SENARIO POLITIK PRU 15 TIDAK SEMESTI SEPERTI UMNO JANGKA

UMNO dan Zahid Hamidi sudah ‘memenangi’ fasa pertama pertarungan yang menentukan tarikh pilihanraya, maka dengan itu PRU 15 telah ditetapkan sebelum hujung tahun ini. Samaada ini merupakan satu kemenangan sebenarnya bagi mereka, akan sama-sama kita ketahui setelah peti undi selesai dikira pada malam pembuangan undi nanti.

Bagi menyelamatkan diri dari hukuman, kumpulan kluster mahkamah telah beriya-iya menghendeki tarikh PRU disegerakan sebelum tarkh perbicaraan Zahid dan beberapa rakannya diselesaikan di Mahkamah. Mereka masih lagi memegang tampuk kuasa dalam UMNO ketika PRU 15 diadakan nanti. Inilah yang mereka kehendaki. Jadi mereka telah menang pertarungan awal dalam perkara ini.

Nampaknya Pilihanraya Negeri Melaka dan Johor telah mereka lakukan untuk memberi gambaran keteguhan kedudukan UMNO dimata rakyat. Ini mudah dilakukan di negeri-negeri kubu-kuat mereka dan sesungguhnya tidak sukar meramalkan kemenangan UMNO di negeri-negeri berkenaan. Sayapun telah membuat ramalan yang cukup tepat untuk PRN di negeri-negeri ini yang baru lepas.

Tetapi, keputusan PRN di Melaka dan Johor sebenarnya amat mengelirukan rakyat, terutamanya ahli-ahli UMNO sendiri. Mereka telah mengukurkan sokongan sebenar rakyat dengan kayu-ukur yang salah. Sememangnya sokongan pengundi Melayu yang mereka perolehi di sana merupakan sokongan majoriti. Tetapi begitulah juga keadaannya pada PRU 14. Bezanya kini ialah, walaupun sokongan pengundi Melayu sebenarnya sedikit menurun pada PRN ini, ada terdapat sebahagian undi Cina, walaupun kecil, dan juga undi kaum India yang kembali kepada BN yang menyelamatkan keadaan. Bagaimanapun, ini berlaku di dalam keadaan pilihan raya negeri dimana keadaannya berbeza dengan Pilihan Raya Umum. Kadar yang turun mengundi hanya 65% di Melaka dan 55% di Johor berbanding kira 85% dikedua-dua buah negeri ini dalam PRU 14. Peratusan mengundi bagi orang-orang Cina adalah amat rendah sekali, menggambarkan majoriti mereka enggan turun mengundi atas sebab-sebab tertentu. Tetapi ini pasti berubah/bertambah dalam PRU akan datang sepertimana pada setiap PRU lepas. Senario ini pasti satu petanda negatif pada UMNO atau BN.

Satu lagi perkara yang perlu diambil perhatian ialah sokongan pengundi di negeri kubu-kuat UMNO di Johor dan Melaka merupakan sokongan majoriti. Pada PRU 14 seramai 64% pengundi Melayu telah mengundi BN di Johor dan 57% di Melaka. Sebagai perbandingan, ketika itu hanya 46% pengundi Melayu di Semenanjung yang mengundi BN. Memandangkan yang aras sokongan Melayu di Melaka dan Johor pada PRN yang lepas masih lagi belum pulih, kedudukan BN di Semenanjung pada PRU 15 tidak juga akan pulih.

Mungkin ada yang menjangka nasib UMNO kini akan bertambah baik pada PRU 15 nanti. Saya rasa ini tidak mungkin, kerana rakyat masih bimbang dengan bahaya rasuah yang kini melanda negara serta bahaya pegaruh Kluster Mahkamah serta Najib untuk berkuasa semula, meskipun PM Ismail Sabri yang kini menerajui Kerajaan. Pandemik Rasuah yang Malaysia sedang lalui adalah terlalu besar dan menyeluruh untuk dilupakan. Isu ini telah menjatuhkah imej negara kelembah kehinaan di mata duania. Saya pasti bangsa Melayu juga tahu berasa malu seperti bangsa-bangsa yang lain.

