Pelan Pemulihan Negara: Peralihan Fasa PKP

Ucapan YAB Perdana Menteri pada 15 Jun 2021 menetapkan Garis Ambang yang mesti dicapai oleh negara sebelum beralih kepada setiap fasa baharu, seperti dalam jadual ringkas di bawah:

Jadual terperinci boleh disemak di pautan ini yang berasaskan ucapan asal YAB Perdana Menteri seperti di bawah:

  1. Pendekatan secara berperingkat ini bermula dengan Fasa Pertama iaitu pelaksanaan PKP Menyeluruh yang sedang dilaksanakan sekarang dalam keadaan bilangan kes COVID-19 adalah tinggi, sistem kesihatan awam di tahap kritikal dan kadar pencapaian vaksinasi yang masih rendah. 
  • Kerajaan akan menimbang peralihan daripada fasa pertama  kepada fasa kedua PKP  setelah: 
  • Purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 4,000 kes;
  • Sistem kesihatan awam tidak lagi berada di peringkat kritikal termasuk kadar penggunaan katil di ICU pulih ke paras sederhana; dan 
  • 10 peratus populasi telah menerima 2 dos suntikan vaksin. 

Fasa Kedua merupakan kesinambungan daripada Fasa Pertama dengan aktiviti sosial dan kawalan pergerakan terus dikawal dengan ketat. Semasa Fasa Kedua:

  • Aktiviti ekonomi akan dibuka secara berperingkat dengan membenarkan kapasiti pekerja sehingga 80% di premis;
  • Pendekatan senarai positif diteruskan iaitu hanya sektor yang tersenarai dibenarkan beroperasi manakala yang tidak tersenarai masih ditutup. Senarai positif daripada Fasa 1 akan juga diperluaskan semasa

Fasa 2 dengan menambahkan beberapa sektor; dan

  • Aktiviti sosial dan rentas negeri masih tidak dibenarkan.
  • Penambahan sektor senarai positif semasa Fasa 2 termasuk aktiviti pembuatan seperti simen untuk memastikan kelangsungan pembinaan yang dibenarkan serta aktiviti peruncitan seperti barangan elektronik dan komputer bagi menyokong mereka yang bekerja dari rumah. Semasa Fasa 2, dengan pendekatan senarai positif, masih terdapat aktiviti pembuatan, pembinaan, peruncitan dan perkhidmatan yang tidak disenaraikan dan kekal tidak beroperasi  seperti pembuatan tekstil dan kedai perabot. 
  • Fasa Ketiga pula melibatkan peralihan daripada pendekatan senarai positif kepada senarai negatif, iaitu di mana semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang berisiko tinggi untuk jangkitan COVID-19 yang masih ditutup. 
  • Kita boleh  beralih kepada Fasa Ketiga sekiranya kita berjaya mencapai nilai ambang atau threshold berikut, iaitu:
  • Purata kes harian COVID-19 menurun ke paras bawah 2 ribu kes; ?   Sistem kesihatan awam berada di tahap selesa dengan penurunan kadar penggunaan katil di ICU ke paras mencukupi; dan 
  • 40 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin. 
  • Nilai ambang ini dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir bulan Ogos 2021.
  • Semasa Fasa Ketiga ini:
  • Semua sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang tersenarai dalam senarai negatif, iaitu aktiviti yang berisiko tinggi menyebabkan jangkitan COVID-19 atau melibatkan keramaian;
  • Sektor ekonomi akan kekal dibenarkan beroperasi pada kapasiti

