Usul Tolak PM: Opsyen dan Risiko Kepada UMNO dan BERSATU

“Usul Undi Tidak Percaya kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyddin Yassin perlu diberi prioriti di Parlimen” kata Tengku Razaleigh Hamzah, seorang daripada Warlord UMNO yang super senior.

Anwar Ibrahim pula dakwa sudah ada 120 orang ahli Parlimen menyokong beliau sebagai Perdana Malaysia ke-9.

Ramai pembaca, termasuk saya, agak keliru dengan dakwaan Anwar dari awal-awal lagi kerana kandungan para 1 dan para 2 di atas ada bezanya. Usul tidak percaya, adalah satu proses dalam Parlimen bertujuan menyingkirkan seorang Perdana Menteri yang ada. Ia diusulkan oleh Tun Mahathir untuk menyingkirkan Tan Sri Muhyddin Yassin, bukan untuk memilih Anwar sebagai penggantinya.

Jadi, sungguhpun Anwar mendakwa sudah ada 120 orang Ahli Parlimen yang menyokong beliau, seperti dijangka oleh para analis politik, sebenarnya tidak semua dikalangan 120 orang dalam ‘senarai’ ini menyokong beliau sebagai pengganti. Ini amat nyata melalui gambaran diperolehi berikutan pergolakan perebutan pengaruh yang kini berlaku dalam UMNO. Pertama, sekumpulan daripada Warlord yang ada kes Mahkamah, kini kerap dipanggil Kluster Mahkamah, menyokong Anwar atas sebab yang mereka sahaja ketahui; kedua, mereka yang cenderung berkompromi dalam kerajaan Perikatan Nasional yang sedia ada untuk kesinambungan dominasi politik Melayu di Tanah Air; ketiga mereka yang bernostalgia dengan kuasa UMNO dizaman yang baru berlalu dan bersedia berkorban untuk kepentingan UMNO, tetapi tak mengira sangat risikonya kepada parti.

Atas sebab perpecahan di atas, UMNO kini nampak terumbang ambing tanpa strategi yang mantap untuk kesinambungan parti. Setiap kelompok warlord masing-masing ada strateginya yang kerap bercanggah dan diketahui umum pula, satu keadaan yang pasti akan melemahkan parti seterusnya.

Misalnya, ketika kelompok warlord yang nostalgia dengan zaman kegemilangan parti mahukan UMNO berkuasa semula, timbul spekulasi ada kelompok yang sanggup menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

Pendekatan menyokong Anwar amat berbeza dengan kerjasama UMNO dalam Perikatan Nasional ataupun Muafakat Nasional yang didominasi oleh kaum Melayu. Tidak seperti bekerjasama dengan Anwar, arah tujuan pendekatan bersama Perikatan Nasional tidak bercanggah dengan perjuangan ideal UMNO, sungguhpun ia menimbulkan pula pergeseran kuasa disegenap peringkat dengan Parti PPBM yang kita saksikan sekarang. Sungguhpun setakat ini sebarang pergeseran antara UMNO dan parti PAS belum timbul lagi, disatu ketika nanti Parti PAS pula mungkin terpaksa membuat keputusan memilih bersama UMNO atau BERSATU(PPBM). PAS akan berhadapan dengan isu ini dalam PRU 15 nanti kerana ia punyai pengaruh dalam beberapa kawasan pilihan raya yang kritikal untuk menambah kerusi UMNO.

Suasana haru-biru dalam UMNO sekarang tidak berlaku didalam parti yang lain. Ia pernah berlaku dalam PKR, PAS dan baru-baru ini PPBM, tetapi dengan tindakan yang tegas dari pihak kepimpinan, kerisis dalaman telah berlalu. Keretakan dalaman UMNO sekarang adalah akibat pemilihan pucuk kepimpinan parti yang lepas yang memilih Zahid sebagai Presiden parti, seorang pemimpin dilihat dibawah pengaruh dan tepalit dengan masalah rasuah Najib. Dalam artikel bertarikh 17 Jun 2018 sejurus selepas PRU 2018, saya yakin UMNO boleh bangun semula, tetapi dengan syarat munculnya seorang pemimpin berwibawa, bebas daripada isu rasuah dan memperjuangkan idealisma parti.