Berikutan dengan senario politik diatas, adalah dijangka parti-parti yang bergabung sekarang mampu mencapai prestasi yang cukup baik serta bergabung semula dalam Kerajaan Persekutuan yang baru. Soalnya ialah berapakah kerusi majoriti yang mereka mampu menang. Jika mereka berkerjasama mengagihkan kerusi supaya boleh menentang Pakatan Harapan satu per satu, parti-parti kerajaan berpeluang menang dengan selesa. Tetapi isunya, adakah mereka akan bekerjasama menghadapi PRU 15.

Jika tidak, kerajaan baru nanti mungkin tidak begitu kukuh. Soalnya pula adakah Malaysia perlu kembali kepada kerajaan yang kukuh. Ramai mungkin anggap ini perlu bagi mengurangkan suasana berpolitik yang keterlaluan sambil membolehkan kerajaan memberi fokus kepada soal ekonomi, pelajaran dan perkara-perkara lain yang penting untuk rakyat. Sebaliknya kerajaan yang terlalu kukuh dan didominasi oleh sebuah parti seperti BN pasti membawa negara kembali ke kancah korupsi keterlaluan seperti yang sudah lama kita hadapi. Inikan pula jika BN masih di bawah kepimpinan Zahid Hamidi yang kini berhadapan tuduhan korupsi di Mahkamah, serta masih pula dibayangi supremo UMNO, Najib Razak.

Senario terbaik bagi Malaysia ialah politik tanpa didominasi oleh sebuah parti. Masalahnya UMNO masih lagi dalam takuk pemikiran lama, masih memperjuangkan dominasi politik negara. Justeru, ia tidak mungkin berkerjasama dengan Parti Bersatu, yang dianggapnya sebagai parti Pengkhianat, dalam PRU 15. Parti PAS kini tersepit ditengah tengah. Jika terus bersama BERSATU, ia bimbang tidak mampu menghadapi UMNO di Terengganu dan beberapa kawasan di Kelantan dan Kedah. Jika PAS memutus bersama UMNO sahaja, PAS munkin tidak dibenarkan bertanding di banyak kerusi tradisi UMNO yang hanya dimenanginya di PRU 14 dahulu.

Dengan senario diatas, adalah dijangka PAS dan BERSATU akan bekerjasama menentang BN dan Pakatan Harapan dalam PRU 15 nanti. In sebaik-baiknya. Mereka tidak sepatutnya mengharapkan kerusi ihsan dari UMNO. Sebaliknya semua parti harus berani berhadapan rakyat. Jika kempen mereka effisien, dengan rekod yang bersih serta prinsip perjuangan yang baik, insya Allah ia akan diterima rakyat. Keputusan PRN di Melaka dan Johor sudah membayangkan kelebihan BERSATU dan PAS di kalangan pengundi Melayu di negeri-negeri lain di Semenanjung.

Undi penentu saya jangka terletak ditangan pengundi Cina dan India. Jadi soalnya, selain DAP yang akan terus menjadi parti pembangkang terkuat, mampukah Perikatan Nasional manyamai sokongan kepada BN dikalangan kedua-dua kaum ini.

Pada zahirnya BN ada kekuatan melalui MCA dan MIC. Mampukah Parti Gerakan sebagai rakan dalam PN menyaingi parti-parti tersebut dikalangan kaum Cina dan juga India bagi mengukuhkan Perikatan Nasional.

Bagi pengundi Melayu, usah banyak fikir, pangkahlah ikut sentimen anda sendiri seperti mana pada awal tahun ini disekitar tempoh PRN Melaka dan Johor diadakan. Sekian, wallahua’lam.

.

DAH IKHWAN