Tinjauan Semula Pilihanraya UMUM ke 12 pada tahun 2008
Dalam artikel asal versi Bahasa Inggeris di terbit pada bulan Mei tahun 2008, bertajuk Malaysia’s General Election 2008: AComprehensive Analysis, saya membuat analisis mendalam tentang corak pengundian setiap kaum. Analisis secara multiple regression menunjukkan sokongan pengundi Melayu untuk BN menurun agak ketara berbanding PRU 2004, undi dari kaum Cina juga menurun dengan mendadak, manakala undi daripada kaum India hampir lenyap sama sekali berpindah kepada Pakatan Rakyat.
Sejak tarikh tersebut saya telah menemui sedikit kesilapan dalam analisis dan ini telah diperbetulkan. Hasil kajian kini menunjukkan dalam Pilihanraya Umum tahun 2008, seramai 54.4% pengundi Melayu telah memilih BN, 39.5% undi Cina dan 10.4% undi kaum India. Hasil kajian ini penting dalam menilai populariti BN mengikut sokongan setiap kaum, kerana tanpa angka yang tepat agak sukar mengenalpasti kelemahan BN yang sebenar.
Sokongan hanya pada kadar 54.4% daripada pengundi Melayu untuk BN sesungguhnya amat membimbangkan, ini merupakan penurunan sebanyak 12% daripada PRU 2004. Maka timbullah persoalan adakah UMNO masih relevan untuk Masyarakat Melayu. Adakah UMNO perlu berubah untuk menarik semula sokongan Melayu. Bagaimanapun kajian selanjutnya menunjukkan sokongan Melayu pada kadar 57.1% untuk parti UMNO lebih baik berbanding BN, mencerminkan sokongan masyarakat Melayu masih lagi mantap untuk UMNO. Ini hanya penurunan sebanyak 2.15% daripada yang dicapai dalam PRU 2004. Apa yang berlaku pada pilihanraya 2008, ialah undi Melayu masih mantap untuk calon UMNO, tetapi merosot untuk parti komponan BN yang lain seperti MIC, MCA dan Gerakan.
Hakikatnya sokongan Melayu untuk UMNO tidak mudah terhakis. Dalam keadaan biasa, undi atas pagar tidaklah begitu signifikan. Perpecahan dalam masyarakat Melayu agak ketara hanya dalam situasi berikutan perpecahan dalam UMNO sendiri. Ini terbukti dalam Pilihanraya UMUM tahun 1999 apabila BN hanya mampu menarik 50% undi Melayu, ekoran simpati meluas kepada Anwar Ibrahim. Begitu juga undi merosot berikutan persengketaan dalam UMNO dan penubuhan Semangat 46, yang dipimpin oleh Tengku Razaleigh Hamzah.
Sokongan pengundi kaum cina untuk BN sesungguhnya merosot dengan ketara apabila ia hanya berjaya meraih 39.5 % undi cina, satu penurunan 18%, berbanding pencapaian sebanyak 57.25 dalam tahun 2004. Manakala undi kaum India pula hampir lenyap, hanya pada paras 10.4% berbanding 77.5% pada PRU 2004.
Saranan Asal
Berikutan hasil kajian tersebut, saya telah membuat beberapa saranan dalam beberapa artikel terdahulu. Pertama, UMNO perlu kekal diatas landasan perjuangan yang asal, iaitu sebagai tonggak perjuangan Hak hak Melayu dan Agama Islam. Kedua, UMNO perlu teruskan kerjasama dengan parti komponan kerana BN memerlukan sokongan daripada kaum lain untuk memenangi kerusi yang penting di kawasan Melayu yang marginal, disamping mengukuhkan parti parti komponan yang lain di kawasan mereka bertanding. UMNO perlu menjauhi tanggapan bagai sebuah parti ekstemis Melayu, disamping mengelak menyakiti hati kaum lain.
Usaha perlu di fokuskan untuk mengendurkan ketegangan diantara Melayu dan kaum India serta membantu mereka dalam pelbagai bidang yang perlu.
Undi kaum Cina pula amat sukar diramal, sebab kehendak politik Masyarakat ini sukar dibaca. Adakah mereka betul betul bermaksud seperti yang mereka suarakan, seperti keterbukaan, anti rasuah, anti ISA, anti cronyism, dsb? Atau sebenarnya mereka hanya mahu merealisasikan DAP sebagai parti tonggak kerajaan sekiranya Pakatan Rakyat berkuasa.
