saja, cuma proses kematangan saya yang membezakannya. Saya percaya sesiapa pun boleh menjadi apa saja asalkan mereka berusaha dengan tekun. Tetapi tentulah ia memakan masa.

Saya sendiri melalui pahit maung dan merasai segala-galanya untuk sampai ke tahap ini. Tidak ada jalan yang singkat. Saya belajar tentang perniagaan ini dari kecil lagi, dan saya juga biasa kena tipu.

Saya memang sudah buat keputusan dari awal bahawa saya mahu buat sendiri. Saya tidak gadai lesen dan permit yang saya ada.

Ini tentang know how atau know who?

SYED MOKHTAR: Semasa mula berniaga dulu saya tidak ada kenal sesiapa. Tetapi selepas saya mengembangkan perniagaan ini memang faktor know who itu penting juga. Bangsa lain tidak mengapa tetapi orang Melayu dalam berniaga kena berdamping dengan orang politik sedikit-sedikit.

Tetapi saya juga anak UMNO. Saya percaya kepada UMNO dan DEB. Dasar itu tidak sia-sia. Saya boleh mempertahankan manfaatnya. Ini bukan masalah dasar tetapi masalah manusia yang tidak mahu melalui kesusahan; banyak yang mahu senang dengan mendampingi orang politik.

Saya juga mengenali kekuatan dan kelemahan saya. Apa yang saya tidak mampu buat saya akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui jalan susah tetapi itulah jalan yang kekal.

Tidak banyak peniaga Melayu yang buat macam Tan Sri – dapat empat permit lori walaupun cuma mampu pakai dua, yang baki itu tidak dijual.

SYED MOKHTAR: Alhamdulillah, Tuhan tidak gerakkan hati saya buat kerja-kerja itu. Saya yakin, insya-Allah dua buah lori lagi saya boleh beli kalau saya rajin berusaha.

Saya percaya kalau perniagaan saya maju dan tidak cukup lori, saya tentu kena minta lagi. Jadi walaupun hanya mampu beli dua buah lori, dua lagi permit itu saya simpan untuk masa depan.
Maksudnya kena sabar menunggu?

SYED MOKHTAR: Memang kena banyak sabar dan kuat berusaha. Semasa mula-mula berniaga dulu saya pun biasa kena tindas, bukan saja dengan bangsa lain tetapi dengan orang Melayu yang dipergunakan.

Saya terpaksa bersaing dengan orang Cina yang sudah jauh lebih maju dan boleh juga mendapatkan lesen daripada orang Melayu yang sanggup menggadainya.
Semasa mula berniaga Tan Sri bekerjasama dengan orang Cina. Kenapa?

SYED MOKHTAR: Kita perlu menggunakan kepakaran mereka kerana mereka jauh lebih maju dan mahir daripada kita. Apa yang kita kurang faham, kita berkongsi dengan mereka dengan tujuan untuk belajar daripada mereka. Apabila sudah faham barulah kita boleh menjaga kepentingan kita.

Sampai sekarang saya masih berkongsi dengan orang Cina tetapi saya juga terlibat secara aktif dalam perniagaan itu.
Bagaimanakah lahirnya Yayasan Al-Bukhary ini?

SYED MOKHTAR: Apabila saya dapat rezeki sedikit ditambah pula dengan didikan ibu bapa saya, saya mula menolong orang. Itulah juga punca saya mewujudkan yayasan di Alor Star itu. Insya-Allah, harapan saya setelah mati nanti yayasan itu tetap kekal dan terus memberi bakti.

Selain Muzium Kesenian Islam di Kuala Lumpur saya juga buka pusat tuisyen. Sebenarnya saya hendak buat sudah lama tetapi tiada siapa yang sanggup hendak tengok-tengokkan sehinggalah saya dapat tahu Datuk Seri Shukor Abdullah (bekas Ketua Pengarah Pendidikan) bersara. Saya cari dia dan dia sanggup untuk melaksanakan hasrat ini. Ini daripada hati saya, siapa pun tidak suruh.

Projek ketiga yayasan ialah Kompleks Al-Bukhary di Alor Star. Itu asalnya tanah datuk saya dan masjid itu asalnya dia yang bina. Saya sebenarnya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah. Saya ada cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.

Dalam hal ini, apabila saya masuk ke dalam masyarakat saya tidak lihat orang itu UMNO atau Pas. Kalau orang itu memerlukan bantuan, kalau boleh ditolong, saya tolong. Dalam hal-hal kemasyarakatan tidak ada UMNO dan Pas.

Maksudnya?

SYED MOKHTAR: Orang Melayu semuanya sama. Pendirian politik itu terpulanglah kepada diri masing-masing. Dalam kompleks masyarakat itu kita semua sama. Dalam soal kemajuan ummah kita mesti bersatu.
Prof. Diraja Ungku Aziz dalam satu wawancara sebelum ini menyebut bahawa orang Melayu tidak berfikir seperti satu ummah. Orang Melayu individualistik. Tan Sri nampaknya bukan dari golongan itu?

SYED MOKHTAR: Saya fikir soal parti adalah hak masing-masing. Apabila hidup bermasyarakat, kita tidak sepatutnya mengasingkan ini orang UMNO, ini orang Pas. Saya memberi bantuan hanya atas dasar sebagai orang Islam. Soal ideologi atau perjuangan mana yang betul, hanya Allah yang akan menentukannya.

Dalam menjayakan agenda Melayu, orang Melayu sendiri kena tolong orang Melayu. Tidak guna kita buat seminar sana sini tetapi tidak mahu menolong bangsa sendiri untuk jadi maju. Kita kena berusaha, baru orang Melayu boleh jadi kuat.

Apabila kuat, kita tidak lagi ditindas. Jangan kita bercakap tentang agenda Melayu dalam Perhimpunan Agung UMNO tetapi selepas itu kita senyap. Sepatutnya semua orang kena buat kerja, bukannya bercakap saja.

Apa pandangan Tan Sri kepada korporat Melayu yang tidak mahu tolong Melayu?

SYED MOKHTAR: Mereka mungkin tidak nampak ini sebagai kewajipan kerana mereka tidak melalui kesusahan. Saya pun suka kepada kemewahan. Saya pun suka pergi tengok dunia, ke Tokyo, New York dan London. Saya pun suka pakai baju elok.

Tetapi kita ini hendak mewah setakat mana, hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana?

Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status; ada masa di atas, ada masa di bawah. Kita tidak boleh mengagung-agungkan diri kita sangat. Masalahnya sekarang ada yang sudah ke atas tetapi tidak mahu turun ke bawah.

Kenapa ini berlaku?

SYED MOKHTAR: Mungkin kerana kurang didikan dan nilai sehingga hidup jadi terbawa-bawa. Tidak mengapa kalau mereka boleh hisap curut RM500. Tetapi tidak semestinya bermakna mereka tidak boleh turun ke bawah membantu orang.

Ketika Allah memberikan kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu. Allah beri rezeki melalui kita untuk kita tolong orang lain. Rezeki itu bila-bila masa Dia boleh ambil balik. Mereka bersikap begini boleh jadi kerana bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain.

