Analisis PRN Sabah 2020: Cabaran kepada UMNO DAN BERSATU

Sejak Pilihan Raya Negeri Sabah tahun 2020 lebih seminggu lalu, banyak analisis telah terbit di media dan ini telah mendedahkan beberapa isu politik Sabah dan persaingan hebat bukan sahaja diantara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan WARISAN Plus tetapi juga diantara parti didalam GRS itu sendiri, terutama diantara parti UMNO dan BERSATU. Ini tidak terhad di Sabah sahaja, tetapi menular dan akan memberi kesan kepada suasana politik di Semenanjung Malaysia.

Untuk mengimbas kembali keputusan, GRS telah memenangi 38 kerusi dan WARISAN Plus hanya 32 kerusi. Tidak ramai para analis telah menjangka yang GRS mampu menang, rata-rata mereka menjangkakan WARISAN Plus akan menang atas gelombang ‘Sabah for Sabahan’ yang melanda semasa pilihan raya. Saya sendiri tidak membuat ramalan kerana tidak yakin menghasilkan yang tepat, atas sebab sejarah selera pengundi Sabah yang mudah berubah ikut keadaan semasa. Kini, rakyat Sabah telah mengundi dan membuat penentuan. Parti GRS telah menang dengan majoriti yang cukup baik untuk membentuk kerajaan negeri yang cukup setabil.

Anehnya kemenangan ini, jauh dari menentukan kesetabilan politik, ia sebaliknya membangkit luka lama, bukan setakat di Sabah, tetapi lebih lebih lagi di Semenanjung Malaysia. Ini bermula ketika parti BN/UMNO menemui kekalahan pada PRU 14 yang lalu. Sejurus selepas BN kalah, parti BERSATU telah berjaya menarik sebilangan wakil rakyat UMNO melompat kepihaknya di Semenanjung dan Sabah. Ini menjadi salah satu punca perselisihan.

Seramai 13 orang Wakil Rakyat UMNO telah melompat ke pihak BERSATU sejurus selepas PRU 14, lapan orang dari mereka ialah ahli Dewan Undangan Negeri Sabah. Ini menjadi titik pergeseran diantara mereka. Soalnya parti mana yang berhak kepada kerusi-kerusi ini? Keadaan tidak sebegitu jelas seperti di banyak kawasan kubu-kuat UMNO di Semenanjung. Hakikatnya UMNO juga sebuah parti baru dan parti pendatang di Sabah dan tidak punyai banyak kawasan yang kukuh. Malah pada puratanya BN tidakpun memenangi undi majoriti di beberapa pilihan raya kebelakangan ini. Tambahan pula, pengundi mudah bertukar selera dan tukar haluan seperti dizaman kenaikan parti PBS dalam tahun 80han dan parti WARISAN pada PRU 14 yang lalu.

Dalam hal ini ramai pemimpin UMNO menyalahkan Presiden parti Ahmad Zahid kerana menyerahkan banyak kerusi kepada parti BERSATU. Ini mungkin separuh betul, tetapi hakikatnya, jika pelompat parti ini tidak bertanding dibawah BERSATU, parti UMNO tidak pastipun menang dikawasan-kawasan ini kerana ia perlu melawan penyandang kerusi berkenaan. Amat jelas, UMNO sememangnya melalui zaman malap di Sabah apabila hanya 14 orang sahaja calon yang menang, daripada sebilangan 32 kerusi ditandingi.

Disamping itu, saya nampak beberapa kelemahan Dato Seri Zahid kerana akur dengan BERSATU bertanding dalam tujuh buah kawasan baru, suatu bilangan yang agak melebihi yang sepatutnya. Kawasan-kawasan yang terlibat adalah kawasan baru majoriti Islam yang kebanyakannya diwakili UMNO dalam kawasan sebelumnya.

Dalam hal perlantikan ketua menteri baru, ia adalah suatu perkara sukar diterima oleh kepimpinan parti UMNO atas sebab telah memenangi 14 kerusi DUN berbanding 11 kerusi dimiliki parti BERSATU. Jumlah kerusi yang dimenangi sebenarnya menyebelahi PERIKATAN NASIONAL (Gabungan Parti BERSATU dan STAR) yang memiliki 17 kerusi berbanding hanya 14 kerusi BN.

Dikira dari segi undi diperolehi, betul jumlah undi UMNO melebihi undi BERSATU, (kerana ia bertanding di lebih banyak kerusi).tetapi analisis selanjutnya mendapati BERSATU telah meraih 62.5% undi dikawasan berpindah dari UMNO, berbanding hanya 55% yang UMNO perolehi pada PRU 14 tahun 2018 dikawasan yang sama. Ini jelas menunjukkan kewibawaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyddin Yasin berbanding Presiden UMNO di mata rakyat.

Sementara itu sokongan undi masyarakat Cina di Sabah lebih berpihak kepada parti DAP, apabila ia telah meraih 79.3% keseluruhan undi di kawasan kerusi majoriti Cina berbanding dengan 71.9% pada PRU 14 di kerusi yang sama.

Suasana politik di Sabah selepas Pilihan Raya Negeri ini ada hikmahnya. Ia mencerminkan kehendak rakyat di Sabah yang ingin berintegrasi dengan politik negara diwakili oleh parti GRS, tetapi tidak kurang signifikan juga yang inginkan autonomi untuk Sabah dalam Malaysia, seperti diwakili oleh parti WARISAN, parti yang memperjuangkan hak Sabah dibawah MA 63 dan Hak kepada Minyak dan Gas di perairan negeri. Semangat inilah juga wujud di Sarawak yang kini di wakili oleh parti GPS.

Dengan perkembangan ini, politik negara perlu ambil iktibar dan akui betapa penting suara rakyat di wilayah Borneo. Suara ini sama juga pentingnya seperti suara setiap kaum dalam negara majmuk seperti Malaysia. Maka, politik di Semenanjung perlu akui hakikat ini demi keutuhan negara. Bukan sahaja UMNO, malah juga parti lain seperti BERSATU,dan PAS perlu ambil perhatian. Perlu diingatkan yang parti lain, terutama DAP sudah lama nampaknya menyedari hakikat ini dan mulai berusaha menambat hati kaum Bumiputera bukan Islam di wilayah Borneo.

.

.

DAH IKHWAN