Najib Bersalah: Kemana Halatuju UMNO Sekarang?

Dalam artikel pada 17 Jun 2018, sejurus selepas PRU 14, saya telah menilai kemampuan UMNO bangun kembali sebagai kuasa dominan memerintah di negara ini. Kerana kedudukannya yang amat istimewa dalam masyarakat Melayu, lebih lebih lagi di kawasan Felda, UMNO telah dijangkakan mampu bangun semula dengan agak mudah dengan syarat seorang pemimpin baru muncul meneruskan perjuangan asal parti. Perjuangan asal ini adalah suatu perjuangan unggul demi hak-hak Melayu yang kebelakangan ini di cemari gejala rasuah, pecah amanah dan kerakusan politik wang disetiap lapisan kepimpinan parti.

Malangnya, selepas dua tahun berlalu, dengan barisan baru di bawah Zahid Hamidi, UMNO masih terumbang-ambing dibawah bayangan Najib Razak dengan imej yang sudah tercemar, walaupun sudah dua tahun berlalu. Kini, setelah keputusan mahkamah, apakah pengaruh Najib akan menurun atau sebaliknya masih bertahan? Kini sudah ada beberapa pemimpin seperti Khairi dan Tok Mat sudah berani bersuara lantang. Adakah ini suatu tanda gelombang perubahan sudah bermula?

Sikap yang jelas dan tegas amatlah penting dalam keadaan sekarang. Najib has left a vacuum dalam kepimpinan UMNO. Ramai ahli UMNO, lebih-lebih lagi masyarakat Melayu amnya, pasti menunggu seorang pemimpin yang mampu bertindak tegas, bersih dan berinspirasi. Mampukah Zahid memenuhi harapan ini?

Politik melayu kini dipersimpangan jalan, iaitu samaada parti-parti Melayu akan bertolak ansor, bersatu menguasai kerajaan atau sebaliknya berpecah semula dan, secara tidak senghaja, memberi laluan kembali kepada kerajaan yang di tunjangi parti DAP. Dalam semangat bersatu semula, sudah pasti masyarakat Melayu Semenanjung mahukan UMNO kembali sebagai parti dominan dalam politik tanah air. Ini kerana tiada parti lain yang mampu memainkan peranan ini. Tun Mahathir sudah mencuba menjadikan PPBM sebagai parti pengganti UMNO, tetapi gagal. Parti PPBM gagal memenangi kerusi yang signifikan dalam PRU 14. Terkini, setelah enam pilihanraya kecil terakhir, gelombang perpaduan ini terbukti semakin kencang.

Sama-ada perpaduan ini berbentuk Perikatan Nasional sebagai pertubuhan rasmi, atau dalam bentuk kerjasama antara Muafakat Nasional, Barisan Nasional dan GPS, tidaklah begitu penting. Lazimnya, sebagai puak pemerintah, parti-parti di Malaysia gemar menjalin kerjasama yang kekal seperti Barisan Nasional. Tetapi jika ini tidak mungkin dicapai, kerjasama dalam bentuk sementara juga merupakan satu jalan yang praktikal, seperti lazim dibuat dibanyak negara demokrasi lain. Dalam suasana sekarang, yang penting ialah mencapai persetujuan dalam mengagih kerusi dan menentukan calon Perdana Menteri diantara parti yang bergabung. Selebihnya, biarlah masa menentukan.

Keputusan Muafakat Nasional, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak dan beberapa Ahli Parlimen lain menyokong Tan Sri Muhyddin Yassin sebagai Perdana Menteri bagi menghadapi PRU 15, memberi kelebihan kepada beliau. Malah Opinion Poll terkini juga menunjukkan kadar populariti yang amat tinggi di kalangan rakyat Malaysia. Sokongan yang meluas ini amat penting bagi membentuk kerajaan yang kukuh dan berkesan, yang amat diperlukan dalam suasana negara menghadapi pandemik COVID-19 dan kegetiran ekonomi sekurang-kurangnya dua tahun kebelakangan ini. Elakkanlah perangai berpolitik keterlaluan. Ingatlah nasib yang sedang dan akan menimpa rakyat, terutama generasi muda dan graduan-graduan yang hampir kesemuanya akan menganggur pada tahun ini dan tahun hadapan.

Hakikat-hakikat ini memerlukan semangat bertolak ansur yang banyak antara parti-parti komponan, terutama melibatkan pihak UMNO dan PPBM. Ini kerana sungguhpun parti UMNO dilihat masih kukuh dalam masyarakat Melayu amnya, ia tidak demikian di negeri-negeri Borneo dan di Pantai Timur Semenanjung. Jadi, UMNO, BN dan PAS tidak mungkin mampu lagi menubuh kerajaan Malaysia yang kukuh tanpa sokongan dari parti-parti lain. Dengan populariti Perdana Menteri Tan Sri Muhyddin Yassin yang tinggi sekarang, satu bentuk kerjasama politik adalah dialu-alukan, malah sesuatu yang amat perlu melibatkan parti-parti Melayu/Bumiputera di negara ini.

Pengagihan kerusi dalam menghadapi PRU 15 kini menjadi isu yang cukup sensitif diantara UMNO dan PPBM. Beberapa pemimpin dari kedua belah pihak telah menyatakan pendapat masing-masing dan satu perkara yang perlu dijelaskan ialah status 16 MP pelompat parti dari UMNO ke PPBM yang berlaku sejurus selepas PRU 14. Apakah mungkin UMNO sanggup melepaskan beberapa kerusi ini yang mungkin menjejaskan kekuatan parti dalam Parlimen? Apakah pula reaksi pengundi setia UMNO di kawasan berkaitan? Kajian-kajian kita terdahulu menggambarkan tahap kesetiaan pengundi Melayu kepada UMNO di Semenanjung amat tinggi, kecuali dalam keadaan amat luarbiasa seperti pada PRU 14.

Namun demikian kita nampak ada sekurang-kurangnya 17 kerusi Parlimen yang kini ditangan Pakatan Harapan harus dirunding antara UMNO dan PPBM. Ada diantara kerusi ini terletak dalam kawasan tradisi UMNO dan mudah dimenangi kembali dibawah payung Muafakat Nasiaonal. Ada pula diantaranya lebih sukar dan memerlukan populariti Tan Sri Muhyddin Yassin untuk dimenangi. Imej Tan Sri Muhyddin sebagai Perdana Menteri yang tegas, cekap serta sikap tidak campur tangan dalam kes Mahkamah yang berat boleh menarik keyakinan lebih ramai pengundi dari semua kaum. Jika kata sepakat dicapai, kita yakin perpaduan Melayu/Bumiputera akan menjadi lebih mantap lagi dan mampu membina semula dominasi dalam politik negara. TAMAT

.

.

Salam,

DAH IKHWAN.