Ini berbeza dengan orang Cina yang ada pelbagai persatuan. Kita tidak ada; kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita tidak mahu bekerjasama kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tidak mahu berusaha, apabila orang lain usaha, mereka marah.

Inikah pegangan Tan Sri dari dulu lagi; rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain?

SYED MOKHTAR: Saya fikir memang dari segi hukum pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana sangat. Islam agama yang adil; ia minta sedikit saja. Oleh itu kalau ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik.

Tan Sri melihat menolong orang lain itu satu tanggungjawab?

SYED MOKHTAR: Apabila kita memberi kerja kepada orang lain, ia juga satu amalan kerana kerja mendatangkan rezeki kepada mereka. Sekarang kumpulan saya ada 36,000 pekerja. Ini satu tanggungjawab kepada saya, bagaimana hendak menjadikan mereka ini maju, dapat bonus dan sebagainya.
Kalau Tan Sri tidak buat semua ini apa Tan Sri rasa?

SYED MOKHTAR: Saya akan rasa sedih kerana tidak banyak orang Melayu yang tolong Melayu. Saya tidak kisah; saya boleh tidak buat apa-apa dan balik ke Alor Star. Tetapi saya akan rasa hidup ini sia-sia. Orang Kedah kata, kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata kita tidak buat.

Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita, kita masih tidak buat apa-apa. Tetapi semua ini sebenarnya bukan mampu saya buat seorang.

Saya ada emotional attachment kepada agama, negara, bangsa dan ummah. Saya bukan individualistik. Diri saya tidak mustahak. Pangkat dan gelaran ini kepada saya tidak mustahak.

Kalau saya dulu tidak dapat peluang belajar tinggi, kenapa pula saya hendak sekat peluang orang lain? Lagipun saya datang daripada golongan itu. Kalau ada rezeki lebih sedikit takkan saya sanggup lupakan mereka.

Tan Sri mengharapkan lebih ramai lagi orang Melayu yang berjaya seperti Tan Sri?

SYED MOKHTAR: Saya kadang-kadang sedih apabila media tonjolkan saya begini. Saya malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda daripada saya.

Tetapi saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya kena kerja kuat, tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang Tuhan beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu berusaha.

Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya tidak tahu saya belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi.

Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.

Apakah yang selalu Tan Sri fikirkan?

SYED MOKHTAR: Saya selalu fikir bagaimana hendak mengekalkan kumpulan ini untuk masa depan; bagaimana hendak menjalankan semua projek di bawah yayasan.

Sebahagian daripada keuntungan kumpulan ini saya khaskan kepada kos operasi Yayasan Al-Bukhary yang akan menempatkan 3,000 pelajar dari negara-negara Islam – 70 peratus pelajar antarabangsa, 20 peratus pelajar kita dan 10 peratus bukan Islam.

Kita memberikan fokus kepada soal pendidikan anak bangsa. Kelas tuisyen itu boleh dikatakan 100 peratus untuk anak Melayu. Universiti itu pula adalah untuk pelajar-pelajar yang cerdik tetapi tidak ada kemampuan.

Kita akan ambil mereka dan beri bantuan seratus peratus. Kita mahu mereka menjadi profesional yang apabila tamat pengajian boleh pulang ke negara masing-masing dan membantu masyarakat mereka pula.

Salah satu masalah ekonomi orang Melayu ialah pengangguran di kalangan siswazah. Dalam hal ini misalnya apakah yang boleh Tan Sri lakukan?

SYED MOKHTAR: Saya telah meminta kumpulan kami mengkaji masalah ini dan mengambil sekumpulan mereka bekerja dan memberikan latihan. Insya-Allah kami akan sentiasa mencari perniagaan baru, mungkin daripada swasta atau kerajaan. Kalau daripada kerajaan orang mungkin akan menjadikannya sebagai isu lagi.

Tetapi kalau kita terus mencari peluang dan perniagaan lain kita akan terus dapat membantu orang lain untuk mengembangkan diri masing-masing. Saya bukan buat semua ini untuk diri saya sendiri semata-mata.

Laporan-laporan tentang Tan Sri selama ini, itu maksudnya bukanlah untuk mengembangkan kekayaan peribadi?

SYED MOKHTAR: Diri saya tidak mustahak. Kalau saya hendak ambil alih mana-mana syarikat pun saya mesti ada kemampuan untuk menguruskannya.

Orang tidak tahu bahawa apabila saya mengambil sesetengah syarikat itu ia sebenarnya dapat menyelamatkan berpuluh-puluh ribu keluarga pekerjanya yang sebahagian besarnya ialah orang Melayu.

Tetapi apabila saya mengambil alih syarikat-syarikat itu orang bertanya apakah tidak ada orang lain selain daripada Syed Mokhtar?

Orang tidak bercakap tentang hal-hal di belakang itu.

SYED MOKHTAR: Perkara yang elok lambat orang tahu. Saya ini ada dibenci orang. Orang kata saya tamak, ambil semua peluang yang ada dan hendak jadi kaya seorang. Kaya apa?

Kaya itu bukanlah pada diri saya. Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Saya hanya memegangnya untuk sementara saja.

Saya tidak ada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk anak dan isteri. Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara baik yang kita lakukan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti tetapi apa yang saya lakukan sekarang.

Tetapi banyak orang percaya bahawa dia mesti ada RM10 juta atau RM20 juta dalam tangan baru hidup boleh selamat. Ini yang menyebabkan mereka hanyut daripada menolong orang lain. Mereka lebih takutkan diri sendiri. Mereka lupa bahawa kekayaan tidak boleh membantu selama-lamanya.

Apakah yang orang tidak tahu tentang syarikat-syarikat yang Tan Sri miliki itu?

SYED MOKHTAR: Sesetengah daripada syarikat itu bermasalah; saya membeli untuk menyelamatkannya daripada jatuh ke tangan bangsa lain atau orang Melayu sendiri yang boleh membawa lebih kerosakan. Saya tidak menggadaikan hak dan kepentingan orang kita.

Tetapi kerja saya bukan beli syarikat. Saya ada perniagaan sendiri – syarikat lori dan beras. Alhamdulillah, Tuhan memberikan saya kekuatan untuk ke depan apabila ada peluang.

Walaupun sesetengah syarikat itu bermasalah tetapi saya melihatnya sebagai satu peluang juga – bagaimana hendak mengubahnya. Tetapi saya tidak pernah ambil daripada mulut orang Melayu lain; sudah hendak sampai ke kerongkong saya ambil, saya tidak buat begitu.

Apa yang saya dapat ini adalah daripada usaha saya sendiri. Ada juga yang saya usaha tetapi tidak dapat dan orang tidak tahu. Apa yang saya dapat itu pula yang menjadi masalah kononnya Syed Mokhtar sapu semua.

Orang kita terlupa bahawa bangsa lain memegang pelbagai kepentingan dalam ekonomi negara ini. Siapa pula yang memberikan pelbagai kemudahan untuk membolehkan mereka memegang kepentingan itu? Siapa pun tidak kata apa. Inilah masalah orang Melayu. Di kampung orang Melayu berpecah kerana politik Pas dan UMNO; di bandar, berpecah kerana ini.