80% seperti Fasa Kedua; dan

  • Aktiviti sosial termasuk pendidikan dan sukan tertentu boleh mula dibuka secara berperingkat.
  • Untuk Fasa 3, semua aktiviti pembuatan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada SOP dan had kapasiti. Senarai negatif Fasa 3 yang tidak dibenarkan beroperasi merujuk kepada aktiviti berisiko tinggi kerana melibatkan keramaian seperti penganjuran konvensyen dan di mana penjarakan sosial tidak dapat diamalkan seperti pub, spa dan salon kecantikan. Kelonggaran kepada had kapasiti akan dipertimbangkan untuk membolehkan syarikat beroperasi sepenuhnya setelah pekerjanya telah divaksinasi.  
  • Saya ingin memberikan komitmen bahawa Sidang Parlimen boleh diadakan dalam Fasa ini iaitu sekitar bulan September atau Oktober dengan mengikut SOP yang ketat. Ini adalah pendirian saya dari awal bahawa sistem Demokrasi Berparlimen boleh berfungsi semula pada masa yang sesuai, iaitu setelah kes-kes COVID-19 terkawal dan kita hampir mencapai imuniti berkelompok. Saya akan terus mendokong prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Jangan ada pihak-pihak yang sengaja menimbulkan keresahan dan kecelaruan dalam kalangan rakyat sehingga mengganggu tugas utama Kerajaan untuk menangani pandemik COVID-19.
  • Daripada Fasa Ketiga, kita akan dapat beralih kepada Fasa Keempat sekiranya kita berjaya mencapai nilai ambang berikut, iaitu:
  • Purata kes harian COVID-19 menurun ke paras bawah 500 kes;
  • Sistem kesihatan awam berada di paras selamat termasuk kadar penggunaan katil di ICU di paras mencukupi; dan 
  • 60 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin. 
  • Berdasarkan unjuran pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, peralihan ini dijangka dapat dilaksanakan seawal akhir bulan Oktober 2021.
  • Fasa Keempat adalah fasa terakhir Pelan Pemulihan Negara di mana kita seboleh mungkin dapat kembali semula kepada norma kehidupan seharian. Semua sektor ekonomi akan dibuka, lebih banyak aktiviti sosial akan dibenarkan, perjalanan rentas negeri dibolehkan dan pelancongan domestik juga akan dibuka tertakluk kepada SOP yang ketat. 
  • Fasa ini dapat dilaksanakan apabila bilangan kes COVID -19 adalah rendah, sistem kesihatan awam di tahap selamat dan program vaksinasi telah mencapai tahap imuniti berkelompok atau herd immunity selewatnya pada akhir tahun ini.
  • Pelan ini juga merupakan pelan yang dinamik di mana sekiranya kita berjaya dalam tiga indikator utama pada mana-mana fasa, Kerajaan boleh terus mengambil keputusan untuk bergerak ke Fasa seterusnya.
  • Kesemua SOP bagi fasa-fasa yang saya sebutkan tadi akan diperincikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), dan diumumkan dalam masa terdekat.
  • Alhamdulillah, setakat ini lebih 4.5 juta dos suntikan telah berjaya diberikan kepada rakyat Malaysia di mana 3.2 juta telah menerima dos pertama dan 1.4 juta telah lengkap menerima dua dos vaksin. Insya-Allah selepas ini lebih ramai rakyat akan mendapat temujanji suntikan vaksin dan berpeluang menerima dos pertama setelah lebih banyak bekalan vaksin diterima mulai bulan ini.

2 Comments

  1. Mohd Zul Fadlain b. Abdullah

    Saya gembira dengan pelan pemulihan kerajaan, cuma concern sy pd hari ini frontliners kesihatan majoriti telah ‘burn out’ oleh kerana kes baharu n kes kematian makin tinggi, KKM sepatutnya menggalakkan lagi sukarelawan perubatan diperlukan, kalau boleh jadikan ia salah satu agenda penting bagi membantu mengurangkan workload frontliners perubatan kita skrg.

    Mungkin boleh lihat pengalaman negara spt USA n China menggalakkan sukarelawan perubatan ni

    • DAH IKHWAN

      Saudara Zul, saya setuju ia adalah pandangan yang baik. Harap mereka yang berkenaan ambil maklum cadangan seperti ini.

Comments are closed