Kini UMNO menjadi sebuah parti self centric akibat perpecahan dalaman, banyak mengira hal kepentingan individu atau parti sendiri sahaja tanpa mengira akibat sebarang tindakan keatas keutuhan Barisan Nasional yang melibatkan MCA dan MIC. Para Warlord yang bertelagah hanya melihat dengan kaca mata yang short-sighted kearah keuntungan segera melalui PKR, DAP ataupun kerajaan Perikatan Nasional yang ada sekarang dan, akibat kelalaian sendiri sudahpun kehilangan rakan-rakan Bumiputera di negeri Borneo. Cadangan yang paling anih melibatkan kerjasama dengan PKR dan DAP, satu pendekatan yang tidak akan diterima oleh akar umbi UMNO dan masyarakat Melayu amnya.

Ia sudah terpisah daripada perjuangan idealisma parti, jadi dengan keadaan demikian saya rasa amat sukar bagi UMNO kembali semula sebagai parti yang boleh menerajui kerajaan dimasa hadapan.

Betul UMNO mempunyai kubu-kuat di kawasan perdalaman Melayu atau FELDA, tetapi di sinipun sudah terhakis sebanyak 17% undi Melayunya dalam PRU 14. Sekira tersalah langkah lagi dan berkerjasama dengan Anwar atau DAP, sokongan mungkin terus menurun dalam PRU 15 mungkin membawa padah yang berkekalan.

Kerjasama dengan parti PAS pun saya nampak didorong oleh keuntungan segera atas sebab PAS boleh membantu dalam beberapa kawasan pilihan raya. PAS mungkin juga bimbang dengan keadaan ini, sebab ia banyak menguntungkan UMNO daripada PAS sendiri. Sungguhpun saya tidak kenal sebarang pemimpin PAS, saya rasa mereka juga bimbang dengan dominasi UMNO yang melulu seperti dahulu. Jadi, tidaklah menghairankan yang PAS juga memerlukan parti BERSATU sebagai rakan politik. Tidak ada guna UMNO memberi kata dua kepada PAS, kerana UMNO sendiri yang lebih memerlukannya.

Sementara UMNO dilihat semakin defensive dengan menetapkan syarat-syarat baru untuk berkerjasama dalam Perikatan Nasional, BERSATU di lihat terlalu agressive, bukan sahaja sewaktu dibawah Tun Mahathir, tetapi begitu juga sewaktu dibawah Tan Sri Muhyddin Yassin sekarang. Peristiwa sewaktu Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini dilihat sebagai ujian terakhir yang menyemarakkan kemarahan UMNO. Di sana UMNO telah kehilangan banyak kawasan dan gagal menempatkan calonnya Bung Mokhtar sebagai Ketua Menteri. Pihak mana yang patut dipersalahkan, ini satu soal subjektif sudah dirungkai dalam artikel PRN Sabah dalam analisis kita bertarikh 6 Oktober lalu.

Bagaimanapun, akibatnya pengaruh BERSATU dan Tan Sri Muhyddin melonjak sehingga membayangi UMNO, walaupun sudah lama bertapak disana. Sebagai seorang Perdana Menteri yang popular, Tan Sri Muhyddin Yassin telah berjaya membina rangkaian politik yang boleh dipercayai dikedua negeri Borneo dalam masa yang singkat. Strategi ini telah lama diusahakan oleh parti DAP, tetapi belum lagi mencapai kejayaan. Parti PKR pula juga telah mencubanya, tetapi tidak mungkin berjaya atas sebab-sebab kelemahan kepimpinan Anwar sendiri.

Keadaan politik tanah air telah berubah hampir satu dekad sudah – kini ia memerlukan sokongan rakan politik di negeri Borneo untuk memegang tampuk kuasa di peringkat persekutuan. Dalam susana sedemikian, Perikatan Nasional mempunyai kelebihan.