Saya tidak pergi cari mana syarikat hendak saya beli. Saya percaya kalau rezeki itu Allah beri kepada saya ia bukan untuk saya tetapi untuk orang ramai juga. Orang tidak tahu banyak syarikat yang saya ada ini gagal dan tidak maju kepada saya tetapi orang tidak tahu.

Orang tidak tahu bagaimana saya rugi lebih RM2 bilion dalam pelaburan semasa kegawatan 1997 semata-mata kerana hendak melindungi 30 peratus kepentingan orang Melayu.

Setiap kali mendapat rezeki daripada Tuhan, apakah yang Tan Sri rasakan?

SYED MOKHTAR: Saya ini kata orang Kedah, lebai kodok, bukan lebai pondok. Tetapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu kita minta terus daripada Tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai baju dan seluar biarlah padan dengan badan.

Orang kata saya tidak ada duit tetapi banyak hutang. Orang berniaga mana yang tidak berhutang. Tetapi kita mesti tahu bagaimana hendak meminjam dan membayarnya semula. Ada cara kita boleh buat.

Kalau beratus-ratus orang Cina dalam bandar boleh buat kenapa saya orang Melayu tidak boleh? Tetapi kerana saya Melayu orang menjadikannya sebagai satu isu. Inilah masalahnya.

Tidak ada salahnya berhutang kalau berniaga. Tetapi sebelum berhutang RM100 juta kita mesti sudah fikir bagaimana hendak membayarnya balik. Mesti ada tanggungjawab. Soal tanggungjawab ini yang banyak orang tidak sanggup pikul. Banyak orang mahu senang tetapi tidak ramai yang mahu bertanggungjawab.

Kesenangan yang saya perolehi ini datang dengan tanggungjawab. Kalau hendak dibandingkan dengan bangsa lain, perniagaan saya tidak ada apa. Tetapi walaupun sedikit tetapi yang sedikit itu ada berkatnya.

Saya suka kalau nikmat sedikit yang saya dapat itu orang lain boleh berkongsi sama. Emak saya mengajar: Kalau dapat lebih, beri lebih; kalau kurang, beri kurang.

Tan Sri ada sikap yang begitu sensitif kepada keperluan anak bangsa dan saudara seagama. Soalnya kenapakah tidak banyak korporat Melayu yang ada sikap sebegini?

SYED MOKHTAR: Mungkin kerana masalah didikan atau kerana mereka naik dengan begitu mudah. Atau mungkin juga kerana pergaulan mereka. Saya kadang-kadang kecewa dan sedih melihat anak orang alim yang sesetengahnya lupa diri setelah mendapat kekayaan. Saya pun sama seperti orang lain suka hendak ke luar negara tetapi kita tidak boleh lupa kubur kita dan asal-usul kita. Di kampung kita mungkin ada jiran-jiran yang perlukan bantuan.

Saya sangat berterima kasih kepada emak saya yang ambil setengah daripada duit pertama saya dulu. Kalau tidak mungkin saya sudah ke Haatyai dan jadi nakal.

Saya manusia yang banyak juga melakukan kesilapan. Tetapi saya insaf, beristighfar dan jalan lagi. Sejak awal saya ada kesedaran mahu mengekalkan hak kita sebagai orang Melayu. Saya kata kepada diri sendiri kalau kerana itu saya terpaksa bersusah sedikit pun tidak mengapa.

Adakah Tan Sri rasa keseorangan melakukan semua ini?

SYED MOKHTAR: Saya fikir banyak orang yang buat begini juga tetapi dengan cara mereka sendiri. Insya-Allah kita berdoa mereka akan buat lebih lagi pada masa akan datang.

Saya buat apa yang tergerak dalam hati dan apa yang boleh dicapai oleh tangan. Saya juga insaf bahawa diri saya tidak kekal; saya hanya seorang hamba Allah yang kalau ditakdirkan hidup sehingga 70 tahun umur saya hanya tinggal 17 tahun saja lagi.

Oleh itu saya suka melakukan perkara yang kekal dan berterusan seperti yayasan ini. Kalau bangsa lain boleh ada macam-macam yayasan kenapa tidak kita? Apa yang penting ialah komitmen. Pendekatan saya selari; sambil mencari rezeki saya juga menyumbang semula kepada masyarakat.

Saya sendiri tumpang seronok melihat orang lain mendapat kesenangan daripada sedikit apa yang saya ada ini.

Tan Sri seronok melihat orang lain dapat berkembang hasil daripada rezeki yang Tan Sri nikmati?

SYED MOKHTAR: Ya. Kekayaan ini Tuhan beri kepada saya untuk saya menolong orang lain pula. Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita tolong orang, esok lusa orang akan tolong kita pula dengan cara yang lain.
Harapan Tan Sri kepada orang Melayu lain yang juga sudah berjaya?

SYED MOKHTAR: Insya-Allah, kebanyakan orang Islam ini baik-baik, ada niat yang baik. Bukan mereka tidak mahu menolong tetapi mungkin masanya belum sampai atau Tuhan belum menggerakkan hati mereka lagi. Mungkin juga mereka ada masalah maklum saja selepas tahun 1997 masih belum banyak yang pulih semula.

Saya sendiri sambil berhutang sambil berniaga dan buat sumbangan amal jariah. Saya berdoa apabila nanti saya pejam mata masa itu juga hutang pun habis, perniagaan dan amal jariah pun sama-sama berjalan elok.

Saya tidak mahu tunggu hutang habis baru hendak buat semua ini. Saya takut kalau hutang habis saya pun mati dan apa pun tidak sempat buat.

Kepada orang Melayu yang sanggup hisap curut RM500 tetapi susah hendak tolong orang lain, apakah yang hendak Tan Sri katakan kepada mereka?

SYED MOKHTAR: Kalau mereka hendak hisap curut, pakai kereta Porsche atau duduk rumah besar, tak apa. Cuma ingat-ingatlah juga tanggungjawab untuk membantu anak bangsa.

Kita tidak boleh marah kepada mereka. Kita ingat-ingatkan saja. Kebanyakan mereka itu orang yang bagus-bagus; mungkin terbawa-bawa saja. Kepada saya ini masalah kecil saja. Masalah yang lebih besar ialah diri kita sendiri. Orang Melayu kena yakin dan berusaha untuk terus memajukan diri.

Harapan Tan Sri kepada orang Melayu keseluruhannya?

SYED MOKHTAR: Peluang kita semua sama; saya tidak dapat lebih dan tidak dapat kurang. Cuma satu saja saya minta daripada orang Melayu: Beri masa sedikit kepada apa yang hendak diusahakan.

Kalaupun tidak sanggup tunggu 34 tahun seperti saya berilah sedikit masa untuk faham selok-belok perniagaan, insya-Allah boleh maju.

Mereka juga kena fokus, majukan diri dan selalu meningkatkan kemahiran. Kalau sudah maju dan hendak mempelbagaikan perniagaan, masa itu tidak mengapa.