Pencapaian Najib Setakat Ini
Kajian Separuh Penggal ini meliputi tempoh dua tahun setengah selepas Pilihanraya Umum tahun 2008 hingga ke saat ini. Sungguhpun ini termasuk tempoh di bawah Pak Lah, kemajuan yang ketara dari segi transformasi, kestabilan dan sokongan politik hanya berlaku di bawah tempoh Dato’ Seri Najib.
Kita bersyukur kerana langkah langkah yang di ambil oleh Dato’ Seri Najib sejak mengambil alih tampuk kuasa tidak jauh berbeza dengan saranan yang telah dikemukakan dalam Blog ini. Sama ada Dato’ Seri Najib ambil perhatian tulisan kita, ini tidak penting kerana beliau pasti ada kumpulan think tank yang bijak dan berkemampuan. Kita bagaimanapun menarik nafas lega dengan langkah langkah yang beliau ambil untuk mengendurkan ketegangan kaum dan agama dan usaha mendekati kaum India dan Cina secara peribadi. Konsep 1 Malaysia juga menambah populariti dan keyakinan antara kaum kepada pemerintahan beliau. Langkah liberalisasi beberapa sektor ekonomi juga diterima rakyat sebagai usaha untuk memantapkan pertumbuhan ekonomi negara.
Langkah langkah ini telah mampu melonjakkan populariti beliau seperti kita saksi dalam beberapa tinjauan pendapat umum terkini yang dibuat oleh beberapa agensi seperti Merdeka Center dsb. Tinjauan pendapat umum terkini dari Merdeka Center menunjukkan sokongan terhadap Najib telah meningkat kepada 72% dikalangan rakyat Malaysia pada bulan Jun 2010, jumlah tertinggi 80% dicatat dikalangan kaum India, 77% dikalangan masyarakat Melayu dan 58% dikalangan kaum Cina. Sebagai perbandingan beliau hanya mencatat sokongan 44% tatkala mulai memegangan tampuk kerajaan.
Keputusan dalam semua pilihanraya kecil baru baru ini secara konsistan menunjukkan kenaikan populariti BN dikalangan masyarakat Melayu, Bumiputera Sarawak/Sabah dan juga masyarakat India. Hanya undi Masyarakat Cina sahaja yang merosot berbanding dalam PRU 2008, inipun mungkin juga akan bertambah sebagai respond kepada konsep 1 malaysia dan kebimbangan masyarakat Cina yang mereka mungkin kerugian dalam Pilihanraya Umum akan datang jika tidak berubah sikap.
Langkah menawan balik kerajaan negeri Perak juga dijangka membawa hasil yang positif, sungguhpun pada awalnya menimbulkan kemarahan masyarakat. Tetapi keadaan sudah mulai reda seperti dijangka dan sokongan di Perak pasti meningkat menjelang Pilihanraya Umum akan datang. Cuma yang kurang pasti ialah sokongan dari masyarakat Cina di negeri Perak yang menganggap kerajaan yang dukuasai kaum mereka telah diguling oleh BN.
Bagaimanapun, diharap Dato’ Seri Najib lebih berhati hati menjaga hati Masyarakat Melayu. Desakan pihak ultra Melayu seperti Perkasa dibawah Ibrahim Ali perlu diambil perhatian. Ini kerana undi Melayu merupakan undi setia UMNO, ia tidak banyak berubah dalam dua pilihanraya umum yang lepas, kerana UMNO dipandang sebagai tonggak perjuangan Melayu dan Agama. Persepsi ini perlu dikekalkan bagi mengekalkan kesetiaan masyarakat Melayu.
Update bertarikh 1 Oktober 2010
Pengumuman Datuk Seri Sammy Velu mengundur diri pada Januari tahun depan sungguh dialualukan. Ini satu petanda baik bagi meningkatkan sokongan Kaum India kepada BN, yang sudahpun bermula sejak beberapa bulan yang lalu. Tetapi sokongan pengundi yang berterusan akan bergantung dengan kemampuan penganti beliau nanti mendapat sokongan yang padu daripada Parti MIC itu sendiri.
Sekian, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
DAH IKHWAN