Tetapi suasana di Semenanjung Malaysia ada bezanyanya dengan suasana di Sabah. Jika di Sabah, UMNO dianggap sebuah parti luar yang kerap bertindak mengancam Hak negeri Sabah dan tiada memiliki akar umbi yang cukup teguh, di Semenanjung UMNO ialah parti bangsa Melayu, mempunyai akar umbi yang teguh dan telah wujud begitu lama dalam masyarakat Melayu. Oleh itu sebarang pendekatan parti baru seperti BERSATU yang agressive pasti menghadapi tindak-balas yang serupa. Pertaruhannya amat tinggi dan UMNO dijangka tidak mudah hendak mengalah atau dikalahkan.

Dalam suasana terkini, titik perbalahan diantara UMNO dan BERSATU meliputi hanya dua perkara utama, iaitu kedudukan dominan UMNO dalam Parlimen dan dewan-dewan negeri tradisi UMNO perlu dipertahankan, dan kedua isu Perdana Menteri dari parti mana? Dominasi UMNO dalam Parlimen tidak wajar diganggu-gugat oleh BERSATU tanpa tindak-balas yang keras. Isu-isu lain seperti siapa mentri-menteri hanyalah isu sampingan yang akan selesai dengan sendirinya jika UMNO berjaya merebut semula kedudukannya dalam politik negara.

Isu kedudukan dalam Parlimen perlu melibatkan perundingan yang teliti dan bijaksana diantara UMNO dan BERSATU sahaja. Kerusi-kerusi parti lain dalam kerajaan Perikatan Nasional tidak bertindih, melainkan UMNO inginkan semula kerusi-kerusi parti PAS di Kelantan dan Terengganu.

Analisis kedudukan di Parlimen sekarang menunjukkanUMNO memiliki 39 ahli Parlimen, BERSATU dengan 31(termasuk 19 orang yang melompat daripada UMNO dan PKR). Yang menjadi isu ialah sebilangan besar kerusi ini merupakan kerusi UMNO sebelum PRU 14, dan jika tidak di sepakati dengan bijak, boleh menggugat kedudukan UMNO dengan kekal selepas PRU 15. Sebaliknya, jika UMNO hendak bertanding disemua kawasan yang telah hilang ini, ia pula akan menjejaskan kekuatan BERSATU. Mampukah UMNO merampas balik kawasan-kawasan ini dari tangan penyandang yang kini sudah menjadi ahli BERSATU? Di beberapa tempat, undi PAS pula akan menjadi undi penentu sekiranya ada pertembungan diantara dua rakannya. Justeru, pentingnya PAS dalan equation Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.

Disamping fakta di atas, ada beberapa kerusi PKR, parti PAN dan PEJUANG yang boleh diteliti untuk dimenangi – ada lebih 17 kerusi yang boleh dirampas balik. Kerusi-kerusi ini terlepas dari tangan Barisan Nasional kerana isu rasuah dan isu 1MDB yang melanda Barisan Nasional dahulu. Jika isu rasuah dan 1MDB, yang kini sedang dibicara di mahkamah, dapat terus ditangani dengan baik oleh Tan Sri Muhyddin Yassin tanpa tekanan dari mana-mana pihak, pasti UMNO dan juga BERSATU akan menerima manfaatnya dalam PRU 15, malah dengan populariti Perdana Menteri sendiri, saya pasti ramai juga pengundi dari kaum Cina dan India akan tertarik kepada Perikatan Nasional dan sekutunya. [Senario ini dibuat dengan andaian kerajaan Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional masih wujud menjelang PRU 15]. Wallahu a’lam. TAMAT.

.

.

DAH IKHWAN

Sila baca juga ‘Analisis PRN Sabah dan cabaran kepada UMNO dan Bersatu’.

About DAH IKHWAN

Born in Kuching in 1948. Obtained Bachelor of Economics (Hons), U Malaya, and MBA, U Leuven, Belgium. Worked in senior management positions in Government Service until retirement in 2003. Business entrepreneur in the last 20 years and active in social organisations, besides being on the Board of government agencies, GLCs and member of top level advisory councils of the Government. Social and political research, analysis and writing are my hobbies.
This entry was posted in Artikel Politik, Uncategorized and tagged , , , . Bookmark the permalink.