Kita juga jangan cepat berputus asa. Putus asa boleh tetapi kena cepat-cepat kuatkan semula semangat untuk bangkit balik. Kita juga jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila kita susah. Tanggungjawab ibadah adalah tugas seharian.

Bolehkah orang Melayu maju?

SYED MOKHTAR: Tidak ada sebab kenapa orang Melayu tidak boleh maju. Ini saya berani perang dengan sesiapa pun kalau ada yang mengatakan orang Melayu tidak boleh maju. Cuma nasihat saya kalau hendak jadi apa pun, jadilah yang terbaik dalam bidang masing-masing sehingga kukuh bertapak.

Orang Melayu boleh maju. Kalau saudara jadi wartawan saudara kena tanam semangat suatu hari mahu ambil alih akhbar itu. Tidak ada sebab kenapa ia tidak boleh berlaku.

Cara hidup Tan Sri bagaimana?

SYED MOKHTAR: Saya tidak ada lifestyle yang kena masuk kelab sana dan sini. Tetapi tidak semestinya saya tidak boleh turun ke kelab. Orang Melayu kalau hendak ke depan mesti ada cara hidup yang fleksibel, boleh naik dan turun. Jangan amalkan cara hidup yang tidak boleh ada fleksibiliti.

Lifestyle ini sebenarnya satu penyakit. Saya biasa pakai Mercedes tetapi sekarang saya pakai Proton Perdana untuk sokong kereta nasional. Kereta itu pun cukup untuk bawa saya ke mana-mana.

Saya juga tidak bermain golf kerana kepada saya ia memakan banyak masa. Tetapi tidak semestinya orang yang main golf itu tidak bagus atau orang yang tidak main itu lebih bagus.

Saya pun tidak ada minat untuk beli kapal layar atau kapal terbang. Saya fikir kalau saya beli sesuatu benda yang mahal, biarlah orang ramai boleh pakai. Saya suka kalau orang ramai mendapat nikmatnya.

Tetapi pada masa akan datang tidak tahu lagi. Kalau panjang umur saya berniaga ke negara-negara lain dan ketika itu saya memerlukan, mungkin saya akan beli juga kapal terbang. Setakat ini Proton Perdana sudah memadai.

Tetapi orang Melayu umumnya apabila berniaga perkara pertama yang dilakukan ialah beli kereta mewah.

SYED MOKHTAR: Kita tidak usahlah selalu mengulang-ulang perkara yang boleh memberikan kesan psikologi yang negatif kepada orang Melayu. Kita kena kurangkan bercakap tentang kereta besar dan rumah besar. Jangan kita memberikan gambaran bahawa ini sebenarnya yang perlu mereka buat. Sesiapa pun memang mahu semua itu tetapi bukan itu matlamatnya.

Kita kena tekankan hal-hal yang positif tentang orang Melayu. Orang Melayu boleh jadi yang terbaik dalam apa juga bidang kerjaya mereka. Itu yang perlu kita lakukan.

Di kalangan orang Melayu masih ada pemikiran bahawa kerajaan perlu menolong mereka. Bagaimanakah Tan Sri melihat realitinya?

SYED MOKHTAR: Saya ingat kena tengok tahap-tahapnya. Kerajaan kena tolong orang Melayu. Orang Melayu mesti naik berperingkat-peringkat. Bantuan kerajaan sentiasa ada. Sistemnya sudah ada. Kalau orang Melayu masuk ke dalam sistem itu, mereka sudah boleh jalan ke depan.

Tetapi seperti saya katakan tadi mereka perlu melalui proses ujian masa. Mereka yang perlukan bantuan ini ialah mereka yang hendak cepat dan tidak faham apa. Orang Melayu sebenarnya tidak perlu meminta kerajaan membantu kerana dasar itu memang sudah ada. Orang Melayu sebenarnya yang kena membantu diri sendiri, kena bekerja keras dan fokus.

Saya mendapat nikmat daripada DEB sejak awal pelaksanaannya lagi. Ketika itu lebih susah kalau hendak dibandingkan dengan peluang-peluang yang ada sekarang.

Adakah Tan Sri puas hati dengan apa yang sudah dilakukan ini?

SYED MOKHTAR: Saya biasa saja. Hidup saya tidak berubah, dari dulu beginilah. Saya terima apa saja nikmat yang diberikan oleh Allah. Tidak ada air segelas, ada setengah gelas pun saya bersyukur.

Apakah yang Tan Sri rasa apabila melihat orang yang menerima bantuan daripada yayasan ini?

SYED MOKHTAR: Kalau kerana sedikit bantuan itu mereka lulus peperiksaan dan hidup mereka menjadi lebih baik, saya sudah gembira. Saya tidak boleh buat banyak. Alhamdulillah, lebih baik buat sedikit daripada tidak buat langsung.

Saya gembira dapat membantu. Kalau saya boleh beli seekor lembu untuk sebuah kampung yang sudah lama tidak makan daging, saya rasa gembira. Saya rasa seronok dapat bawa anak-anak dari luar datang ke Kuala Lumpur, tengok lampu-lampu yang cantik.

Saya tahu bagaimana perasaannya. Saya mahu orang lain merasai apa yang saya pernah rasa. Saya kata kepada diri saya, apa yang saya dapat saya mesti beri orang lain merasainya sama. Jangan kita beri kurang daripada itu, lebih tidak mengapa. Itu yang membuat hati saya seronok.

Tan Sri tentu rasa boleh menyumbang lebih lagi daripada ini?

SYED MOKHTAR: Memang itulah yang selalu saya rasa. Saya kata kepada kawan-kawan apa yang kita buat ini baru warm-up saja; kita belum berjalan lagi. Saya rasa kita terlalu banyak ketinggalan.

Insya-Allah, kalau orang Melayu lain boleh bersama-sama membantu tentulah lebih baik. Ayah saya kata, guni beras kalau seorang pikul memang berat tetapi kalau ramai-ramai kita pakat pikul ringan jadinya.
Kenapa beri wawancara sekarang?

SYED MOKHTAR: Saya rasa saya perlu tampil untuk membetulkan pandangan-pandangan yang serong tentang diri saya itu. Saya kena membela diri. Setidak-tidaknya saya jelas dengan apa yang hendak saya lakukan. Terpulang bagaimana umum hendak menerimanya.

Kepada saya, apa yang benar itu akan kekal. Saya segan kerana kerja saya yang sedikit ini orang besar-besarkan. Niat saya baik tetapi orang fikir sebaliknya. Saya bukan orang jahat. Saya asal orang miskin.

Saya pun sebenarnya bukan hendak menonjol-nonjolkan diri. Saya hormat kepada pemimpin. Saya akan sama-sama membantu. Pemimpin datang dan pergi tetapi saya hormat kedudukan itu. Perjuangan yang mereka tentukan itu akan terus saya bantu.

