Ordinan Darurat, Akta Kediaman Terhad (1933) dan Akta Buang Negeri (1959)


Ketika jenayah penembak professional sedang memuncak  baru baru ini saya berkesempatan berbual dan mengajukan beberapa soalan kepada tiga orang kenalan yang kebetulannya pernah memegang jawatan -jawatan yang relevan dalam soal ini. Seorang daripadanya pernah menyandang jawatan  ketua polis Pulau Pinang, seorang pula bekas timbalan ketua polis negeri Johor dan yang seorang  lagi pernah memegang jawatan pengarah di Bukit Aman.

Perbualan kami berkisar disekitar aktiviti penjenayah dan cabaran yang dihadapi ketika menahan dan  memantau seseorang penjenayah dibawah Ordinan Darurat dan  Akta Kediaman Terhad yang telah dimansuhkan baru-baru ini.

Perbincangan saya fokuskan kepada Ordinan Darurat dan Akta Kediaman Terhad (1933) kerana ia lebih  relevan dengan masalah jenayah yang kita hadapi sekarang. Perlu diingatkan Kerajaan kini sedang mempertimbangkan menguatkuasa semula undang-undang preventif bagi membolehkan pihak Polis menahan penjenayah yang disyaki tanpa perbicaraan.

Ordinan Darurat

Mengikut Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Keselamatan Dalam Negeri, seramai 2,600 orang suspek telah dilepaskan dari Pusat Tahanan Simpang Renggam sejak pemansuhan Ordinan Darurat pada tahun 2011. Beliau berkata berikutan ini kadar jenayah berat telah naik  sejak kebelakangan ini.

Perlu diingatkan sebelum itu kadar jenaya berat telah menurun seperti berikut:

Tahun            Bil Kes
 2006                1405
2007                 1321
2008                 1264
2009                 1096
2010                  912

Sebelum pemansuhan Ordinan ini pelbagai pihak telah mendesak supaya ianya dikaji semula bagi mengelak kes penyalah gunaan oleh pihak polis dalam menahan suspek jenayah.

Di bawah Ordinan Darurat, mereka yang disyaki penjenayah akan ditahan tanpa perbicaraan  di balai polis selama 60 hari tanpa sebarang pembelaan. Setelah 60 hari masih tidak dibebaskan, mereka terus ditahan sehingga 2 tahun. Sesudah itu jika tidak dibebaskan juga, mereka akan dibuang daerah.

Akta KediamanTerhad (1933)

Dengan kuasa di bawah Akta Kediaman Terhad(1933) Menteri yang bertanggungjawab boleh mengeluarkan perintah kepada  seseorang untuk dihadkan kediamannya di sesuatu kawasan atau ditegah memasuki sesuatu kawasan jika menteri tersebut berpuas hati ada sebab-sebab yang munasabah untuk berbuat demikian selepas  menerima maklumat bertulis dan selepas membuat siasatan yang perlu.

Tempoh penahanan tidak melebihi 5 tahun dan boleh ditambah setahun untuk tiap-tiap tempoh penahanan  lanjutan. Walaupun Akta ini hanya  kerap digunakan untuk mengekang kegiatan penjenayah, ia turut menimbulkan  kontroversi dan  menjadi sasaran aktivis hak asasi manusia termasuk  pihak pembangkang. Ia dirangkumkan  bersama  undang -undang  preventif yang lain seperti Akta Keselamatan dalam Negeri,  Ordinan Darurat dan Akta Buang Luar Negeri.

Mengikut kenalan saya, Akta Kediaman Terhad  amat berkesan di zaman pemerintahan penjajah dahulu kerana ketiadaan sistem pengangkutan dan perhubungan yang cangih seperti yang ada sekarang. Kini sebarang usaha untuk mengasingkan penjenayah yang terlibat dari rakan-rakan ditempat asalnya  tidak mudah dibuat kerana wujudnya telefon canggih dan sistem pengangkutan yang pantas dan murah. Keadaan ini amat merumitkan kerja-kerja pengawasan yang perlu dilakukan oleh pihak polis.

Pun demikian, rakan saya ada menyatakan penggunaan  gajet-gajet terkini seperti gelang GPS   boleh membantu   pegawai polis memantau pergerakan si penjenayah yang ditahan di bawah akta kediaman terhad.

Akta Buang Negeri (1959)

Bagi  Akta Buang Negeri (1959) pula  membolehan Menteri mengusir penjenayah keluar  Malaysia. Nampaknya akta ini tidak begitu relevannya dengan rakyat Malaysia kerana tiada tempat diluar negara  untuk mengusir rakyat sendiri. Bagaimanapun akta ini  amat  berguna untuk menangani kes-kes melibatkan penjenayah dari kalangan rakyat asing yang berada di Malaysia.

Satu Pandangan

Walau apapun masalah yang dihadapi,  kita mendapati amat ramai dari kalangan rakyat  yang tidak bersetuju  memansuhkan akta-akta  tersebut.

Dalam hal ini nampaknya  Kerajaan dibawah PM Najib  mudah mengalah ketika dihantam oleh asakan dari  pihak pembangkang. Ianya seolah-olah kesan jangka panjang tidak  diambil kira sedalam-dalamnya.

Dato’ Seri Hishamuddin,  mantan  Menteri Dalam Negeri  yang bertanggung-jawab  juga kurang menunjukkan kewibawaan dalam menangani isu melibatkan keselamatan dalam negeri  ketika itu.

Ada dikalangan aktivis hak asasi manusia akan berkata sudah wujud  beberapa undang-undang lain yang boleh digunakan dengan berkesan. Kepada mereka saya ingin nasihatkan jangan terlalu gaherah memperjuangkan nilai-nilai Barat yang tidak memberi fa’edah kepada negara. Lebih baik kita gunakan apa-apa yang ada untuk mewujudkan suasana yang selamat kepada seluruh penduduk Malaysia.

Bagaimanapun, mengikut rakan saya, isu penyalahgunaan kuasa memang perlu diberi perhatian  khusus jika undang-undang pencegahan jenayah ini  dilaksanakan semula. Ini boleh dilakukan  dengan mewujudkan safeguard dalam peruntukan undang-undang, misalnya mewajibkan panel penilai untuk mengkaji dan merekemen setiap kes sebelum diluluskan oleh Menteri Keselamatan dalam Negeri. Komposisi panel penilai adalah amat penting bagi menentukan penilaian yang teliti dan adil bagi setiap kes yang pertimbangkan.

Sekian, wallahu ‘alam.

DAH IKHWAN

Artikel-artikel menarik:

1. PRU 13: Corak Pengundian di Lembah Kelang Mengikut Kaum.