Pengisytiharan Darurat dan Politik Menjelang PRU 15

Sejak Perintah Darurat dikenakan pada 12hb Januari 2021, kehangatan suhu politik Malaysia nampaknya mulai reda, ancaman kepada kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyddin Yassin mulai menyurut dan kegairahan Parti UMNO dan PH hendak menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional mulai menampakkan kebuntuan. Pakatan Harapan, setelah terpinga-pinga seketika, kini baru mulai bersuara dengan pemimpin mereka Anwar Ibrahim memohon semua ahli Parlimen menanda-tangani petisyen kepada YDP Agong untuk menarik balik Perintah Darurat ini.

Hakikatnya Pakatan harapan sudah terlambat, terlalu ghairah dengan usaha merampas kuasa, tapi tanpa menilai sehalusnya langkah yang terbuka kepada seseorang penyandang jawatan Perdana Menteri. Usaha Petisyen Anwar tidak akan berjaya dalam suasana Pandemik yang melanda negara kini. Sekali lagi Tan Sri Muhyddin Yassin membuktikan ketangkasan beliau dalam pertarungan politik negara. Sebelum ini beliau berjaya mengenepikan Tun Mahathir, Anwar Ibrahim dan kini pula Najib Razak dan Zahid Hamidi.

Sebelum ini, The Star memetik Nazri Aziz sebagai berkata BN berniat menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15 bersama PAS melalui Muafakat Nasional. Jika ini tidak mampu membentuk Kerajaan Persekutuan, BN akan berunding dengan parti-parti lain dan cuba membentuk kerajaan. Parti mana dimaksudkan? Tidak ada pilihan lain yang saya nampak, melainkan PKR dan DAP.

Adakah ini kata-dua kepada PAS? Alhamdulillah, parti PAS masih lagi komited bersama Perikatan Nasional. Agaknya PAS bimbang terjerumus kedalam kancah politik UMNO yang tidak sihat ini, yakni Parti PAS sebagai Parti Islam tidak ingin berkerjasama dengan musuhnya Parti DAP, sambil berusaha terus mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional yang ternyata bersih sambil berteraskan dominasi kuasa Melayu/Bumiputra dan Islam.

Kedudukan politik UMNO dan Barisan Nasional kini sebenarnya tiada cukup berpengaruh, tidak seperti digembar-gemburkan. Ia tidak mungkin dapat menumbangkan kerajaan Tan Sri Muhyddin Yassin kerana kini belum nampak ada yang berpotensi menjadi penggantinya. Sekalipun beberapa orang MP UMNO mengisytihar keluar daripada menyokong kerajaan Perikatan Nasional, soalnya siapakah yang dapat menggantinya? Adakah Najib, Zahid Hamidi, Anwar Ibrahim, Shafie Aphdal ataupun Tengku Razaleigh. Secara praktiknya selagi belum ada seorang pengganti yang memiliki sokongan majoriti dari kalangan ahli Parlimen, tiada sebab Tan Sri Muhyddin Yassin mengundur diri selagi Pilihan Raya Umum boleh diadakan . Mari kita lihat peruntukan Perlembagaan Persekutuan seperti dibawah:

Artikel 43(2) – the YDP Agong shall first appoint a Prime Minister ….a member of the House of Representative who in his judgment is likely to command the confidence of the majority of the members of that House…

Artikel 43(4) – If the Prime Minister ceases to command the confidence of the majority of the House of Representatives then, unless at his request the YDP Agong dissolves Parliament, the Prime Minister shall tender the resignation of the Cabinet.

Dilihat daripada provisyen di atas, sebarang tindakan menumbang sesebuah kerajaan tanpa seorang pengganti yang mempunyai sokongan majoriti sebagai Perdana Menteri baru, akan mewujudkan power vacuum, melainkan Pilihan Raya Umum dilaksanakan segera. Jika tidak keadaan ini amat membahayakan keselamatan negara dalam suasana genting yang ada sekarang Oleh itu Anwar Ibrahim atau mana-mana pengganti yang berpotensi perlu mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk mengisi power vacuum ini. Namun, Anwar masih gagal mendapat sokongan yang sah dari UMNO. Jika UMNO betul-betul sokong Anwar, ia sepatutnya telah sokong secara terang-terangan tanpa berselindung dan sanggup memikul akibatnya, jika ini mengakibatkan Pilihan Raya tergempar.

Mengikut analisis blog ini terdahulu, berpandukan keputusan PRU 14, jika kerjasama telah terjalin dengan PAS diwaktu itu, mereka mampu memenangi 98 kerusi diantara mereka (BN 80 dan PAS 18). Maka tidak menghairankan apabila UMNO amat memerlukan PAS bersama dalam Muafakat Nasional. Tetapi kini sebenarnya ini juga tidak mencukupi untuk membentuk Kerajaan kerana BN tidak mungkin menang dengan signifikan di negeri-negeri Borneo, yang bukan lagi dikuasai oleh BN. Justeru itu tidaklah menghairankan jika UMNO selepas pilihanraya nanti akan cuba bersama PKR atau DAP untuk membentuk Kerajaan Persekutuan. Bayangannya sudah nampak ketika Anwar cuba menumbangkan Kerajaan Perikatan Nasional baru-baru ini dengan beberapa orang ahli Parlimen UMNO. Penglibatan DAP dan PKR menjatuhkan Ketua Menteri Perak dari parti Bersatu juga amat jelas.

Opsyen diatas tidak menampakkan peluang yang cerah kepada UMNO, selagi parti itu dikuasai oleh Najib dan Zahid Hamidi, atau dengan nama lain Kluster Mahkamah.

Memang betul wujudnya sekarang Tsunami politik akar umbi UMNO menentang Parti Bersatu, tetapi adalah menjadi tanggungjawab Majlis Tertinggi memberi penerangan yang cukup kepada ahli sambil menjadi sumbar panduan yang baik kepada parti. Jika tidak UMNO akan berhadapan dengan masa hadapan yang lebih gelap ditangan pengundi nanti, terutama pengundi-pengundi muda di Semenanjung dan pengundi-pengundi di negeri Borneo yang melihat politik negara dengan kaca-mata yang lebih kritis dari generasi sebelum mereka.

Disamping itu, sikap pemimpin di peringkat Bahagian UMNO juga banyak didorong oleh kepentingan peribadi. Misalnya, bukanlah sasuatu diluar jangkaan jika saya katakan setiap ketua Bahagian UMNO beraspirasi menjadi wakil rakyat. Ramai mereka akan terkesan jika kerjasama dalam pengagihan kerusi pilihan raya dilaksanakan dalam rangka Perikatan Nasional.

Kini terdapat sejumlah 31 kerusi Parlimen dipegang oleh Parti Bersatu, dan pasti ramai dikalangan pemimpin UMNO yang ingin menuntut kembali hak keatas kerusi-kerusi ini, meskipun ini bukanlah satu tuntutan yang mudah ditunaikan. Tetapi, perlu diingatkan, sebagai perbandingan terdapat tidak kurang daripada 17 kerusi Parlimen Pakatan Rakyat yang mudah dirampas kembali jika perpaduan dibawah payung Perikatan Nasional diteruskan. Justeru itu sikap bertolak ansur amatlah perlu dkalangan UMNO, BERSATU dan juga Parti PAS bagi mengekalkan Kerajaan dominasi Melayu/Bumiputera serta Islam di Malaysia. TAMAT.

Wallahu a’lam, wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

.

.

DAH IKHWAN