Sila baca artikel  yang berkaitan:

1. PRU 13: Corak Pengundian di Lembah Kelang Mengikut Kaum.

2. Ringkasan Biografi Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary

3.Pengundi Cina senyap senyap mendaftar, Melayu masih lalai

4. Budaya Niaga Melayu: Motivasi dalam Perniagaan.

Posted in Alam Perniagaan Melayu/Bumiputera, Artikel Business | Tagged , | 12 Comments

Budaya Niaga Melayu: Motivasi Dalam Perniagaan

Mukadimah

Suasana dalam negara yang menyaksikan  perkembangan pesat dalam perniagaan  menimbulkan satu dilemma kepada masyarakat Melayu. Di satu sudut sebahagian masyarakat menganggap baik  aktiviti perniagaan, tetapi tidak kurang pula mereka yang  beranggapan perniagaan ini adalah urusan dunia  dan berfokus kepada matlamat menggumpulkan harta duniawi. Kumpulan yang kedua ini menganggap bidang perniagaan kurang penting dan kurang prioriti berbanding  urusan akhirat yang lebih kekal abadi. Bagi kumpulan ini, seperti sering kita dengar di ceramah ceramah agama,  harta itu hak duniawi dan tetap ditinggalkan setelah pemilik harta tersebut meninggal dunia.

Dengan keadaan yang demikian,  bidang perniagaan melemparkan satu cabaran berat kepada minda Melayu. Ini sedikit sebanyak meninggalkan kesan negatif kepada minat, kesungguhan,  kecekalan dan kemampuan kita  dalam perniagaan dan kepada kedudukan ekonomi dan kesejahteraan ummah pada amnya.

Fahaman  sebegini  gagal mendalami kesan positif kemajuan  kepada kemakmuran, kekuatan, kesejahteraan dan keyakinan diri  ummah. Ia gagal menghargai   setiap muslim yang berjaya  yang mampu  menunaikan fardu zakat dan sedakah yang dituntut oleh Islam.

Perbandingan Falsafah Perniagaan

Sesungguhya, tamaddun  yang maju dalam bidang perniagaan dizaman  moden  ini, seperti tamadun Barat ataupun tamadun China/Jepun  di timur memiliki falsafah perniagaan yang  agak berbeza antara satu dengan yang lain. Ia memiliki  ciri persamaan  dengan prinsip perniagan Islam dalam banyak perkara, tetapi banyak pula  perbezaannya.

Buku buku rujukan perniagaan semuanya datang dari Barat dan sebahagian pula dari terbitan berasal daripada bangsa  China atau Jepun.  Saya tidak pernah bersua dengan buku rujukan perniagaan berasal dalam  bahasa Arab dari timur Tengah, jika adapun agaknya  di pandang rendah oleh orang Melayu di Malaysia, kerana pasti  beranggapan kita sendiri lebih maju daripada mereka, dan inilah hakikat yang sebenarnya.

Dalam dunia Islam yang masih  jauh tertinggal di belakang  tamaddun lain, Malaysia pula muncul kehadapan, dengan tempias kemajuan di rasai oleh umat Islam berbangsa Melayu. Jadi bangsa Melayu Malaysia mampu menjadi pelopor perbankan Islam global yang  kini memberi persaingan kepada sistem perbankan barat, menjadi pelopor kepada sistem pengeluaran produk halal yang semakin diterima di pasaran global, disamping mendahului umat Islam lain dalam industri pengeluaran kereta,  petroleum, perladangan, pengangkutan udara dan laut,  bidang teknologi maklumat dan banyak lagi.

Sebagai pelopor yang meredah jalan,  sudah lumrah kita banyak terpengaruh oleh pendekatan perniagaan luar dari Barat dan, sedikit sebanyak, oleh pendekatan China/Jepun.

Falsafah perniagaan Barat bermatlamat memaksima keuntungan,  hanya memiliki  ikatan yang longgar dengan  soal soal etika, atau kesannya kepada masyarakat. Maka mereka menghalalkan riba, monopoli, malah dalam kes yang ekstrim, penipuan dalam perniagaan sekalipun. Jadi kerakusan nafsu manusia tidak banyak dihadkan oleh masyarakat. Jika adapun, sistem perniagaan mereka lebih  dikawalkan oleh undang undang yang pula banyak dipengaruhi oleh pelobi pelobi bisnes besar.

Sistem perniagaan Cina/Jepun pula tidak kurang hebatnya dari sistem Barat. Ia memiliki banyak etika yang berlandaskan ajaran Konfusius, seperti yin and yang iaitu keseimbangan dalam setiap tindakan masyarakat dan peniaga. Ini banyak persamaan dengan pendekatan perniagaan Islam yang berasaskan mizan(keadilan). Tetapi dalam strategi perniagaan dan tindakan harian masyarakat Cina tidak semestinya terikat kepada etika etika Konfusius. Mereka lebih bebas bergerak dalam perniagaan kerana bagi mereka soal moral, dosa pahala bukanlah sesuatu yang mesti diambil kira. Maka sering berlaku penipuan timbang dan kualiti dalam produk produk dihasilkan perniagaan Cina.

Malah dalam budaya niaga Cina/Jepun deception diterima masyarakat sebagai satu  strategi  atau  cabang seni dalam perundingan perniagaan. Dalam buku Thick Face black Heart deception ditakrifkan sebagai strategi untuk megelirukan rakan niaga atau pelanggan tanpa niat penipuan. Ini dibenarkan dalam budaya Cina/Jepun asalkan tujuannya untuk kepentingan bersama semua pihak yang berkaitan. Di negara Barat pendekatan ini tidak dibenarkan atas sebab budaya,  walaupun ia kerap dilakukan. Dalam Islam pendekatan  ini pastinya haram dalam keadaan biasa kerana  bercanggah dengan prinsip keadilan. Ia kerap menganiaya pihak lain dan dilaksanakan tanpa pengetahuan dan kerelaan mereka.

Budaya Niaga Cina/Jepun juga banyak dipengaruhi oleh falsafah Sun Tzu, The Art of War sebuah kelasik Cina yang ditulis lebih 2,000 tahun yang lalu. Pengaruh Sun Tzu telah lama menapak bukan sahaja dalam budaya niaga Cina/Jepun malah kini juga diamalkan dalam suasana perniagaan  moden Barat. Dalam pendekatan ini, pesaing perniagaan dianggap seperti musuh yang perlu dikalahkan, bukan dalam pertempuran tetapi dengan cara yang halus,  walaupun menggunakan berbagai  langkah  untuk mengelirukan pesaing.

Bagi kita umat Islam aktiviti perniagaan bukan sesuatu yang janggal. Siti Khadijah, isteri Rasulallah dan Saidina Abu Bakar adalah peniaga unggul dalam sejarah Islam. Malah , Rasulallah banyak bargantung kepada harta mereka di awal penyebaran Islam.

Al Quran dan  Hadis juga menggariskan panduan untuk umat Islam berniaga supaya  ianya tergulung sebagai satu ibadah.   Ini terdapat dalam  surah surah berkaitan, seperti dalam:

*Surah Al Baqarah ayat 275 yang menhalalkan perniagaan dan mengharamkan riba.

*Surah An Nisa ayat 29 menggalakkankan semoga umat Islam berniagakan harta sesama mereka secara muhibbah.

*Surah Al Rahman  ayat 8 dan 9 pula menggariskan prinsip utama perniagaan Islam Al Mizan atau prinsip keadilan. Dengan prinsip ini diharamkan menipu , riba, rasuah, pecah amanah, menyorok barang niaga dan segala aktiviti yang menjejas keadilan.

Surah Al Baqarah ayat 282 menggaris secara terperinci bahawa  perniagaan yang  dilunaskan dimasa hadapan  memerlukan kontrak perniagaan bertulis, sementara perniagaan tunai bolehlah dilaksanakan secara lisan sahaja.

Jangan bersumpah bohong, bahkan hendaklah dielakkan supaya tidak bersumpah sekalipun dalam perkara yang benar.  Bersumpah dengan nama Allah ketika berjual beli tidak akan mendatangkan berkat.

Nabi Bersabda Maksudnya: “Sesungguhnya para peniaga itu adalah orang-orang yang berdosa, mereka bertanya: “Wahai Rasulullah, bukankah Allah telah menghalalkan jual beli?” Jawab Baginda: “Ya” (Tentu), akan tetapi apabila mereka bersumpah, mereka membuat dosa, dan apabila berkata-kata mereka berbohong.”  – Hadis Riwayat Ahmad dan al-Hakim

Nabi bersabda: Maksudnya: “Peniaga yang benar lagi amanah bersama-sama para nabi, orang-orang yang benar (siddiqqin) serta para syuhada’.” Hadis riwayat Tirmidzi

Sejarah Keagungan Sistem Ekonomi Islam

Garis panduan dalam Al Quran serta hadith Nabi yang berkaitan telah mampu membawa revolusi dalam ekonomi  ummah sehingga mencapai puncak keagungan Islam dalam zaman Kerajaan Abbasiyyah dari abad  Ke 8 hingga  ke 14 Masehi. Di zaman itu  terdapat ramai para ilmuan Islam yang terkenal hingga kini, yang menyelidik dan menulis kitab kitab perniagaan dan ekonomi termasuklah Ibn Sina, Al Ghazali, Ibn Taimiyah, Ibn Khaldun, dsb.

Yang paling terkenal di antara mereka ialah Ibn Khaldun(1332 hingga 1406 Masehi), yang boleh dianggap sebagai bapa kepada ilmu ekonomi moden. Beliau hidup kira kira tiga ratus tahun sebelum ilmuan ekonomi British yang terkenal Adam Smith, yang dikenali  dengan teori ekonomi supply and demand. Sebenarnya Ibn Khaldun lah perintis kepada Teori Supply and Demand ini. Beliau telah mengembangkan pengetahuan tentang pengaruh demand(permintaan) dalam mengembangkan ekonomi masyarakat, dan juga anganalis secara  mendalam kesan permintaan kepada supply(bekalan). Beliau jugalah ilmuan yang mendapati harga setiap produk ditentukan oleh permintaan dan bekalan.

Satu revolusi ekonomi yang penting di Zaman keagungan Islam berlaku dalam zaman Empayar Abbasiyyah. Di zaman tersebut rakyat dibenarkan memiliki tanah, satu faktor pengeluaran yang penting dalam ekonomi berasaskan tani. Ini telah menggalakkan revolusi dalam pertanian dengan hasil keluaran yang meningkat dengan luarbiasa sehingga  akhirnya mampu menempat Empayar Abbasiyyah jauh ke hadapan berbanding negara negara Eropah dan negara negara lain.

Dalam waktu yang sama,  bentuk awal  sistem pasaran bebas  semakin bertapak di sana. Perniagaan berkembang berikutan  revolusi dalam sistem kewangan dan penggunaan matawang yang sama di seluruh empayar telah menghasilkan perkembangan pesat dalam perdangangan bukan sahaja dalam empayar Islam tetapi juga dalam sektor perdagangan luar dengan China dan Eropah.

Hilangnya Motivasi di Zaman Kegelapan Islam

Dalam ketiga tiga peradaban dunia tersebut di atas terdapat ciri ciri yang sama bertindak sebagai pemacu kemajuan ekonomi dan kemajuan perniagaan, iaitu wujudnya motivasi yang kukuh untuk golongan usahawan. Dalam peradaban Barat, motivasinya wujud dalam bentuk objektif mencari keuntungan secara bebas untuk individu. Dalam masyarakat Cina/Jepun   motivasi lebih berbentuk kepada mengembangkan perniagaan yang banyak dipengaruhi oleh pertimbangan pertimbangan masyarakat dan kerajaan dan dengan etika tertentu yang banyak dipengaruhi  falsafah Konfusius dan Sun Tzu. Etika mereka berbentuk falsafah dan tidak wajib dilaksanakan atau terikat dengan soal moral atau dosa/pahala.

Dalam tamadun Islam, sememangnya telah wujud  motivasi yang kukuh dizaman Empayar Abbasiyyah dengan dasar pemerentah membenarkan pemilikan tanah, yang memacukan Revolusi Pertanian dari kurun kelapan hingga kurun empat belas Masehi. Seperti dalam tamaddun Barat dan Tamaddun Cina/Jepun, dasar pemerintah di zaman Abbasiyyah  telah membolehkan pemilikan tanah yang merupakan faktor pengeluaran yang penting dalam masyarakat. Ini mengwujudkan golongan usahawan dalam sektor pertanian seperti juga revolusi dalam sistem kewangan di sana  telah mengwujudkan golongan usahawan ketika itu dalam sektor perdagangan.

Kesilapan besar Tamaddun Islam muncul dalam  Abad ke 18 dan 19 apabila tamaddun Barat( setelah dua ratus tahun mencedok ilmu dari dunia Islam) telah   mulai mengembangkan ilmu  hingga Britain mampu melahirkan Revolusi Perindustrian (Industrial Revolution) yang gagal diserap oleh negara negara Islam. Berikutan itu ketenteraan Barat telah di modenkan. Kesannya dunia Islam keciciran,  di jajahi,  dicincang cincang   dan dibahagi bahagikan  dikalangan   kuasa Eropah.

Dari segi sejarah Barat menganggap Islam sebagai ancaman, justeru itu hingga kini dasar mereka kekal dengan memperlekehkan dunia Islam  dengan   tindakan tindakan ketenteraan bagi menentukan dunia Islam terus berpecah belah. Ini yang kita saksikan di Iraq, Afghanistan dan Palestin kini.

Dunia Islam di pecah belahkan oleh Barat dan masyarakat hilang kesetabilannya. Sejak kurun ke 16, dunia Islam telah dilanda trend kejatuhan,  permintaan barangan keluaran industri menurun, kapasiti Industri tidak diperlukan lagi dan akhirnya tamaddun Islam jatuh hingga kehari ini.  Ummah  menjadi tidak bermaya, telah hilang suasana yang perlu  untuk menghidup dan menyuburkan  motivasi untuk maju. Jangkaan Ibn Khaldun dalam Al Muqaddimah menjadi kenyataan dalam dunia Islam itu sendiri.

Lebih memburukkan keadaan ini telah menimbulkan sentimen anti politik Barat dan  anti nilai nilai Barat dalam dunia Islam. Kemampuan dan Kecenderungan asal dunia Islam menerapi dan memajukan ilmu luaran telah hilang, walaupun ilmu itu pada mulanya dipinjam oleh Barat dari tamaddun Islam itu sendiri. Kesudahannya ini melemahkan lagi kedudukan Ummah di seluruh dunia.

Motivasi Berniaga

Di sebaliknnya,  suasana yang subur untuk memajukan masyarakat Islam kini terletak ditengah tengah dunia Melayu/Islam di Nusantara. Negara Malaysia dan Indonesia kini merupakan  Blok serumpun Islam yang terbesar  di dunia menghampiri 300 juta penduduk dengan jalinan   muhibbah yang kukuh.

Dengan suasana  subur yang wujud kini di Nusantara , kita perlu menjenguk kembali dan meningkatkan kemampuan Sistem Ekonomi Islam dalam mengwujudkan kemajuan, terutama dalam sektor ekonomi dan sosial. Ini telahpun bermula dengan wujudnya sistem pengeluaran makanan halal, sistem perbankan Islam,  institusi baitulmal dan Universiti Islam Antarabangsa. Malah pakaian Islam Malaysia sudah mulai diterima sesetengah masyarakat dunia sebagai trend setter fesyen Islam.

Jika dilihat dari segi motivasi kepada usahawan, sistem ekonomi Islam yang unggul sudah wujud sejak zaman keagungan Islam berkurun kurun yang lalu. Ia membenarkan pemilikan harta dan aktiviti perdagangan sektor swasta yang lazim menjadi pemacu sesuatu ekonomi dizaman moden ini. Malah sistem pengawalannya lebih sempurna dengan  etika al Mizan(keadilan) yang diwajibkan dalam perniagaan. Ia mengelakkan kerakusan hawa nafsu manusia untuk membuat keuntungan yang berleluasa  secara monopoli,  menipu pelanggan atau spekulasi berlebihan.

Seperti  juga Tabung Haji  dengan   konsep yang pada asalnya   dicadangkan oleh Professor Di Raja Ungku Aziz,  dengan motivasi yang begitu tepat,  telah berjaya meningkatkan simpanan Masyarakat Melayu, satu motivasi yang tepat dan difahami oleh seluruh masyarakat Melayu seharusnya mampu membangunkan masyarakat usahawan yang mantap.

Bagi seseorang peniaga Melayu,  sistem ekonomi Islam yang membenarkan pemilikan dan pengembangan harta individu, sudah tentu memberi cukup motivasi kepada mereka untuk berniaga bagi  mencapai kadar keuntungan yang berpatutan dengan adil dalam keadaan biasa.

Ia meletakkan prioriti kepada   perniagaan sesama Islam sebagai asas  mengembangkan rankaian perniagaan yang  efficien dikalangan ummah dan untuk kesejahteraan ummah amnya.

Keuntungan yang diperolehi pula membolehkan peniaga beribadah dengan  membayar zakat dan mengeluarkan sadakah sebagai amal jariah untuk bekalan di akhirat nanti, disamping menjamin kemakmuran ummah. Dalam hal ini pembayaran zakat harta dan zakat perniagaan bukanlah sesuatu yang terlalu berat hendak ditunaikan, kerana Islam sebagai Agama yang adil, hanya mengenakan kadar  yang rendah berbanding cukai pendapatan. Tambahan pula jumlah  zakat yang telah dibayar, dikecualikan daripada bayaran cukai pendapatan setiap individu.

Sesungguhnya Sistem Ekonomi Islam adalah selari dengan fitrah manusia muslim dan keinginannya untuk hidup dengan lebih baik  didunia dan akhirat seperti kita mohon setiap kali selepas sembahyang.  Sistem ini sesungguhnya   lebih mulia  dan mudah diterima minda Melayu.

Perlu juga diingatkan,  perniagaan Melayu di Malaysia kini bukanlah dalam keadaan biasa, malah lebih menyamai keadaan darurat ekonomi ummah.  Gerakan Jihad Ekonomi yang kini mulai dilaungkan sesetengah pihak ada betulnya dan perlu diberi perhatian. Tetapi ini tidak seharusnya dengan cara merampas harta  atau menindas bukan Islam,  tetapi dengan cara meningkat dan memperkemaskan kemampuan ummah. Ini hanya dapat kita lakukan dengan  mengambilkira tindak tanduk pesaing  dari tamadun Cina dan Barat yang telah lama bertapak dalam pasaran, apalagi dengan budaya niaga mereka yang cangih yang menghalalkan kerakusan nafsu manusia.

Harus diakui kemajuan perniagaan Melayu memerlukan kesedaran dan kerjasama para ulama dan ilmuan Islam. Galakan di perlukan daripada golongan ini bagi menyedarkan  ummah akan pentingnya perniagaan untuk kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan ummah dan hakikatnya yang sistem perniagaan Islam yang unggul sebenarnya telah lama wujud untuk tujuan ini. Cuma dalam konteks Jihad Ekonomi, para ulama mungkin perlu menemui kata sepakat tentang etika perniagaan yang diboleh atau diharuskan dalam keadaan darurat yang kita tempuhi kini.

Sekian, wallahu ‘alam, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

DAH Ikhwan

Posted in Alam Perniagaan Melayu/Bumiputera, Artikel Business | Tagged , , | 2 Comments

Kajian Separuh Penggal Pencapaian Politik Barisan Nasional

Tinjauan Semula Pilihanraya  UMUM ke 12 pada tahun 2008

Dalam artikel asal versi Bahasa Inggeris   di terbit pada bulan Mei tahun 2008, bertajuk Malaysia’s General Election 2008: AComprehensive Analysis, saya   membuat analisis  mendalam tentang corak pengundian setiap kaum. Analisis  secara multiple regression menunjukkan sokongan pengundi Melayu untuk BN menurun agak ketara berbanding PRU 2004,  undi dari kaum Cina juga menurun dengan mendadak, manakala undi daripada kaum India hampir lenyap sama sekali berpindah kepada Pakatan Rakyat.

Sejak tarikh tersebut saya telah menemui sedikit kesilapan dalam analisis dan ini telah diperbetulkan. Hasil kajian kini menunjukkan dalam Pilihanraya Umum tahun   2008, seramai 54.4% pengundi Melayu telah memilih BN, 39.5% undi Cina dan 10.4% undi kaum India. Hasil kajian ini penting  dalam menilai populariti BN mengikut sokongan setiap kaum, kerana  tanpa angka  yang tepat agak sukar  mengenalpasti kelemahan BN yang sebenar.

Sokongan hanya pada kadar 54.4% daripada pengundi Melayu untuk BN sesungguhnya  amat membimbangkan, ini merupakan penurunan sebanyak 12% daripada PRU 2004.  Maka timbullah persoalan adakah UMNO masih relevan untuk Masyarakat Melayu. Adakah UMNO perlu berubah untuk menarik semula sokongan Melayu. Bagaimanapun kajian selanjutnya menunjukkan sokongan Melayu pada kadar 57.1%  untuk parti UMNO lebih baik berbanding BN, mencerminkan sokongan masyarakat Melayu masih lagi mantap untuk UMNO. Ini hanya penurunan sebanyak 2.15% daripada yang dicapai dalam PRU 2004. Apa yang berlaku pada pilihanraya 2008,  ialah undi Melayu masih mantap untuk  calon UMNO,  tetapi merosot untuk parti komponan BN yang lain seperti MIC, MCA dan Gerakan.

Hakikatnya sokongan Melayu untuk UMNO tidak mudah terhakis.  Dalam keadaan biasa, undi atas pagar tidaklah begitu  signifikan.  Perpecahan dalam masyarakat Melayu agak ketara hanya  dalam situasi berikutan perpecahan dalam UMNO sendiri. Ini terbukti dalam Pilihanraya UMUM tahun 1999 apabila  BN hanya mampu menarik 50% undi Melayu, ekoran simpati meluas kepada Anwar Ibrahim. Begitu juga undi merosot berikutan persengketaan dalam UMNO dan penubuhan Semangat 46, yang  dipimpin oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

Sokongan pengundi kaum cina untuk BN sesungguhnya merosot dengan ketara apabila ia hanya berjaya meraih 39.5 % undi cina, satu  penurunan  18%, berbanding pencapaian sebanyak 57.25 dalam tahun 2004. Manakala undi kaum India pula hampir lenyap, hanya  pada paras 10.4% berbanding 77.5% pada PRU 2004.

Saranan Asal

Berikutan hasil kajian tersebut, saya telah membuat beberapa saranan dalam beberapa artikel terdahulu. Pertama, UMNO  perlu  kekal diatas landasan perjuangan yang asal, iaitu sebagai tonggak perjuangan Hak hak Melayu dan Agama Islam. Kedua, UMNO perlu teruskan kerjasama dengan parti komponan kerana BN memerlukan sokongan daripada kaum lain untuk memenangi kerusi yang penting di kawasan Melayu yang  marginal, disamping mengukuhkan parti parti komponan yang lain di kawasan mereka bertanding. UMNO perlu menjauhi tanggapan bagai sebuah parti ekstemis Melayu, disamping mengelak menyakiti hati kaum lain.

Usaha perlu di fokuskan untuk mengendurkan ketegangan diantara Melayu dan kaum India serta membantu mereka dalam pelbagai bidang yang perlu.

Undi kaum Cina pula amat sukar diramal, sebab kehendak politik Masyarakat ini sukar dibaca. Adakah mereka betul betul bermaksud seperti yang mereka suarakan, seperti keterbukaan, anti rasuah,  anti ISA, anti cronyism, dsb? Atau sebenarnya mereka hanya mahu merealisasikan DAP sebagai parti tonggak kerajaan sekiranya Pakatan Rakyat berkuasa.

Pencapaian Najib Setakat Ini

Kajian Separuh Penggal ini meliputi tempoh dua tahun setengah selepas Pilihanraya Umum tahun 2008 hingga ke saat ini. Sungguhpun ini termasuk tempoh di bawah Pak Lah, kemajuan yang ketara dari segi transformasi,  kestabilan dan sokongan politik hanya berlaku di bawah tempoh Dato’ Seri Najib.

Kita bersyukur kerana langkah langkah yang di ambil oleh Dato’ Seri Najib sejak mengambil alih tampuk kuasa tidak jauh berbeza dengan saranan yang telah dikemukakan dalam Blog ini. Sama ada Dato’ Seri Najib ambil perhatian tulisan kita, ini tidak penting kerana beliau pasti ada kumpulan think tank yang bijak dan berkemampuan. Kita bagaimanapun menarik nafas lega dengan langkah langkah yang beliau ambil untuk mengendurkan ketegangan kaum dan agama dan usaha mendekati kaum India dan Cina secara peribadi. Konsep 1 Malaysia juga menambah populariti dan keyakinan antara kaum kepada pemerintahan beliau. Langkah  liberalisasi beberapa sektor ekonomi juga diterima rakyat sebagai usaha untuk memantapkan pertumbuhan ekonomi negara.

Langkah langkah ini telah mampu melonjakkan populariti beliau seperti kita saksi  dalam beberapa  tinjauan pendapat umum terkini yang dibuat oleh beberapa agensi seperti Merdeka Center dsb. Tinjauan pendapat umum terkini dari Merdeka Center menunjukkan sokongan terhadap Najib telah meningkat kepada 72%  dikalangan rakyat Malaysia pada bulan Jun 2010, jumlah tertinggi  80% dicatat  dikalangan kaum India, 77% dikalangan masyarakat Melayu dan 58% dikalangan  kaum Cina. Sebagai perbandingan beliau hanya mencatat sokongan 44% tatkala mulai memegangan tampuk kerajaan.

Keputusan dalam semua pilihanraya kecil  baru baru ini secara konsistan menunjukkan kenaikan populariti BN dikalangan masyarakat Melayu, Bumiputera Sarawak/Sabah dan juga masyarakat India. Hanya undi Masyarakat Cina sahaja yang merosot berbanding dalam PRU 2008, inipun mungkin juga akan bertambah sebagai respond kepada konsep  1 malaysia  dan kebimbangan masyarakat Cina yang mereka mungkin kerugian dalam Pilihanraya Umum akan datang jika tidak berubah sikap.

Langkah menawan balik kerajaan negeri Perak juga dijangka membawa hasil yang positif, sungguhpun pada awalnya menimbulkan kemarahan masyarakat. Tetapi keadaan sudah mulai reda seperti dijangka  dan sokongan di Perak pasti meningkat menjelang Pilihanraya Umum akan datang. Cuma yang kurang pasti ialah sokongan dari masyarakat Cina di negeri  Perak yang menganggap kerajaan yang dukuasai  kaum mereka  telah diguling oleh BN.

Bagaimanapun, diharap Dato’ Seri Najib lebih berhati hati menjaga hati Masyarakat Melayu. Desakan pihak ultra Melayu seperti Perkasa dibawah Ibrahim Ali perlu diambil perhatian. Ini kerana undi Melayu merupakan undi setia  UMNO, ia tidak banyak berubah dalam dua pilihanraya umum yang lepas, kerana UMNO dipandang sebagai tonggak perjuangan Melayu dan Agama. Persepsi ini perlu dikekalkan bagi mengekalkan kesetiaan masyarakat Melayu.

Update bertarikh 1 Oktober 2010

Pengumuman Datuk Seri Sammy Velu mengundur diri pada Januari tahun depan sungguh dialualukan. Ini satu petanda baik bagi meningkatkan sokongan Kaum India kepada BN, yang sudahpun bermula sejak beberapa bulan yang lalu. Tetapi sokongan pengundi  yang berterusan akan bergantung dengan  kemampuan  penganti beliau nanti   mendapat sokongan yang padu daripada  Parti MIC itu sendiri.

Sekian, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

DAH IKHWAN

Posted in Artikel Politik, Uncategorized | Tagged , , | 5 Comments